"Pastinya saya bukan Rasulullah tetapi saya meneruskan usaha yang sewajarnya 
untuk Islam, namun baginda masih yang terbaik untuk segala-galanya. Walaupun 
saya berperanan umpama jambatan bagi menghubungkan khususnya Islam kepada dunia 
Barat tetapi apalah sangat berbanding usaha kita ini dengan segala macam 
pengorbanan yang dilakukan oleh baginda," katanya sambil tersenyum. 
Berkali-kali beliau menegaskan tidak sebagaimana anggota masyarakat seni yang 
lain, hasil karyanya bukan bertujuan mengembungkan poket. "Saya tidak beroleh 
apa-apa, sama ada dari beratus ribu keping gambar yang diambil dan buku- buku 
yang saya hasilkan kerana apa yang penting Islam mesti dibela walaupun dari 
sekeping gambar," tegasnya. Maka apa wajarnya lagi Peter Sanders untuk bergelar 
saudara baru? Tentu sekali tidak sejak memeluk Islam pada tahun 1971. Malah 
beliau sendiri tidak suka dengan gelaran itu kerana apa yang berlaku pada 
dirinya hanyalah berlaku transisi dalam hidup dan kesanggupan untuk menerima 
apabila ditawarkan mengenai Islam. "Ada sesetengah menolak sesudah ditawarkan 
tetapi saya tidak ada masalah untuk menerima Islam itu dan dalam masa yang 
sama, saya masih mengekalkan diri saya, Cuma mungkin saya menjadi seorang yang 
sedikit bijak dan agak penyabar. "Ini kerana seseorang yang berjanggut merah 
datang dan berkata, saya seorang Islam. Jadi adakah saya juga perlu mewarnakan 
janggut bagi menunjukkan saya juga seorang Islam," soalnya. Sejak pernah 
menyiarkan kisah pengislaman Sanders pada tahun 2006 di Mega, Utusan Malaysia, 
sedari itu azam ditanam untuk menemuinya dan kesempatan menemuinya sempena 
Pameran 'Seni Perpaduan: Islam di Britain' yang berlangsung dari 20 Januari 
lalu hingga 20 April 2009, menampilkan gambaran mendalam akan kehidupan umat 
Islam di Britain di Muzium Kesenian Islam, didapati Sanders seorang yang sangat 
sederhana. Tidak sahaja pada penampilan, tetapi beliau sesekali tidak akan 
menjual pengaruh kuat yang beliau miliki untuk menjadi seorang ahli politik. 
"Mengapa perlu?" soalnya kembali. "Cukuplah saya seorang bergiat dalam seni 
(fotografi) saya tidak boleh menjadi seorang ahli politik, saya tidak 
menggemari (politik) kerana politik satu fenomena seperti cuaca, kerap berubah. 
Malah kerap kepada yang kotor. "Saya faham politik itu bagaimana kita 
memanipulasi interaksi sesama manusia tetapi bagi saya seorang ahli politik 
yang tulen, jika siang dia berpolitik maka pada sebelah malamnya dia seorang 
yang beribadat sepanjang malam. Jadi, jika dia mengambil tindakan, ia merupakan 
tindakan yang diberkati malah datangnya dari Allah. "Jika berpolitik tanpa 
sembahyang dan bermunajat kepada Allah, apa maknanya itu? Saya tidak boleh, 
jika saya berpolitik saya mungkin ahli politik yang memberi bencana kepada 
orang lain," katanya.

Namun dari raut wajah, Sanders tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewa di 
saat pengabdian beliau tercemar dengan detik-detik keganasan Israel terhadap 
umat Islam yang sangat beliau sayangi itu. "Di saat saya mengabadikan keunikan 
Islam dengan seribu satu wajah keriangan, senyuman, kehidupan yang aktif, 
kejayaan, kepakaran dan sebagainya hari ini, semua ini seolah-olah sudah tidak 
bermakna lagi apabila begitu ramai umat Islam yang menderita dalam neraka dunia 
dan menempuh kematian mereka dengan seribu satu kengerian," katanya. Namun bagi 
Sanders, kekecewaan bukan tembok penghalang, malah jika di satu bahagian umat 
Islam ditindas perlu ada umat Islam di bahagian dunia lain yang bebas dan 
merdeka meneruskan perjuangan tanpa henti agar memberi kekuatan kepada yang 
ditindas itu. Namun tahukah anda mengapa Sanders gemar merakam wajah-wajah 
wanita Islam sebagai subjek utama dalam medium fotografinya itu? "Saya bukan 
hendak mendiskriminasi mana-mana pihak atau mengambil kesempatan terhadap 
keunikan yang tergambar melalui wajah dan aktiviti wanita sebagai subjek utama 
saya. "Tetapi kerana saya tidak mahu Islam dikenali sebagai dunia yang dikuasai 
oleh lelaki. Elemen lelaki, wajah bengis bersama pedang sering kali menjadi 
gambaran oleh golongan bukan Islam," katanya. Ini mendorong Sanders hendak 
menceritakan hakikat sebenarnya wanita-wanita Islam hari ini. "Mereka golongan 
yang memainkan peranan yang sangat aktif walaupun hanya bergelar suri rumah. 
"Walaupun kadang kala ada enggan wajah mereka dirakamkan tetapi apabila saya 
menjelaskan niat sebenar saya, mereka akhirnya bersetuju dan membenarkan wajah 
dan aktiviti mereka dirakamkan melalui lensa kamera saya ini," katanya. Namun 
anda tentu lebih tertanya mengapa Sanders tidak membawakan mesej-mesej dari 
Bandar Gaza, Palestin yang bagai neraka dunia itu. "Selain saya bukan bertugas 
sebagai jurugambar atau koresponden perang, adakah anda yakin saya mempunyai 
hati yang kuat dan tabah? "Saya terlalu simpati terhadap ramai kalangan rakan 
yang bertugas di zon perang, mereka akhirnya tidak mampu hatta untuk tidur 
akibat tugas-tugas yang mencabar itu," katanya. Ini tentu mengingatkan anda 
kepada jurugambar terkenal dari Afrika, Kevin Carter. Apa yang terjadinya 
kepadanya selepas tiga bulan berjaya merakamkan gambar kebuluran seorang 
kanak-kanak Somalia yang kurus kering menanti saat untuk diratah oleh burung 
hering! Walaupun pada Mei 23 1994 beliau dianugerahkan Hadiah Pulitzer kategori 
Feature Photography pada 27 Julai 1994, beliau membiarkan gas karbon monoksida 
dari lubang ekzos lori kecilnya menjadi racun membunuh dalam usahanya untuk 
membunuh diri dalam usia 33 tahun.

Beliau meninggalkan nota bunuh diri antara lain yang berbunyi: "Aku begitu 
tertekan, tanpa duit untuk menyara kanak-kanak (kebuluran)...Aku begitu 
dihantui dengan memori-memori kejam pembunuhan dan mayat-mayat serta marah dan 
kesakitan...kanak-kanak yang kebulur dan cedera, lelaki-lelaki yang gembira 
sambil membunuh..." Mereka mungkin mempunyai jiwa yang kuat tetapi jika sering 
diasak dengan tugas-tugas untuk merakamkan kematian tragis, maka seorang Islam 
yang hebat seperti Peter Sanders tidak mustahil pada suatu hari akan tumbang 
juga akhirnya. Lalu Sanders atau nama Islamnya, Abdul Al Adheem akan terus 
berada di lokasi-lokasi di mana Islam itu indah, Islam itu adalah yang paling 
benar! "Saya pernah ke Baitul Maqdis, Palestin sebanyak dua kali dan perasaan 
saya adalah yang paling pilu ketika itu dan ini membuatkan saya berazam untuk 
membebaskan bumi suci itu hatta dari tiap sudut bahagian dunia dan tidak ada 
perkataan jauh untuk itu," katanya.

Shalom,
Tawangalun.




------------------------------------

Post message: [email protected]
Subscribe   :  [email protected]
Unsubscribe :  [email protected]
List owner  :  [email protected]
Homepage    :  http://proletar.8m.com/Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/proletar/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/proletar/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke