KATAKAN TIDAK PADA WAHABI     Printer Friendly Page       on Friday, 
October 28, 2005 - 01:49 AM CCT - 345 Reads
   
  
http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=8168
                  Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin 

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak 
bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. 
Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu 
disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap 
ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang 
mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti. 

Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan 
pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan 
agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai ‘wahabi’. 
Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?!. Bahkan yang membuat 
tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!. 

Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai 
‘wahabi’; apa itu wahabi?. Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi 
ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab 
yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga 
wahabi?. Dia diam. Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil 
maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih 
bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika 
tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan 
begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah 
mereka kafir?!!. Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. 
Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. 
Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid 
al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!!. Ada
 yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi 
yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali. 

Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin ‘Abd 
al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya ‘Wahhabi’. Saya katakan saya sendiri 
dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak 
begitu membaca buku-buku Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya 
salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang 
sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung 
untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga 
jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. 
Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, 
secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya 
tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, 
dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab di Jazirah Arab 
perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng
 tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori 
kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara 
tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam 
memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). 
Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang 
tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan 
sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu 
kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara 
kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), 
membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan 
jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab 
pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan 
muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah 
dan
 penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan 
agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah 
yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn 
al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam 
risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai 
memuji Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!. 

Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi'i. 
Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i kerana ia 
agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung 
dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh 
wahabi. Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi'i. 
Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , 
iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji. 
Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: “Daripada 
bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang 
ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh 
hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta 
peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu 
adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak
 yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit 
juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” 
(1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi. Apakah semua penulis itu 
wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan 
mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi'i??!. Tidak 
mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud 
al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) 
lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia 
atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya 
seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi 
bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (2/34). 
Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam 
Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut:
 “Maka bid'ah yang tidak elok” (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!. 

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh 
masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: “awak wahabi”. 
Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr 
Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: 
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka 
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a 
tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri 
orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam 
tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua 
raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak 
bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah 
dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya 
satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga 
bercanggahan
 dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita 
lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah 
dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan 
dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah 
bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan 
setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf 
al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah 
beliau juga wahhabi?!! 

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi'i. 
Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara 
membaca al-Quran. Beliau berkata: “Ketahui sesungguhnya yang betul lagi 
terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi 
jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya 
nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang 
berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah 
yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang 
menyanggahinya. Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad r.a. pernah berkata 
–maknanya-: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan 
sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh 
dengan banyaknya golongan yang rosak”. Adapun apa yang dilakukan oleh golongan 
jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang
 lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram 
dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah 
keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya 
tetapi tidak membantahnya”. (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: 
Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan 
buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga 
wahabi. Apatah lagi jika dia mereka mambaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini 
menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri 
sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati 
dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi 
s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ 
Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr). 

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa 
tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. 
Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke 
arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. 
Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di 
akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak 
pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: 
(maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum 
lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang 
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari 
kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak 
yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu 
menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
 panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. 
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi 
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia 
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan 
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang 
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari 
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari 
kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya 
yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah 
mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. 
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu 
kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. 

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. 
Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada 
dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh 
menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa 
pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi'i. Ini beradarkan kajian 
atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak 
hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi'i, terutamanya dalam fiqh 
muamalat. Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti 
kita menghina al-Imam al-Syafi'i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat 
fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri 
pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi'i dalam 
majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat 
cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi.
 A’azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua). 
Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada 
sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap 
sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada 
sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang 
berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah 
dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan 
kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, 
mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, 
Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus 
al-Khadra`). 

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita 
dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. 
Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif 
dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini 
para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan 
gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman 
sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman 
dengan Mu’tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung 
halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari 
mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang 
sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan. Pada hari kita memulakan dakwah 
ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan 
lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan
 keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita 
satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut 
dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. 

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada 
berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita 
katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya. Dalam banyak perkara 
kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli ‘tuduh menuduh’ ini seperti 
kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa 
yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa 
masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. 
Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak 
berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan 
oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa 
membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan 
tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab 
itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid 
kepada
 mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh 
golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas 
sahabahsepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan 
yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini 
dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab 
yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan 
pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah”. (rujukan: Dr. Yusuf 
al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq 
al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena 
masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika 
terhadap beliau. 

Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith 
yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan 
oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap 
Kitab Ihya ‘Ulum al-Din. Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga 
ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang 
tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim 
dari al-Imam al-Ghazali. Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya 
“Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” yang dicetak pada awal 
tahun 2004: 

“Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan 
al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia 
merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat. Dengan 
kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi 
hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai 
masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab 
al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya 
dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, 
tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri. Namun ini tidak 
memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan 
kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu 
mesti dijelaskan. Firman Allah: 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang 
yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan 
kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa 
dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135) 

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika 
mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: “Aku katakan: 
Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim 
itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam 
al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah) 
Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan 
seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan 
mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja. Sehingga Taj al-Din al-Subki 
(meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal) yang 
begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal 
ini dengan menyatakan: “Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya 
disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali 
diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith”. (rujukan: Taj al-Din 
al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub 
al-`Ilmiyyah) 

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum 
al-Din antaranya: 

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa 
Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang 
kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi 
ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan 
amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu”.( Ibn 
Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah) 

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): “Kemudian datang Abu Hamid 
al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasar pegangan mereka. 
Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu 
kebatilannya”.( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar 
al-Kutub al-ilmiyyah) 

-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): “Adapun kitab al-Ihya padanya 
ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara 
dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, 
padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang 
bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang 
dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan 
perbuatan”.( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339) 

-Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): “Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak 
mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf 
sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat 
membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut 
dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau 
mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya”.( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud 
al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah). 

Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan 
alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, 
kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah 
dan seumpamanya. Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun 
isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab 
persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. 
Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari 
apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !! 

Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang 
buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu 
‘Shahrir Long’. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan 
agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri. Mungkin ada orang yang 
benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali 
menyebut : ‘Katakan tidak untuk wahabi’. Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya 
untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no 
untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.

                
---------------------------------
 Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/TcOolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Memetakan Tumpat dalam IT.
http://edi.bebto.com
http://panduan.7p.com

E-mel web base percuma untuk warga Tumpat

http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke