http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=14759
PAKSI ISLAM: SYAKHSIAH ATAU HUJAH?
Posted by : alin81 on Friday, March 24, 2006 - 06:47 PM CCT
TIDAK semua masalah Aqidah itu masalah Aqidah dan tidak semua masalah Fiqh
itu masalah Fiqh!
Sejauh manakah relevannya persoalan di atas? Kita biasa mendengar bahawa
masalah terbahagi kepada dua iaitu masalah yang kelihatan (presented problem)
dan masalah yang sebenar (real problem). Namun apakah polemik ini juga wujud
dalam soal yang berkaitan dengan agama? Inilah persoalan yang ingin saya kupas
melalui artikel ini. Seandainya dakwaan bahawa kebanyakan masalah Aqidah, Fiqh
dan Akhlak kita ini bukan masalah Aqidah, Fiqh dan Akhlak, maka masalah apakah
sebenarnya yang menghantui kita selama ini?
UJIAN PERTAMA
Kewafatan Rasulullah SAW adalah ujian yang besar kepada umat Islam. Ia adalah
ujian kepada keupayaan umat Islam untuk bertahan tanpa wahyu yang selama ini
telah menjawab permasalahan secara langsung. Ketika Abu Bakr r.a. dan Umar r.a.
pergi memberitahu Ummu Ayman r.ah. tentang berita kewafatan Rasulullah SAW,
Ummu Ayman r.ah telah menyambutnya dengan tangisan. Beliau menangis bukanlah
kerana Rasulullah SAW itu pergi dari suatu keadaan yang baik kepada tidak baik,
bahkan apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan utama untuk Baginda s.a.w.
Akan tetapi, Ummu Ayman r.ah menangis kerana padanya, berita kewafatan
Rasulullah s.a.w. adalah bencana kepada umat Islam. Puncanya adalah:
terputusnya wahyu!
Namun, ujian sebenar yang dihadapi oleh umat Islam melalui peristiwa kewafatan
Rasulullah s.a.w. ialah ujian terhadap paradigma para Sahabat di dalam memahami
agama. Inilah isu yang ingin dikembangkan melalui artikel ini supaya ia boleh
menyuluh kepada persoalan asas yang membelenggu umat Islam hari ini.
Nasihat Abu Bakar r.a. yang bertujuan mententeramkan Umar r.a. dan
sahabat-sahabat yang lain, menjadi suluhan kepada kita untuk memahami tentang
status hubungan di antara para sahabat dengan Rasulullah s.a.w. Beliau berkata:
Barangsiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad itu telah mati.
Bagi sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan
tidak akan mati. Lalu Abu Bakr r.a. membacakan firman Allah s.w.t. :
Dan tidaklah Muhammad itu melainkan dia adalah seorang Rasul. Sesungguhnya
(perutusan beliau) telah pun didahului dengan (perutusan) para Rasul yang lain.
Apakah sekiranya beliau mati atau terbunuh, kamu mahu memalingkan leher
(meninggalkan agama Allah)? Barangsiapa yang memalingkan lehernya (dengan
meninggalkan agama Allah) maka (ketahuilah bahawa) ia tidaklah sekali-kali
memberi sebarang mudharat kepada Allah. Bahkan Allah akan sentiasa memberikan
ganjaran-Nya kepada orang-orang yang bersyukur [Ali Imran 3: 144]
Ayat ini terserlah di dalam sejarah apabila Abu Bakar r.a. membacanya pada masa
yang sangat tepat, sehingga Umar r.a. berkata, seolah-olah inilah kali pertama
aku mendengar ayat tersebut dibacakan.
Kenyataan Abu Bakar r.a. berserta ayat ini, membina suatu konsep yang besar dan
penting di dalam Islam. Konsep yang dimaksudkan itu lazimnya disebut sebagai
ISLAM TERBINA DI ATAS HUJAH DAN BUKANNYA DI ATAS SYAKHSIAH.
Ketundukan seorang Muslim kepada Islam adalah merujuk kepada sejauh mana
seseorang ini menerima dan akur kepada kebenarannya. Namun, soal kebenaran
Islam itulah yang menjadi titik kekeliruan umat Islam di sepanjang zaman.
Lazimnya kita terkeliru di antara sandaran kebenaran, sama ada ia pada
syakhsiah, atau dengan hujah. Kekeliruan ini akan mendorong kepada permasalahan
yang lebih besar, kerana kita perlu melihat dengan jelas apakah sebenarnya yang
menjadi paksi kepada keIslaman kita. Adakah peribadi dan syakhsiah
(figure-centered) atau hujah (evidence-centered)?
Sesuatu yang mudah untuk difahami, apabila Rasulullah s.a.w. menjadi perantara
dan penerima wahyu di antara sekalian manusia dengan Allah SWT, sudah tentulah
kecintaan dan kasih sayang umat Islam kepada Baginda menjadi sebahagian
daripada tuntutan Iman. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali Imran 3: 31]
Oleh itu, kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah tulus kerana ia
menjadi sebahagian daripada erti kecintaan kita kepada Allah SWT. Justeru,
cinta kita kepada Baginda s.a.w. tidak dibina secara peribadi sehingga mencapai
lebih daripada apa yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan dibenarkan oleh
Allah SWT sendiri. Sabda Baginda s.a.w:
Janganlah kamu mengagung-agungkan aku sebagaimana orang Nasrani lakukan
terhadap (Isa) Ibn Maryam. Sesungguhnya aku ini adalah hamba-Nya, maka
sebutlah: Abdullah wa Rasooluhu (hamba Allah dan utusan-Nya) [hadith riwayat
al-Bukhari]
Perbezaan di antara mematuhi ajaran Islam kerana faktor peribadi Rasulullah
s.a.w. berbanding dengan faktor kebenaran hujah, adalah sesuatu yang amat halus
dan kadang-kadang mengelirukan. Namun, ia dapat diperhati melalui kesan yang
timbul daripada kedua-dua situasi ini. Misalnya, para Sahabat tidak berganjak
daripada keIslaman mereka walaupun Rasulullah s.a.w. telah wafat, bahkan mereka
bermati-matian mempertahankannya sebagaimana Abu Bakr r.a bertegas mahu
memerangi golongan yang enggan membayar zakat.
Golongan yang enggan membayar zakat itu pula bertindak demikian kerana mereka
menerima Islam atas dasar peribadi Muhammad dan bukannya kerana Allah. Mereka
hanya mahu membayar zakat kepada Rasulullah s.a.w. dan tidak kepada pemimpin
yang lain. Kesimpulannya, mereka telah mengambil soal terima dan tolak Islam
sebagai sesuatu yang berpaksikan kepada syaksiah dan bukannya hujah.
HUJAH MENGATASI SYAKHSIAH
Kebenaran adalah sesuatu yang tinggi nilainya di sisi Islam. Hujah terhadap
kebenaran boleh diterima dan ditolak tanpa terikat kepada syakhsiah
penyebutnya, atau apa-apa faktor luaran yang bersifat sekunder. Misalnya di
dalam surah an-Naml ayat 34, Allah SWT merakamkan kenyataan yang dibuat oleh
Permaisuri Saba tatkala mendengar kehadiran Nabi Allah Sulaiman a.s:
Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah
negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia
hina-dina; dan demikianlah yang (biasa) mereka lakukan
Apabila Permaisuri Saba membuat suatu kenyataan yang benar, ia tetap menjadi
kebenaran, sehingga Alllah SWT mengiktiraf kenyataan tersebut dengan berfirman,
...dan demikianlah yang (biasa) mereka lakukan. Kenyataan Permaisuri Saba
itu tidak dinafikan oleh syakhsiahnya yang pada masa itu dikenali sebagai
seorang Ahli Syirik yang menyembah matahari. Kebenaran tetap kebenaran, apabila
hujah berdiri sebagai bukti.
ULAMA: ANTARA KEMULIAAN SYAKHSIAH DAN KEUTAMAAN HUJAH
Para Ulama sebagai pewaris Anbiya beroleh kemuliaan daripada Allah SWT dan
dihormati oleh kaum Muslimin. Kemuliaan mereka itu adalah kerana ketinggian
nilai ilmu dan hujah serta mereka bertindak selari dengan amalan dan
perjuangan. Namun, segala ilmu yang diajar dan hujah yang dibentangkan, adalah
dengan tujuan membawa manusia kepada Allah, bukan kepada syakhsiah. Ketulusan
ilmu yang diajar, bahawa ia datang dari Allah, dan mahu disebarkan sebagai alat
membawa manusia kepada Allah, sentiasa diawasi oleh ilmuan Islam kita. Di atas
dasar inilah, kita melihat, ramai ulama yang memulakan penulisan mereka -
khususnya di dalam ilmu Hadith dengan Hadith Umar r.a. berkaitan dengan niat.
Tujuannya, adalah untuk mengingatkan kepada diri yang mengajar, serta anak
murid yang belajar, bahawa ilmu dan pembelajaran itu tidak mempunyai sebarang
kepentingan melainkan Allah SWT sebagai paksinya.
Akhirnya, apa yang dibesarkan dan diagungkan, adalah Allah SWT. Para ulama
beroleh penghormatan dan anak murid beroleh kemuliaan, kedua-duanya hasil
cebisan limpahan Kehormatan dan Kemuliaan Allah SWT.
Walau bagaimana pun, kita biasa bertemu dengan segelintir golongan yang
menisbahkan dirinya kepada ilmu dan Islam, menggunakan ilmu pengetahuannya
untuk menarik manusia kepada syaksiah diri dan bukannya kepada Allah. Walaupun
mungkin kosmetik pengajaran yang disampaikan bersangkutan dengan hal-hal
ketuhanan, namun pengikut dan anak murid dibawa sama ada secara sedar atau
tidak sedar, kepada mengagungkan guru; atas nama Tuhan.
Hal-hal seperti ini mudah berlaku di dalam perkumpulan ajaran sesat yang
lazimnya mengambil pendekatan Tasawuf. Mereka menimbulkan istilah-istilah
seperti orang Allah, dengan pemahaman bahawa, untuk mencintai Allah,
hendaklah melalui cintanya kepada orang Allah! Di peringkat awalnya,
kebanyakan pengikut ditarik atas kemahuan mereka kepada Allah. Namun, kesan
jangka panjang akan terserlah, betapa ajaran yang diikut tidak membawa kepada
terlihat dan terserlahnya kebesaran Allah. Bahkan apa yang meningkat naik
hanyalah soal ketaksuban diri kepada guru yang mengajar. Keadaan ini akan
terserlah apabila berlakunya pertembungan di antara Syariat Allah dengan
kemahuan guru yang dipuja.
Situasi seperti ini tidak banyak berbeza dengan dialog Rasulullah s.a.w.
bersama sahabat bernama Adi bin Hatim r.a. Adi yang dahulunya beragama
Kristian, berasa hairan apabila mendengar firman Allah SWT di dalam surah
at-Taubah ayat 31:
Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai Rabb
(Tuhan yang disembah) selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan)
Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk
menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia. Maha suci Allah dari apa Yang mereka sekutukan.
Beliau bertanyakan kepastian kepada Rasulullah s.a.w. tentang pengertian ayat
ini, kerana seingat Adi, dia tidak pernah sujud menyembah pendita semasa
beragama Kristian. Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa, jika Allah mengatakan
sesuatu itu Haram, dan pendita berkenaan menghalalkannya, atau sebaliknya, maka
bererti mereka telah menyembah pendita tersebut sebagai sekutu yang
disyirikankan pada hak Allah SWT.
Hal ini berlaku, apabila mereka gagal membezakan di antara nilai hujah dan
nilai syakhsiah. Orang-orang Kristian mengkuduskan peribadi Isa bin Maryam r.a.
sehingga pengabdian mereka terpaling kepadanya dan tidak lagi kepada Allah.
Paradigma pemikiran yang sama juga boleh menimpa umat Islam seandainya mereka
tidak menyelesaikan soal paksi agama, sama ada soal hujah, atau pun syakhsiah?
TARIQAT SUFI DAN MAZHAB FIQHI
Pada hari ini, perkumpulan sufi atau Tariqat masih kukuh berperanan di dalam
masyakarat Muslim ajam (non-Arab) berbanding Arab. Pelbagai analisa telah
dibuat dan di antara faktor yang menjurus kepada hal ini, adalah kerana Muslim
non-Arab, umumnya tidak berkeupayaan mempelajari dan memahami ajaran Islam
secara langsung daripada sumbernya. Ini berpunca daripada masalah bahasa, di
mana al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. memerlukan kepada penguasaan
Bahasa Arab untuk mempelajarinya. Oleh yang demikian, secara semulajadinya
Muslim ajam akan bergantung kepada orang tengah untuk belajar tentang Islam.
Hal ini tidaklah menjadi suatu kesalahan, bahkan ia adalah sebahagian daripada
tradisi keilmuan Islam. Akan tetapi, fenomena kebergantungan murid kepada guru
di dalam memahami agama, telah membawa kepada implikasi yang negatif apabila
secara tidak sedar, mereka membiarkan kerangka pemikiran agama terbentuk dengan
cara yang salah. Kemurniaan dan keutamaan ilmu Islam, terpinggir apabila
anak-anak murid memuliakan syakhsiah mengatasi hujah.
Di sinilah timbulnya sikap taasub kepada guru dan ia terus menebal bersama
perjalanan masa. Sikap taasub kepada guru juga menjadi polemik kepada krisis
inter-mazhab yang telah banyak merugikan umat Islam. Suatu ketika dahulu
pergerakan manusia antara negara adalah amat terbatas. Oleh yang demikian,
untuk sebuah masyarakat umat Islam berpegang kepada satu pandangan semata,
tidak menimbulkan sebarang kesulitan. Malah situasi seperti itu berlarutan
untuk suatu jangka masa yang panjang sehingga tidak terfikir oleh mana-mana
pihak, bahawa adanya pandangan kedua, dan adanya kemungkinan pandangan yang
dipegang selama ini, tidak tepat.
Akan tetapi, hari ini umat Islam berhadapan dengan suatu keadaan yang amat
berbeza. Hampir-hampir tidak ada sebuah negara yang didiami oleh bangsa asalnya
semata-mata tanpa menerima kedatangan pendatang luar. Ini merupakan fenomena
sejagat yang mempunyai impak besar kepada pelbagai dimensi kehidupan tamadun
manusia. Fahaman Nasionalisma adalah di antara ideologi yang paling terhakis
akibat kesulitan membuat definisi bangsa lantaran percampuran agresif yang
melanda.
Manakala umat Islam, mereka menghadapi ujian baru. Malaysia yang dahulunya
boleh berpuas hati dengan hanya mewariskan satu kefahaman dari satu generasi
kepada generasi yang lain, mula tercabar dan terdesak untuk menoleh ke kiri dan
kanan. Mazhab Syafie yang difahami oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia,
memerlukan kepada pengemaskinian semula. Jika dahulu, kita dengan mudah
menisbahkan apa sahaja kebiasaan di sekeliling kepada Mazhab Syafie, hari ini
kita dituntut untuk mengemukan sandaran, supaya analisa terhadap kesahihannya
dapat dikenal pasti.
Namun, ia tidaklah semudah yang disangka.
Saya teringat kepada suatu peristiwa yang berlaku di Masjid Jaafar bin Abi
Thalib di perkampungan al-Mazar al-Janoobi di wilayah Karak, Jordan. Hal ini
berlaku semasa saya masih menuntut di sebuah universiti berhampiran sekitar
pertengahan 90an. Masjid yang mencecah usia ratusan tahun di situ, dibina
selari dengan maqam Jaafar bin Abi Thalib r.a yang dikebumikan selepas syahid
di dalam peperangan Mutah pada tahun kelapan Hijrah. Tetapi, apabila masjid
tersebut mahu dibesarkan, pelan tapak masjid baru diukur semula dan amat
mengejutkan, selama ini arah kiblat masjid tersebut telah tersasar sebanyak
lebih daripada 15°. Semenjak itu, setiap kali Solat Jumaat dikerjakan di masjid
berkenaan, imam bertugas mengingatkan para Jemaah supaya mengikut penanda
kiblat baru. Akan tetapi, setiap Jumaat jugalah saya menyaksikan pergaduhan
di antara orang ramai, kerana tidak kurang yang berdegil serta menolak
perubahan Kiblat. Hujah mereka, datuk nenek moyang kami zaman berzaman mengadap
arah
ini. Kalau kami ubah, ertinya solat beberapa generasi di kawasan al-Mazar
al-Janoobi tidak sah! Malah ada pula yang sampai ke tahap mengheret isu ini
kepada soal datuk nenek mereka diazab dalam kubur atau pun tidak atas solat
yang tidak sah itu.
Inilah situasinya. Amat sukar untuk suatu perubahan diusahakan. Khususnya
apabila ia melibatkan pertembungan nilai hujah dengan nilai syakhsiah.
PENILAIAN TERHADAP PANDANGAN IMAM SYAFIE
Al-Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie telah membuat garis yang jelas kepada
sempadan di antara nilai hujah beliau dan hak peribadinya sebagai guru yang
mengajar. Beliau pernah menyebut, setiap masalah yang padanya terdapat khabar
yang sahih daripada Rasulullah s.a.w., yang diriwiyatkan oleh ahli Naqal, dan
didapati ia bercanggah dengan apa yang pernah aku perkatakan, maka aku menarik
balik kata-kataku itu sama ada semasa hidupku atau pun selepas matiku [Ieqadh
al-Humam oleh al-Fulaani]. Banyak lagi pandangan Imam Syafie yang menjurus
kepada hal yang sama iaitu gesaan kepada anak-anak murid dan pengikutnya supaya
mematuhi apa yang terbukti datang dari Hadith Nabi s.a.w dan tidak bertaqlid
kepadanya semata.
Dalam erti kata yang lain, Imam Syafie r.h tidak pernah mengikat anak muridnya
supaya berpegang dengan pandangan beliau secara individu. Sebaliknya,
pandangan-pandangan beliau adalah bergantung kepada hujah-hujah yang
dikemukakan. Sandarannya adalah kepada al-Quran dan Hadith yang sahih. Oleh
yang demikian, pandangan Imam Syafie dan ijtihadnya di dalam memahami al-Quran
serta as-Sunnah, adalah sentiasa terbuka kepada penilaian. Malah Imam Syafie
sendiri banyak menukar pandangannya selepas berhijrah dari Iraq ke Mesir.
CONTOH PRAKTIKAL: CIUMAN DAN WUDHU
Di antara contoh kepada keperluan menilai semula pandangan Imam Syafie adalah
berhubung dengan persoalan batal atau tidaknya wudhu dengan ciuman suami
terhadap isteri. Al-Imam asy-Syafie r.h berpendapat bahawa ciuman membatalkan
wudhu. Beliau menolak Hadith Aishah r.ah. daripada Urwah bahawa Nabi s.a.w.
mencium sebahagian isterinya, kemudian baginda terus keluar untuk bersolat dan
tidak berwudhu semula [Sunan at-Tirmidhi 1/133, juga oleh Abu Dawood dan
an-Nasaaie, lihat al-Muntaqa : 55].
Selepas meriwayatkan Hadith ini, at-Tirmidhi berkata, riwayat ini telah
dinukilkan daripada bukan hanya seorang ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi
s.a.w dan Tabieen. Ia juga adalah pendapat Sufyan ats-Tsauri, Ahli Kufah, yang
mana mereka berpendapat bahawa ciuman tidak menuntut wudhu diperbaharui.
Namun, Imam asy-Syafie bersama-sama dengan Malik bin Anas, al-Auzaie dan
Ishaq, serta sejumlah sahabat Nabi s.a.w dan Tabieen, berpendapat bahawa
ciuman menuntut wudhu diperbaharui. Seterusnya at-Tirmidhi menjelaskan bahawa,
punca Ahli Hadith menolak riwayat itu ialah kerana kelemahan sanadnya.
Imam asy-Syafie menghukumkan Hadith tersebut sebagai lemah, kerana di kalangan
perawinya terdapat seorang yang bernama Mabad bin Nabatah (ãÚÈÏ Èä äÈÇÊÉ) yang
tidak dikenalinya (majhul). Hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang
majhul adalah hadith yang dhaif (lemah) dan tidak boleh dijadikan hujah. Oleh
yang demikian, hadith ini adalah hadith yang dhaif kepada Imam Syafie dan
beliau berijtihad dengan betul, untuk tidak menerima pakai hadith tersebut.
Hal ini tidaklah memberikan sebarang keaiban terhadap Imam Syafie, hanya
disebabkan oleh ketiadaan maklumat beliau terhadap seorang yang bernama Mabad
bin Nabatah. Malah dari sudut yang lain, ia menyerlahkan kehebatan Imam Syafie
yang tahu banyak perkara, dan ketiadaan maklumat hanya tentang perkara sekecil
Mabad bin Nabatah!
Imam Syafie membuat penjelasan bahawa, seandainya terbukti sahih Hadith Mabad
bin Nabatah di dalam masalah ciuman itu, aku berpendapat tidaklah ciuman malah
sentuhan, memerlukan kepada pembaharuan wudhu [Bidayah al-Mujtahid oleh Ibn
Rushd 1/39]
Fenomena seperti ini adalah perkara yang biasa kepada mana-mana tokoh Islam. Ia
berpunca daripada pelbagai sebab, namun yang paling utamanya adalah soal
kesukaran untuk mendapatkan maklumat akibat faktor geografi dan kaedah
komunikasi yang terbatas. Walaupun begitu, ulama Islam telah menumpahkan usaha
yang amat luar biasa di dalam pengumpulan Hadith dan ilmu-ilmu yang lain meski
pun tercabar oleh dua faktor yang disebutkan tadi. Akan tetapi, untuk seorang
alim yang sehebat Imam Syafie r.h tidak mempunyai maklumat, khususnya di dalam
perkara-perkara yang terpencil seperti salah seorang daripada ribuan perawi,
bernama Mabad bin Nabatah, ia adalah suatu keadaan yang terlalu normal untuk
kita salah ertikan.
Ternyata Mabad bin Nabatah adalah seorang perawi yang tsiqah dan ini
dibuktikan melalui maklumat-maklumat yang pelbagai. Misalnya seorang
penganalisa teks Islam yang telah membuat komentar terhadap Sunan at-Tirmidhi
iaitu asy-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir telah menghimpunkan sumber-sumber
berhubung dengan Mabad bin Nabatah sehingga tiada ruang untuk mengingkari
kelayakannya sebagai perawi. Beliau juga telah menjelaskan bahawa di antara
tokoh yang meriwayatkan daripada Mabad bin Nabatah adalah Ibn Abd al-Birr,
Abu Dawood dan al-Baihaqi.
SIKAP MASYARAKAT KITA TERHADAP ISU INI
Rasional di sebalik contoh hukum ciuman itu tadi amat mudah untuk dilihat.
Namun, dengan kerangka pemikiran yang salah, ia menimbulkan pelbagai persoalan
yang tidak disangka-sangka. Misalnya, apabila saya mengemukakan perbincangan di
atas, saya diserang dengan pelbagai soalan yang pelik. Antaranya berbunyi, oh,
maknanya awak lebih alimlah daripada Imam Syafie ya, sebab awak boleh
menyalahkannya?! Kadang-kadang saya disoal, siapa awak untuk mempertikaikan
ijtihad Imam Syafie? Namun yang paling masyhur ialah, ustaz ni mesti
Wahabi!
Aduhai, sukar sekali untuk saya memahami mengapa semua ini terjadi. Akhirnya
saya membuat kesimpulan, apabila seseorang itu mendakwa dirinya sebagai
pengikut Mazhab Syafie tanpa mengetahui langsung hujah-hujah dan asas
sandaran Imam Syafie itu sendiri, maka sebenarnya mereka itu adalah pengikut
peribadi Imam Syafie dan bukannya mazhabnya. Paksi mazhab orang seperti ini
adalah syakhsiah dan bukannya hujah. Lantaran itu mereka sukar memisahkan dua
entiti tersebut. Pada mereka, jika satu pandangan Imam Syafie ditolak, bererti
kita telah mencederakan peribadi Imam Syafie. Tidakkah sikap seperti ini salah?
Bukankah yang terpelihara dari kesalahan, hanya Nabi yang maksum iaitu
junjungan mulia Muhammad ibn Abdillah s.a.w?
Kerangka pemikiran yang sama juga menguasai diri masyarakat kita di dalam
hal-hal yang lain. Apabila seorang anak memberikan pandangan yang bertentangan
dengan pandangan ayahnya, maka dia dianggap mempertikaikan peribadi si ayah.
Apabila seorang ahli di dalam sebuah parti mempertikaikan keputusan ketuanya,
maka dia dianggap menyerang peribadi ketuanya, dan bukan soal hujah.
Akhirnya agenda perubahan terbantut. Saya tidak begitu resah jika agenda
perubahan infrastruktur fizikal yang terhenti, namun soal terbantutnya agenda
perubahan sikap dalam beragama, inilah yang menggusarkan.
KESILAPAN PENDAKWAH
Ramai pendakwah enggan meneliti hal ini. Mereka menyelesaikan masalah yang
kelihatan sedangkan masalah sebenar terselindung di sebalik sudut yang lain.
Pada kebanyakan pendakwah, isu seperti ini adalah soal kejahilan fakta. Kerana
itulah, ramai ustaz dan ustazah cuba untuk mengumpul sebanyak mungkin dalil
Naqli, petikan kata-kata Ulama dan 1001 hujah, lalu dilambakkan kepada orang
ramai sehingga masyarakat menjadi ribut. Namun, apakah perubahan sebenar telah
terhasil?
Pemerhatian peribadi saya, memperlihatkan bahawa hasilnya TIDAK. Malah
masyarakat yang dikatakan berubah itu, hanya mengubah paksi fahamannya daripada
peribadi Imam Syafie, kepada peribadi Ibn Taimiyah r.h! Lalu pusingan masalah
ini terus berputar kencang dan yang beruntung adalah golongan anti Islam.
Mereka inilah yang bertepuk tangan melihat telatah lucu golongan Islam
bermain-main dengan agamanya.
Tiada faedahnya hujah dilambakkan kerana masalah masyarakat kita di dalam hal
ini bukan soal fakta. Masalah tersirat yang merupakan masalah sebenar itu,
adalah soal paradigma, cara berfikir dan manhaj beragama. Ini perlu
diselesaikan bukan dengan lambakan fakta, tetapi teknik dakwah yang sangat
manusiawi sifatnya.
Saya cuba menulis artikel ini sebagai usaha menyusun analisa saya. Jika saya
berfikir tanpa menulisnya, ia menjadi fikiran dan bukan buah fikiran. Pemikiran
mesti disusun kerana ilmu Islam menuntut kepada structured knowledge yang
lazimnya dapat dihasilkan dengan menulis. Mungkin analisa saya ini benar,
mungkin tidak. Namun saya melihat, soal pertembungan nilai syakhsiah dan nilai
hujah, sememangnya menjadi akar umbi kepada pelbagai masalah di dalam cara
masyarakat kita beragama.
Insya Allah di kesempatan yang akan datang, saya akan cuba menyambung diskusi
ini di bawah tajuk SELESA BERAGAMA TANPA DALIL. ISU HUJAH vs. SYAKHSIAH. Wa
biLlahi al-Hidayah wa at-Taufiq.
Wassalamualaikum WBT.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 CHERAS
07 NOVEMBER 2005 / 5 SYAWWAL 1426H
---------------------------------
New Yahoo! Messenger with Voice. Call regular phones from your PC for low, low
rates.
[Non-text portions of this message have been removed]
Apa yang anda cari mungkin ada di sini
http://www.bukusiber.com
E-mel web base percuma untuk warga Tumpat
http://tumpat.mail.everyone.net/email/scripts/loginuser.pl
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/