Assalamualaikum, 
   
   Dalam isu ini ana melihat tulisan yang paling sederhana dan menepati 
kebenaran ialah tulisan Ustaz Zaharuddin tapi diwaktu yang sama pandangan 
pertama dari S.S Ust MAZA juga mempunyai kebenaran dari sudut tertentu dan 
begitu juga dengan ustaz Khairuddin Aman Razali mempunyai kebenaran di sudut 
yang lain atau diwaktu yang lain pula... 
   
   Tapi mesti di ingat yang lebih penting lagi ialah cara perlaksanaan dan 
sekatan undang-undang sehingga perlaksanaan untuk bertindak ke atas perkara 
yang terbuka lebih susah dari perkara yang tersembunyi.. 
   
   Pemikiran tajdid/pembaharuan sebenarnya bukan bermula dari pandangan Ust 
MAZA tapi kita mengharapkan ust MAZA dapat meledakkan lagi kebangkitan tajdid. 
Tapi jangan jadikan individu sebagai objek yang memiliki segala kebenaran.. 
Kerana di satu segi ust MAZA ada sikap keterburuan dan ghuluw sehingga tidak 
melihat dari sudut kesederhanaan.. 
   
   Silakan baca komen ust Zaharuddin di bawah.. 
   
   
   
   
   
  Harus Mengintip Bagi Mencegah 
  Khalwat & Zina ? : Pandangan Ketiga 
  Oleh 
  Ust. Zaharuddin Abd Rahman 
  www.zaharuddin.net 
  Baru-baru ini timbul kehangatan dalam soal intipan dan serbuan yang dilakukan 
oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina, khalwat dan 
yang berkaitan dengannya. 
  Hasil tinjauan saya, agak banyak juga kritikan dari pelbagai pihak terhadap 
kedua-dua pihak yang terlibat. Di ruangan peribadi saya ini, saya tergerak 
untuk turut serta memberikan pandangan berdasarkan kafahaman dan penilaian 
kepada pandangan, hujjah dan perdebatan yang diberikan setelah diasak dengan 
puluhan soalan yang sama dari pelbagai pihak kepada saya melalui SMS, web site 
peribadi, email dan yahoogroup saya. Bagaimanapaun saya tidak sesekali 
menganggap tulisan ini akan mampu memuaskan hati kedua-dua belah pihak (samada 
JAKIM mahupun pihak Sohibul Samahah Mufti Perlis dan yang bersama kedua-dua 
mereka). 
  Pada realitinya, isu ini telah pun ditutup setelah perbincangan sihat di 
antara S.S Mufti Perlis dan JAKIM membuahkan satu keputusan. Tahniah diucapkan. 
Benar, tulisan ini boleh dikatakan agak terlewat dari masa yang sepatutnya 
dikeluarkan jika dilihat dari sudut keperluannya. Bagaimanapun, ia sentiasa 
relevan bagi pencinta ilmu dan pencari kebenaran. Kerana itu saya utarakan 
tulisan ini agar ia dapat memberi sedikit input baru (jika ada) kepada para 
pembaca yang mulia. 
  SYARAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR 
  Hal ini saya tidak perlu mengutarakannya dengan panjang, kerana ramai sudah 
‘kelihatan' jelas dengan syarat-syarat pelaksanaan ‘Amar Makruf Nahi Mungkar'. 
Syarat-syarat ini disebut dengan amat jelas antaranya dari sumber berikut :- 
  ·                                 1) Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazzali 
(5/34) 
  ·                                 2) Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam oleh Syeikh 
Dr Yusof Al-Qaradawi, ( hlm 121, cet Dar As-Syuruq) 
  ·                                 3) At-Tasyri' Al-Jinaie al-Islami oleh 
Syeikh Abd Qadir Awdah ( 1/501, cet Muassasah Ar-Risalah) 
  ·                                 4) Fiqh Ad-Dakwah Wal Irsyad oleh Syeikh 
Abd Rahman Hasan al-Habannakah. ( 2/ 242, cet Dar Al-Qalam) 
  Syarat-syarat ini perlu dipenuhi demi membolehkan dilaksanakan perubahan 
(taghyir) samada dengan tangan, lisan dan hati sebagaimana yang disebut oleh 
Nabi SAW dalam hadith sohih yang cukup popular ( Riwayat Muslim dalam kitab 
Iman). Tanpa syarat ini, tiada peruntukan dibenarkan oleh Islam untuk melakukan 
ketiga-tiga tindakan pencegahan tadi. Kesemua syarat-syarat dikeluarkan dari 
hadith Nabi SAW dan setelah dirujuk kelihatan kesemua syarat yang dikeluarkan 
oleh para ulama Islam adalah hampir sama, ringkasannya seperti berikut :- 
  ·                                 1) Kejahatan (maksiat) itu mestilah dari 
jenis yang disepakati sebagai dosa dengan hukum haram secara qat'ie (putus) 
berdasarkan dalil-dalil yang tepat, specifik dan jelas atau dengan ijma'. 
Sebarang hukum yang bersifat ijtihadi terbuka untuk perbincangan dengan hujjah 
yang kemas. 
  ·                                 2) Maksiat itu sedang berlaku, jika ia 
belum berlaku atau dijangkakan akan berlaku, tindakan yang harus hanyalah 
dinasihati terlebih dahulu. Ini bermakna, sebelum berlaku, tiga tindakan 
cegahan tadi belum menjadi harus, kerana itulah amalan menasihati samada secara 
umum atau specifik dibenarkan. ( At-Tasyri' al-JInaie Al-Islami, 1/502) 
  ·                                 3) Mempunyai kemampuan sebenar dari sudut 
ilmu, kuasa, suasana dan yang berkaitan untuk melakukan usaha mencegah ini. 
  ·                                 4) Mestilah diyakini pencegahan itu tidak 
membawa kemudaratan yang lebih besar. 
  ·                                 5) Maksiat itu mestilah terzohir 
(ternampak) dengan jelas tanpa perlu pengintipan samada dengan cara 
pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Allah SWT menyebut : 
  ولا تجسسوا 
  Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 13  
  Perlu difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan 
maruahnya oleh Islam berdasarkan hadith yang banyak. Malah dosa peribadi yang 
dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT. Antaranya sebuah 
hadith sohih menyebut: 
  كل أمتي 
معافى إلا 
المجاهرين 
  Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan 
(melakukan maksiat tanpa malu dan takut) 
  Rasulullah SAW juga pernah bersabda : 
  اجْتَنِبُوا 
هَذِهِ 
الْقَاذُورَةِ
 الَّتِي 
نَهَى الله 
عَنْهَا 
فَمَنْ 
أَلَمَّ 
فَلْيَسْتَتِرْ
 بِسَتْرِ 
الله 
وَلْيَتُبْ 
إِلَى الله. 
فَإِنَّهُ 
مَنْ يُبْدِ 
لَنَا
 صَفْحَتَهُ 
نُقِمْ 
عَلَيْهِ 
كِتَابَ 
اللهِ عَزَّ 
وَجَلَّ. 
  Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh 
Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan 
tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa 
menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan 
hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh 
al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini 
sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak 
mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.] 
  Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :- 
  عبد الرحمن 
ابن عوف أنه 
حرس ليلة مع 
عمر بن 
الخطاب, فبينا 
هم يمشون شب 
لهم سراج في 
بيت, فانطلقوا 
يؤمونه حتى 
إذا دنوا منه 
إذا باب مجاف 
على قوم لهم 
فيه أصوات 
مرتفعة ولغط. 
فقال عمر
 وأخذ بيد عبد 
الرحمن: أتدري 
بيت من هذا؟ 
قال: قلت: لا. 
قال: هو ربيعة 
بن أمية بن 
خلف وهم الآن 
شرب فما ترى؟ 
قال عبد 
الرحمن: أرى 
قد أتينا ما 
نهانا الله 
عنه نهانا 
الله فقال: 
((ولا تجسسوا))
 فقد تجسسنا. 
فانصرف عنهم 
عمر وتركهم. 
  (Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh bahawasanya beliau pernah 
berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi 
kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang menyala dari rumah, maka 
mereka menghampiri rumah tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati 
pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam 
rumah terdengar suara yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan 
‘Abd al-Rahman: "Tahukah kamu rumah siapa ini?" 
  ‘Abd al-Rahman menjawab: "Tidak." ‘Umar berkata: "Ini adalah rumah Rubi‘ah 
bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat 
mu?" 
  ‘Abdul Rahman berkata: "Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu 
yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: "...dan janganlah 
kamu mengintip ..." dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar 
perkataan beliau, Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq 
diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, 
riwayat no: 18943) 
  ADAKAH PENGECUALIAN DARI LARANGAN PEMERIKSAAN DAN PENGINTIPAN? 
  Persoalan sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis 
peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun seseorang 
tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain, tetapi jika ‘ghalib 
zhon' (besar kemungkinan) seseorang cuba menyembunyikan sesuatu maksiat atau 
jenayah yang boleh memudaratkan ramai orang (seperti yang melibatkan orang 
lain, seperti menculik, cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang 
sama terzahir juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan 
yang boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan 
menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam keadaan 
tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh Ad-Dakwah Ila Allah, 
Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242 dengan pindaan dan tambahan). 
Antara bentuk yang boleh mengharuskannya adalah seperti :- 
  ·                                 a- Terdengar suara orang menjerit meminta 
pertolongan dalam sebuah rumah tertutup yang diyakini terdapat mangsa sedang 
bergelut dengan penjahat di dalamnya. 
  ·                                 b- Terkeluar bauan arak yang amat kuat dari 
sebuah rumah orang Islam serta ramai pula tetamunya (persis sebuah majlis arak 
dan seks beramai). 
  ·                                 c- Terlihat dengan jelas si lelaki membawa 
wanita yang diyakini bukan isterinya berdua-duan, berpelukan dan berpegangan 
tangan dengan cara yang diketahui bukan cara sang suami dengan isteri. 
  ·                                 d- Berdua-duaan lelaki dan wanita yang 
diyakini bukan mahram di tepi-tepi tasik atau di dalam bilik kuliah di 
Universiti pada jam 2 pagi. 
  ·                                 e- Melakukan maksiat secara bersembunyi di 
dalam kereta tetapi di lakukan tempat awam yang gelap. 
  Maka dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa, 
sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga 
berlakunya maksiat atau jenayah. Malah HARUS juga untuk MENGETUK, memeriksa 
rumah dan bilik hotel seseorang jika terdapat laporan yang boleh dipercayai 
tentang ia melakukan jenayah atau maksiat di dalamnya terutamanya apabila 
terzahir sehingga keluar bunyi jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan 
sepertinya (Rujuk Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi' Al-Jina'ie, 
1/504 dengan sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya 
Ulumiddin, 5/36) 
  TATACARA YANG PERLU DIPERBETUL 
  Apa yang diperlukan kini adalah ketertiban adab dan tatacara si penyelidik 
atau penyerbu. Bagi kes serbuan bilik hotel sebagai contoh, terdapat 
kemungkinan penghuni bilik itu adalah suami isteri. Terdapat kemungkinan besar 
pula mereka tidak membawa sijil nikah bersama. Justeru, pegawai penguatkuasa 
perlu berhati-hati agar mereka tidak bertindak dengan nafsu seronok hingga 
boleh mengaibkan orang serta menjaga adab sebagai wakil kepada Jabatan dan 
penguatkuasa agama. Untuk itu, perlu bertanya terlebih dahulu, memberi ruang 
kepada wanita di dalam bilik tersebut untuk berpakaian lengkap sebelum 
mengajukan pelbagai soalan. 
  Kerana itu, adalah penting bertindak berdasarkan laporan dan tidak sewajarnya 
di'serang' semua bilik hotel setiap kali serbuan dibuat. Dalam kes serbuan 
bilik hotel, antara contoh adab dan tertib yang terlintas di fikiran saya, yang 
perlu dipastikan oleh Jabatan Agama dan penguatkuasa serbuan dan tangkapan 
adalah seperti berikut :- 
  ·                                 1) Memastikan semua pegawai yang dihantar 
adalah terlatih dan berilmu dalam tugasan yang ingin dilaksanakan. Termasuklah 
pegawai sukarelawan, ini kerana ia membawa imej sesebuah jabatan agama itu. 
  ·                                 2) Mestilah bertindak menyerbu dengan 
laporan sahaja jika dalam keadaan biasa, kecuali jika statistic dan data 
menunjukkan sesebuah hotel itu adalah sarang pelacuran dan maksiat. 
  ·                                 3) Jangan mengintai dan sengaja menunggu 
hingga dapat melihat sesuatu yang tidak harus baginya untuk melihat, tetapi 
perlulah terus memaklumkan dengan lantang akan kehadiran mereka sebagai Jabatan 
Agama. Samada dengan terus mengetuk pintu. Perlu difahami bahawa ia masih 
diikat dengan hadith : 
  Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a: 
"Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah 
s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk 
menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: 
Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam 
matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah 
disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan." 
  ·                                 4) Jangan terus memasuki bilik hotel yang 
diserbu, sebaliknya meminta si lelaki membuka pintu terlebih dahulu. Pegawai 
bertugas tidak perlu bertungkus lumus berlari di setiap sudut bilik hotel bagi 
mencari suspek wanita atau lelaki. 
  ·                                 5) Jangan terus membuka semua pintu bilik 
air dan menarik selimut sebaliknya mengarahkan si lelaki (atau wanita) 
berkenaan untuk memanggilnya keluar atau jika dinyatakan bahawa ia adalah 
isterinya. Pihak Jabatan perlulah bersangka baik dan memberi ruang agar si 
isteri menutup aurat dengan sempurna dan kemudian barulah mereka kembali 
memastikan status wanita itu. Ini kerana dibimbangi ia adalah isteri sebenar 
bagi si lelaki. 
  SEBAB-SEBAB YANG MENJADIKAN INTIPAN, SELIDIKAN BERUBAH HUKUM KEPADA HARUS 
  Antara sebab yang menjadikan selidikan, serbuan dan intipan ringan bertukar 
dari haram kepada hukum bersyarat adalah :- 
  •1)       Apabila Terdapat Bukti dan Laporan Berwibawa 
  Berkenaan keharusan tinjauan, serbuan dan selidikan, kita boleh melihat dari 
hadith yang disebut sebelum ini, iaitu :- 
  مَنْ يُبْدِ 
لَنَا 
صَفْحَتَهُ 
  Ertinya : "Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada 
kami.." 
  Lafaz ‘menampakkan' dalam hadith ini mempunyai pelbagai bentuk dan cara, 
antaranya dengan cara (At-Tasyri' Al-Jinaie Al-Islami, 1/504-505 dengan 
tambahan) :-   
  ·                                 Pertama : Pendengaran, seperti terdengar 
percakapan dua lelaki tentang hasrat mereka untuk melakukan pembunuhan dan 
penculikan; maka di ketika itu adalah harus mengintipnya dan menelitinya. 
Demikian juga, percakapan wanita dan lelaki untuk menyewa hotel untuk melakukan 
maksiat mereka. 
  ·                                 Kedua : iaitu dengan bauan dan hiduan 
tertentu, seperti pembawa dadah di dalam beg. Pihak kastam menggunakan anjing 
pengesan untuk menghidunya sedangkan ianya adalah tersembunyi dan 
disembunyikan, hasilnya adalah harus menahan mana-mana orang yang begnya 
dikesan oleh anjing pengesan sebagai berpotensi mempunyai dadah. 
  ·                                 Ketiga: Pengelihatan mata, saya kira ia 
adalah amat jelas. 
  ·                                 Keempat: melalui sentuhan, sebagai contoh 
sentuhan tidak diundang si lelaki terhadap seorang wanita dijadikan dalil dan 
bukti terhadap niat jahat si lelaki yang tersembunyi. 
  Apabila terdapat tanda-tanda seperti ini dalam kes khalwat di hotel dan 
lainnya, serbuan dan penyelidikan adalah HARUS dilaksanakan, tetapi sebagaimana 
yang disebut tadi, ianya mestilah dilaksanakan dengan hemah dan adab. Untuk 
itu, Jabatan Agama perlulah menyediakan ‘guideline' dan kursus bagi 
penguatkausa ini agar mereka lebih berilmu. 
  Saya pernah membaca beberapa kali di akhbar, penguatkuasa sukarela 
penangkapan khalwat yang  menyeleweng sehingga ada yang mencabul kehormatan 
wanita yang ditangkapnya. Inilah akibat apabila operasi ini tidak ditangani 
dengan terancang. 
  2) Dilakukan Atas Dasar Siyasah Syari'yyah oleh Pemerintah 
  Imam As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan 
kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab 
al-Islami). Kita perlu memahami bahawa di dalam memahami dalil-dalil al-Quran 
dan hadith berkenaan larangan intipan. Hak dan harta peribadi seseorang boleh 
dicerobohi oleh pemerintah Muslim apabila disasarkan tindakan itu kepada satu 
maslahat yang lebih umum dan luas. Bagaimanapun, sebagaimana di sebut tadi, ia 
mestilah dilakukan dengan adab menurut garis panduan  tertentu. 
  Dalam hal menyerbu bilik-bilik hotel, saya berpandangan ianya HARUS dilakukan 
terutamanya apabila mendapat laporan yang diyakini benarnya. Manakala DI KETIKA 
tiada terdapat laporan, serbuan juga boleh menjadi HARUS untuk dilakukan demi 
mencapai salah satu di antara Maqasid Shariah, iaitu menjaga keturunan dan 
menjaga maruah umat Islam. Antara objektif Shariah dalam mengaharamkan 
perbuatan zina adalah kerana ianya boleh mencarik silsilah keturunan umat 
manusia, menyebabkan hubungan ketrunan terancam, selain itu zina dan khalwat 
boleh menyebabkan maruah tercarik, berlakunya tuduhan zina tanpa saksi yang 
cukup dan sebagianya. Untuk itu, menjadi satu tujuan yang sohih untuk mencari 
jalan agar selruh kemungkinan yang boleh membawa kepada zina di tutup sekadar 
kemampuan yang ada. Ia dinamakan ‘Sadd Zari'atu az-Zina' (menutup peluang zina) 
di bilik hotel yang urufnya sarang maksiat. Ia berbeza dengan serbuan di rumah 
yang jarang tidak sepatutnya di lakukan kecuali apabila
 terdapat laporan yang benar-benar dipercayai. Perlu difahami akan bezanya 
intipan di rumah dan intipan di hotel dan tasik di malam hari. 
  Umum mengetahui bahawa hotel kerap kali dijadikan tempat maksiat oleh 
pasangan muda mudi, juga tidak terkecuali golongan tua. Disokong pula dengan 
statistik kekerapan berlakunya maksiat di hotel, bolehlah dikatakan ia sebagai 
satu tempat yang amat strategik dan kondusif untuk melakukan maksiat. Ini 
menyebabkan kumpulan ilmuan Islam perlu menilai hukum serbuan di hotel 
berbanding rumah persendirian dalam konteks semasa. 
  Selain itu, ia juga berobjektif untuk menyusah dan menimbulkan rasa takut 
serta bimbang pelaku maksiat untuk bersenang-senang ke hotel bagi melakukan 
perzinaan, khalwat, culik dan lain-lain aktiviti maksiat atau jenayah. 
  Bagaimanapun, kekerapan serbuan tanpa laporan ini perlulah rasional dan 
dipantau agar tidak keterlaluan. Ini bermakna, serbuan beradab tanpa laporan 
dibuat atas dasar Siyasah Syar'iyyah. 
  Kefahaman Terhadap Dalil Larangan Intipan 
  Saya faham bahawa memang jelas dan terang terdapat pelbagai dalil terutamanya 
dari hadith Nabi SAW  yang mengisyaratkan dengan jelas perihal kejinya 
perbuatan mencari-cari kesalahan dan mengintip. Bagaimanapun, ia masih lagi 
terbuka kepada ijtihad berubahnya hukum itu dalam keadaan suasana dan zaman 
tertentu. Kes Sayyidina Umar al-Khattab yang meninjau di dalam rumah Rubi‘ah 
bin Umayyah adalah dalam situasi yang mungkin berbeza dengan hotel awam di 
zaman ini.  Malah Kefahaman hadith dengan sohih juga mestilah ditinjau dari 
jenis hadith. Ini kerana berapa banyak jenis hadith yang ‘direct' menyebut 
sesuatu hukum tetapi ia berbeza aplikasi hukumnya kerana ada di antaranya :- 
  a- Dibina di atas uruf dan adat di ketika itu, dan boleh berubah menurut 
keadaan. Sebagaimana hadith laknat Allah SWT atas tindakan "menyambung rambut 
untuk kecatntikan serta mengubah ciptaan Allah " ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1853 , 
no 4604). Dalam hal hadith ini terdapat ulama seperti Ibn ‘Asyur yang 
berijtihad mengatakan : "menurut pandanganku, larangan ini adalah terkesan 
kepada keadaan (uruf) di zaman Arab silam" (Maqasid As-Shariah al-Islamiyah, 
hlm 228 ). Dr. Muhammad Abu Laith (penyelia tesis PhD S.S Dr Mohd Asri) pula 
menyatakan " Terdapat benarnya kata-kata Ibn ‘Asyur dalam hal ini , kerana 
ulama tidak mengambil hadith tadi dalam bentuk umumnya sehingga berkatalah 
Ulama Syafie dan Hanbali : HARUS bagi wanita berkahwin untuk menyambung rambut 
dengan rambut yang bersih bukan kepunyaan manusia apabila mendapat izin 
suaminya" ( ‘Ulum al-Hadith, Dr Md Laith, hlm 366 ; Al-Fiqh Al-Islami Wa 
Adillatuhu, 1/312 naqal dari Laith) 
  b- Terikat dengan zaman tertentu yang berubah menurut zaman juga. Sebagai 
contoh hadith yang menyebut tentang timbangan adalah menurut timbangan ahli 
Mekah dan ‘mikyal' adalah menurut kiraan ahli Madinah. (Riwayat Abu Daud, 3/246 
; Sohih ). Dr Yusof Al-Qaradawi dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa dengan terang dan 
jelas menyebut bahawa hadith ini terikat dengan zaman dan kelebihan kepada 
timbangan dan kiraan ahli Mekah dan Madinah itu tidak bersifat tetap sehingga 
hari kiamat tetapi telah berubah kepada kiraan moden yang lebih mudah. (Kayfa 
Nata'amal Ma'a As-Sunnah, hlm 147 ; Fatawa Az-Zarqa ) 
  c- Dibina atas dasar menutup peluang dosa atau kerburukan dari berlaku; 
sebagai contoh, hadith larangan Nabi SAW dari menjatuh hukuman bunuh ke atas 
pelaku sihir yang mensihir Nabi SAW bernama Lubaid Al-‘Asom. Imam Ibn Hajar 
menyebutkan bahawa Imam Al-Qurtubi berpendapat bahawa pelepasan dari hukuman 
itu dibuat kerana bimbang jika dijatuhkan hukuman bunuh kepadanya, maka akan 
menjauhkan orang ramai dari memasuki Islam. ( Fath al-Bari, 1/231 ; rujuk 
pelbagai contoh lain dalam Ulum AL-Hadith oleh Dr. Md Abu Laith, hlm 373) 
  d- Dibina atas dasar maslahat tertentu yang berubah menurut zaman ; Sebagai 
contoh adalah larangan Nabi SAW dari melaksanakan hukuman poting tangan pencuri 
ketika musim peperangan. ( Riwayat at-Tirmidzi, no 1450 ; Tirmidzi : Hasan 
Gharib ). Cuba lihat sedangkan dalil jelas dari Al-Quran mengarahkan hukuman 
ini dilakukan, tetapi di ‘adjust' waktu pelaksanaannya menurut maslahat. 
Demikian juga kisah Sayyidina Umar al-Khattab yang mengubah cara Nabi yang 
biasanya membahagikan hasil kemenangan Islam di Khaybar kepada para pejuang. 
Dimana Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya tidak mengagihkan tanah Sham, 
Iraq dan mesir kepada para pejuang, sebaliknya mengekalkannya di tangan tuan 
tanah dan hanaya mengenakan cukai tanah (Kharraj) sahaja. ( Rujuk al-Mughni, 
4/189) 
  Banyak lagi bentuk hadith yang jelas hukumnya tetapi terdapat aplikasi dan 
tindakan pengecualian dalam keadaan tertentu, samalah seperti hal mengintip 
ini, masih terdapat ruang ijtihad untuk membolehkannya di laksanakan oleh 
pemerintah Muslim di zaman fasadnya umat, wujudnya peluang selesa maksiat di 
hotel dan lain-lain.  
  TINDAKAN SIYASAH SYARIYYAH BOLEH MELAMPAUI HAK PERIBADI 
  Bukti bahawa beberapa hal yang haram atas individu boleh menjadi harus oleh 
pemerintah Muslim YANG ADIL dalam keadaan tertentu. Hal ini seperti berikut 
(Rujuk At-Turuq al-Hukmiyah, Ibn Qayyim al-Jawziyah, hlm 43) :- 
  a) Tindakan Nabi SAW yang memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat 
untanya, agar melepaskannya. (Riwayat Muslim ; no 2595). Kita dapat melihat 
bahawa unta tersebut adalah harta milik si wanita dan Nabi SAW pernah menyebut 
di dalam sebuah hadith sohih bahawa "diri kamu, darah kamu, harta kamu dan 
maruah kamu sesame kamu adalah haram (untuk dicerobohi)" oleh orang lain tanpa 
hak. Maka dalam hal ini, hak harta peribadi si wanita yang sepatutnya haram 
diganggu oleh orang lain, telah dilupuskan statusnya oleh pemerintah Islam 
apabila diperintahkan ia melepaskannya. Inilah namanya tindakan Siyasah 
Syar'iyyah, bagaimanapun, kemudaratan yang timbul kepada awam mestilah 
diminimakan sedaya upaya. Agar mampu mencapai maksud yang disasarkan. 
  b) Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum 
ini dinasakhkan selepas itu. (Riwayat Abu Daud ; no 4482 , At-Tirmidzi ; no 
1444) 
  c) Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat. (Riwayat Abu 
Daud ; no 1575 ) 
  d) Nabi SAW pernah mencabut cincin emas seorang sahabat tanpa banyak soal, 
lalu dilemparkan cincin emas itu sedangkan ia adalah harta peribadi yang dijaga 
kehormatannya oleh Islam. 
  e) Mempergandakan nilai denda ke atas pencuri yang tidak cukup nilai curian 
(untuk dilakasanakan dipotong tangan), selain ditambah pula dengan dilaksanakan 
hukuman sebat sebagai pengajaran. (Riwayat Abu Daud ; no 4390 dan At-Tirmidzi ; 
no 1289). Sedangkan menyakiti orang lain adalah haram menurut hukum asalnya, 
tapi dalam hal ini, tindakan pemerintah yang melakukannya adalah harus bagi 
mensasarkan ia sebagai pengajaran. 
  f) Tindakan Nabi SAW yang bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah 
mereka yang tidak bersolat jemaah. (Riwayat Muslim ; no 652) 
  g) Tindakan Abu Bakar As-Siddiq, Ali k.w, Abdullah Az-Zubair r.a yang 
membakar peliwat sebagai hukuman. Sedangkan kita mengetahui bahawa adalah 
dilarang untuk membunuh dengan membakar. (At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46) 
  h) Tindakan Sayyidina Umar al-Khattab yang membotakkan kepala Nadhar bin 
Hajjaj serta menghalaunya kelaur dari Madinah hanya semata-mata wajahnya yang 
terlampau kacak menyebabkan wanita berangan-angan dan berhasrat untuk melakukan 
maksiat dengannya. Bukankah wajah yang tampan itu bukan ikhtiyar (pilihan) 
Nadhar, tetapi kita dapat melihat Siyasah Syariyyah menjadikan Umar bertindak 
demikian demi maslahat umum. Demikian juga menurut pandangan saya berkenaan 
serbuan sekali sekala oleh Jabatan Agama walaupun tanpa laporan, iaitu demi 
maslahat yang lebih umum. ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46) 
  i) Umar juga pernah bertindak mengetuk kepala Sabi' bin Asal at-Tamimi kerana 
bertanya perkara yang tidak berkenaan dengannya. Bukankah terdapat pelbagai 
dalil melarang kita menyakiti orang lain.? Tetapi Umar memukulnya sebagai 
tindakan pengajaran kepada yang lain. 
  Wajah ad-dalalah dalam semua item di atas adalah bagaimana hak peribadi dan 
milik seseorang HARUS di'CEROBOHI'kan menurut kadar yang sepatutnya oleh 
pemerintah muslim (dalam hal ini JAKIM atau Jabatan-jabatan Agama lain) apabila 
ia diyakini boleh membawa kepada kebaikan awam yang lebih besar, tetapi ia 
tidaklah begitu terbuka dan masih mempunyai syarat-syarat seperti cuba 
meminimakan mudarat individu itu, dibuat secara beradab dan rasional dan 
sebagainya. 
  KESIMPULAN 
  Demikian, secara sederhana saya utarakan pandangan ketiga dalam hal ini. Ini 
bermakna, saya bersetuju dengan saranan Sohibul Samahah Mufti Perlis agar 
diperkemas tindakan serbuan, tetapi saya TIDAK sependapat dengan beliau dalam 
hal melarang dan mengharamkan intipan secara umum yang boleh menyebabkan 
terbantutnya seluruh operasi ops maksiat yang telah sedia ada. Saya juga 
bersetuju dengan JAKIM dan lain-lain Jabatan Agama yang ingin meneruskan usaha 
ini, pada masa yang sama saya tidak bersetuju jika tindakan Penguatkuasa 
Jabatan Agama yang menjadikannya sebagai rutin harian dan menyerbu tanpa adab 
dan tertib. 
  Akhirnya, banyak suara yang menyebut, keutamaan patut diberikan untuk 
mencegah maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, saya bersetuju dengan 
kenyataan ini, tetapi saya kurang bersetuju untuk menidakkan usaha siyasah 
syariyyah ke arah pembanterasan gejala khalwat dan potensi zina di hotel, tepi 
tasik, bilik kuliah Universiti, di dalam kereta di dalam gelap dan lain-lain 
tempat strategik maksiat. Sebagaimana tidak perlu kita menidakkan usaha 
solatnya seorang kaki judi, tidak perlu juga menyuruh orang yang ponteng solat 
untuk agar meninggalkan puasa mereka atau mengkrtik mereka paabila merkea 
melakukan solat sunat dhuha. Biarlah, jika itu sahaja yang mampu dilaksanakan 
ketika ini demi meluaskan ketaatan kepada Allah. Maka lakukanlah, cuma 
tambahilah ilmu dalam pelaksanaanya. Ibn Qayyim menyebut : "Barangsiapa 
berijtihad dalam hal mendapatkan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya (dalam 
hal muamalat dan adat) maka ia berada di lingkungan satu ganjaran atau dua" (
 At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 50) 
  Sesiapa yang ingin mendiskusikan artikel ini dipersilakan ke forum saya di 
http://www.freeforum101.com/jordanian atau sertai yahoogroups saya di 
http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin 
  Bagaimanapun, saya tidak dapat menjamin kemampuan melayan semua komentar 
kerana masa yang amat terhad. 
  Wallahu ‘alam. 
   
   

 
---------------------------------
Finding fabulous fares is fun.
Let Yahoo! FareChase search your favorite travel sites to find flight and hotel 
bargains.

[Non-text portions of this message have been removed]



Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke