Assalamualaikum,
Ini adalah temu bual tentang perbincangan membendung pemikiran lama oleh
Ustaz ASRI..
Isu dan konsepnya sungguh bagus.. Ustaz2 pas jangan melenting.. Banyak
kebenaran dalam isu pemikiran ini.. Pemikiran jumud dan kefahaman yang beku
mestilah di kikis.
Tapi mesti di ingat yang penting ialah perlaksanaan.. Pemikiran ustaz yang
beku dan jumud mesti di tentang tapi banyak lagi perkara yang melibatkan
perlaksanaan yang mesti di detailkan dan di urus dengan lebih kemas dan jitu..
Saya mendengar perbincangan oleh beberapa orang ustaz termasuk ustaz
Khairuddin Aman Razali di IKIM sebahagiannya tapi sayangnya tidak ilmiah dan
dipengaruhi emosi. Hujah2 tidak jelas dan kabur.. merapu2 dan tidak benar sama
sekali.
Seolah2 perkara khilafiah tidak boleh dibincangkan.. kalau begitu 100% agama
akan rosak kerana tidak ada satu perkara pun yang boleh di kategorikan sebagai
benda yang tidak ada khilafiah tapi di sana ada khilafiah yang keji, khilafiah
yang mesti kita mengambil pendapat yang terkuat dan sebagainya.. Yang penting
bukan menafikan perbincangan soal khilafiah tapi soal sikap dan caranya
sahaja..
Ustaz2 ini jauh tidak ikhlas berbanding dengan ustaz Asri berdasarkan cara
bercakap.. tidak ada hujah ilmiah, tanpa fakta boleh bercakap dalam forum
seumpama ini.
Saya fikir patutlah ustaz Asri mengambil sikap sedemikian, kerana sikap yang
agresif tidak berfakta dan ilmiah oleh sesetengan ustaz PAS. Kalau nak jawab,
jawablah macam ust Zaharuddin tu dan bukan cara merapu tanpa fakta..
wassalam.
http://drmaza.blogspot.com/2007/01/percubaan.html
Membendung Pemikiran Lama
Mukadimah
Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia tetapi cukup terkenal kerana wujud
beberapa keunikan dalam segi amalan agama termasuk mempraktikkan fahaman
Wahhabi di bawah Ahli Sunnah Waljamaah. Selain itu, beberapa isu agama seperti
kelonggaran syarat berpoligami mempopularkan lagi negeri di bawah kepimpinan
Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim ini.
Terbaru, timbul pula isu larangan perbuatan mengintai dalam tangkapan kes-kes
khalwat yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama. Kenyataan yang mengejutkan
banyak pihak itu dibuat oleh Mufti Perlis yang baru, Dr. Mohd. Asri Zainul
Abidin sebagai salam taaruf atau perkenalan selepas beberapa hari mengangkat
sumpah jawatan pada 14 November 2006.
Rupa-rupanya, kenyataan oleh mufti berusia 36 tahun itu menyebabkan beberapa
pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terasa bahangnya. Ini
terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd.
Zin mengakui penguatkuasaan undang-undang berkaitan khalwat di negara ini masih
lemah dan perlu diperkemaskan.
Dalam wawancaranya dengan wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan METRA SYAHRIL
MOHAMED di pejabatnya di Kangar, Perlis, Khamis lalu, Mohd. Asri menjelaskan
secara terperinci visi dan misi beliau sepanjang bertugas sebagai Mufti Perlis.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkelulusan Doktor
Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) dan pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat
Negeri Perlis semasa berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang.
Kata Mohd. Asri, Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa
perubahan, merekalah yang membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan
kepada mereka.
Saya sedia menerima sebarang kritikan kerana setiap perubahan itu mesti
menghadapi tentangan. Bagaimanapun saya tidak kehilangan apa-apa. Saya menjadi
mufti pun untuk seketika sahaja, tegasnya.
MINGGUAN: Bagaimana reaksi yang diterima selepas Dr. mengeluarkan kenyataan
melarang intipan sesuai dengan kaedah tajassus dalam kes tangkapan khalwat?
MOHD. ASRI: Sepatutnya para sarjana Islam di negara ini tidak terkejut dengan
kenyataan ini. Kalau ada yang membaca tulisan para ulama dahulu dan kini
tentang bab tidak boleh mengintai ini, ia dinyatakan dengan jelas. Dr. Yusof
al-Qardawi menyatakan dengan jelas, tidak boleh mengambil video, tidak boleh
mengintip orang di belakang tabir atau balik pintu. Masalah imej Islam itu
ialah bagaimana supaya ia tidak menjadi agama yang disalah sangka.
Isunya bukan menghalang banteras khalwat tetapi prosedur dalam membuat
tangkapan termasuk intipan. Ada kira-kira 50 tugas penguat kuasa agama termasuk
menahan orang yang tidak sembahyang Jumaat tetapi mengapa khalwat sahaja
berjalan?
Khalwat bukan zina. Tuduhan zina perlu dibuktikan dengan empat orang saksi.
Khalwat baru tuduhan bersekedudukan dan selalunya dilakukan secara bersembunyi.
Maknanya mereka takut. Ini berlawanan dengan mereka yang melakukan maksiat
secara terbuka di tempat awam seperti berpelukan lelaki dan perempuan bukan
mahram, membeli nombor ekor, berjudi dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, seorang lelaki bernama Mais
g berjumpa Nabi dan mengaku berzina. Nabi memalingkan muka ke kanan dan
bertanya adakah engkau mempunyai penyakit gila? Barangkali engkau raba atau
cium sahaja. Ini menunjukkan Nabi cuba mengelakkan kes bersifat mengaibkan.
Sebab itu Dr. menggesa tumpuan diberi kepada mencegah kemungkaran secara
terbuka?
MOHD. ASRI: Ya, kita perlu menumpukan kepada menghapuskan maksiat yang terbuka
termasuk merompak, mencuri dan berjudi. Jangan tanya pembangkang. Saya tidak
tahu bagaimana negara Islam yang mereka hendak bentuk. Kalau sistem khalwat itu
diterima pakai seperti saya tengok di laman web pembangkang, ertinya kalau
memerintah, mereka terpaksa membuat negara ini negara special branch. Mereka
terpaksa merisik untuk mengetahui jenayah dan maksiat orang lain.
Dalam proses menyerbu bilik-bilik hotel, penguat kuasa bertembung dengan
pelbagai perlakuan maksiat termasuk minum arak secara terbuka tetapi tidak ada
yang mengambil tindakan. Contoh lain, kalau seorang perempuan ke pejabat agama
mengadu dipukul suaminya, barangkali orang agama suruh bersabar dan baliklah
perempuan itu. Mungkin dua minggu lagi dia datang dengan telinganya merah dan
mengadu disepak suami. Dia sekali lagi disuruh bersabar.
Masalahnya, tidak ada pegawai agama berjumpa suami wanita itu dan terangkan
bahawa dia melakukan sesuatu yang menganiayai isteri. Kes begini berlarutan
berbulan-bulan, sampai bertahun sedangkan ada artis ternama masuk bilik hotel,
pegawai agama cepat sampai. Bila kes cerai, semua cakap tidak cukup masa atau
tenaga.
Pandangan Dr. itu dilihat seperti gelombang atau aliran baru golongan ulama
muda di negara kita. Tidakkah terdapat kebimbangan terhadap penerimaan oleh
mufti atau ulama yang lain?
MOHD. ASRI: Ini wujud kerana proses aliran pemikiran berbeza. Saya seorang yang
memberikan pandangan dan tidak menyembunyikan pandangan. Saya menghormati
mufti-mufti lain yang bertaraf bapa kepada saya. Namun, apabila perlu, saya
akan memberikan pandangan.
Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa perubahan, merekalah yang
membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan kepada mereka. Ada
rakan-rakan yang menghubungi saya dan berkata, perkara yang anta (anda) sebut
itu betul, baguslah tetapi perlahan la sikit. Bagi saya, kita tidak boleh
berlengah lagi. Masalah yang menimpa umat Islam sudah kronik yang memerlukan
penjelasan atau pembetulan segera.
Ada banyak lagi isu yang akan dibangkitkan antaranya isu membabitkan wanita.
Islam melindungi wanita dengan hukum-hukum talak bagi mengelak wanita dianiaya.
Persoalannya, mengapa urusan talak ini mengambil masa sehingga menyeksa batin
wanita sedangkan Islam ada banyak peruntukan.
Antara sebabnya adalah wujud pemikiran lama yang menganggap wanita yang
berusaha melepaskan diri daripada suami melakukan kesalahan dalam agama.
Walhal, ia tidak salah kalau ada sebab.
Mengapa ini berlaku sedangkan terdapat hadis menyuruh kita memudahkan urusan?
MOHD. ASRI: Tujuan kita tubuhkan Mahkamah Syariah adalah untuk memudahkan
keadaan. Saya dukacita kepada sesi kaunseling di pejabat agama. Apabila wanita
buat aduan untuk melepaskan diri daripada perkahwinan yang menyeksanya, proses
itu tidak dimudahkan. Kadang-kadang mereka memberi nasihat supaya bersabar.
Berulang aliklah wanita itu naik turun pejabat agama. Tidak juga selesai. Satu
kes memakan masa bertahun-tahun.
Ini adalah penganiayaan. Kenapa semua silent? Dulu, kita bising sekejap tetapi
keadaan berterusan. Yang kita tengok cepat kalau artis, orang ada duit atau
orang besar yang boleh ambil peguam. Tetapi jika orang biasa, suami tidak beri
nafkah, macam mana nak ambil lawyer? Bukannya mereka (orang agama) tidak ada
ilmu kaunseling tetapi mereka enggan menyusahkan diri membuka fail.
Sebahagiannya kerana pemikiran lama yang salah.
Orang Melayu selalu menyebut, tiang arasy bergoncang apabila isteri minta
cerai. Benarkah dakwaan itu?
MOHD. ASRI: Tiang arasy tidak bergoncang kerana kita. Arasy Allah Maha Kaya.
Seseorang wanita boleh minta cerai kalau dia mempunyai alasan seperti suami
zalim, tidak adil atau merasakan tidak ada kesesuaian lagi hidup berumah
tangga. Ataupun bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri.
Mesej saya, jangan jadikan wanita sebagai kelas kedua atau didiskriminasikan.
Jika tidak, dakwaan Barat terhadap Islam akan diakui oleh mereka berasaskan
pengalaman berurusan dengan pihak berkuasa agama.
Ada kebimbangan penerbitan bible dalam bahasa Melayu (BM) akan menyebabkan
golongan muda terpengaruh kepada ajaran Kristian seterusnya murtad. Adakah ia
berasas?
MOHD. ASRI: Kita perlu tanya kenapa orang murtad? Adakah agama kita tidak cukup
baik? Salah satu sebabnya kerana dahulu apabila golongan agama mengajar, mereka
tidak memberi kefahaman. Jemaah dilarang bertanya sehingga timbul falsafah,
siapa banyak bertanya imannya lemah. Pendek kata, jangan banyak tanya, kalau
ustaz cakap, terima sahaja.
Itulah puncanya orang pertikai agama. Hari ini manusia bertanya dan
mempertikaikan segala- galanya termasuk agama. Maka apabila agama gagal memberi
jawapan, orang mula syak kepada agama. Sebenarnya bukan agama yang lemah tetapi
orang agama yang tidak mempunyai tahap keintelektualan yang setaraf dengan
agama itu.
Islam membimbing manusia berfikir. Contohnya bible dalam bahasa Malaysia.
Memang kita hendak menjaga akidah tetapi apa kata orang bukan Islam terutama
Kristian jika mereka tahu kita tidak membenarkan bible dalam bahasa Malaysia?
Alasannya, takut orang Islam baca dan terpengaruh. Jika ini berlaku, tentu
mereka menyangka bible benar dan hujah mereka kuat. Jika begini kita juga akan
sampai ke tahap halang anak belajar bahasa Inggeris dan bahasa Arab kerana ada
bible dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Sifat takut hanya menunjukkan
kelemahan agama.
Mengapa tidak apabila sudah tahu ada gerakan Kristian sedemikian, golongan
agama di masjid huraikan segala percanggahan fakta di dalamnya seperti yang
dilakukan oleh Allahyarham Ahmad Deedad? Jika kita mantap dari segi pengetahuan
dan akidah keluarlah bible bahasa apa pun kita tidak terjejas. Golongan agama
perlu tampil menghuraikannya tetapi mereka takut kerana tidak ada persediaan
yang cukup.
Tidak ada persediaan yang cukup dalam mendepani isu-isu yang kontemporari?
MOHD. ASRI: Waktu dulu, ibu bapa hantar anak ke sekolah agama sebagai pilihan
terakhir. Anak yang tidak kuat minda atau IQ paling rendah dihantar mengaji di
pondok atau sekolah agama. Senario itu kini sudah berubah. Sebab itu, jangan
asyik nak menghukum orang murtad. Kalau benar murtad, tanya siapakah yang
secara tidak langsung menyebabkan mereka murtad. Jawapnya, sikap golongan agama
yang suka menyusahkan orang lain.
Contoh, pada bulan Ramadan banyak fatwa tentang batal puasa sedangkan bukan
senang nak batal puasa. Kita suka ke arah menyusahkan. Sebab itu saya berkempen
memudahkan fikah, ajar fikah secara mudah difahami dan didekati.
Adakah ini juga penyebab kepada pandangan mengatakan orang Islam tidak boleh
menjawab ucapan salam bukan Islam?
MOHD. ASRI: Ini contoh kesilapan masyarakat kita. Sebahagian orang agama
mengajar orang Islam tidak boleh jawab salam bukan Islam. Bila mereka sebut
assalamualaikum maksudnya selamat sejahtera. Tetapi ada orang agama mengajar
kita menjawab waalikum sam, (maut kepada kamu) Walhal al-Quran menyuruh apabila
orang memberi ucapan penghormatan maka balaslah lebih baik atau setara
dengannya. Tidak ada masalah menjawab.
Tetapi kita diajar dengan akhlak tidak baik. Adakah baik agama yang dikatakan
berakhlak tinggi tidak boleh menjawab salam sejahtera seseorang kerana dia
bukan Islam? Kita tidak menyertai ibadat orang lain tetapi boleh mengucapkan
selamat hari raya kepada kaum Cina atau India seperti juga ucapan selamat pagi.
Saya tidak setuju kongsi raya dengan maksud orang Islam jemput bukan Islam
hadir sembahyang raya. Ini hanya dalam erti kata ucap selamat sahaja, bukan
bermaksud kita reda dengan agama mereka.
Masyarakat masih memandang tinggi institusi ulama termasuk mufti dan Majlis
Fatwa. Cuma dalam banyak hal, Majlis Fatwa dilihat agak ke belakang dalam
isu-isu terkini terutama melibatkan muamalat dan sains.
MOHD. ASRI: Ia berlaku kerana terdapat orang agama yang enggan mengambil
risiko. Para ustaz perlu berubah. Di Malaysia, apabila sesuatu kemajuan sains
dicapai, Islam dicari untuk mendapatkan pandangan soal halal haram. Para ulama
kena bersidang untuk menjawab apa hubungan kemajuan itu dengan Islam.
Sepatutnya, Islam memimpin kita tetapi hari ini Islam yang terpaksa diketuk
untuk ditanya pendapat. Sebab itu dalam dunia hiburan, golongan agama hanya
mengkritik artis dan filem dan bukannya menentukan garis panduan filem atau
seni.
Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan usaha menarik muda-mudi mendekati
agama. Hal ini seolah-olah tiada penghujungnya?
MOHD. ASRI: Bagi saya, yang penting ialah kandungan lagu atau mesej filem,
bukan penampilan. Kadang-kadang, lagu-lagu Kopratasa ada yang lebih mendekati
Islam berbanding lagu-lagu nasyid. Pemikiran kita, kalau Islam, semua kena
pakai ketayap, pukul gendang dan menyebut nama Allah atau rasul sedangkan ada
lagu-lagu yang menyebut tentang alam sekitar dan sebagainya jauh lebih baik.
Lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Ramli Sarip banyak mempunyai nilai-nilai
keislaman. Golongan agama hanya tahu mengkritik tetapi tidak menyediakan
panduan untuk diguna pakai oleh industri hiburan. Mereka lebih cenderung
mengharamkan hiburan. Rasulullah tidak pernah menghapuskan hiburan tetapi
membimbing hiburan.
Bagi saya, jangan lihat siapa yang menyanyi tetapi lihatlah kandungannya. Pada
masa yang sama program-program yang ditayangkan kurang membangunkan minda...
lebih mengajak kita berfikir secara selekeh. Ini perlukan perhatian. Saya
mencadangkan garis panduan standard di peringkat negara dalam bidang seni.
Majlis Fatwa atau institusi mufti keluarkan tag dicadangkan untuk ditonton
macam logo halal terhadap filem-filem atau sesebuah rancangan bagi menghidupkan
industri seni yang halal.
Para ulama kena duduk bersama-sama artis dan karyawan. Setakat ini tidak ada
kerjasama atau pertemuan dijalankan membabitkan ulama dan golongan seni.
Pemikiran sesetengah golongan agama mundur dan mereka perlukan pendekatan baru.
Semua ini berkait rapat dengan penguasaan ilmu. Bagaimana tahap pendidikan
orang Islam berbanding bukan Islam?
MOHD. ASRI: Soal memajukan minda masih menjadi sesuatu yang dipaksa tetapi
bukannya budaya. Ini mendukacitakan. Cuba tengok di perpustakaan, kaum lain
lebih positif dan ramai mentelaah. Orang Melayu pula, di mana ada artis dan
konsert hiburan, penuhlah mereka. Kalau pesta buku dan program ilmu mereka
tidak tertarik menghadirinya. Selagi umat Islam tidak dijadikan ilmu itu
sebagai budaya, kita akan gagal menguasai apa sahaja.
Kebelakangan ini, timbul trend wanita tidak berkahwin mengambil pil hormon
supaya boleh menyusukan anak angkat. Apakah kesannya?
MOHD. ASRI: Perbuatan ini tidak salah kerana ia mewujudkan anak yang mahram
dengan wanita yang menyusukannya. Cuma saya ingin melihat kepada konteks yang
lebih luas iaitu mengapa wanita begini tidak mahu berkahwin. Mereka ada wang,
pelajaran dan status. Satu kajian mengenai hal ini perlu dibuat untuk mengenal
pasti puncanya.
Naluri manusia ialah mahukan anak dari darah daging sendiri. Saya bimbang
urusan kesukaran dalam perkahwinan seperti perceraian yang tertangguh
menakutkan mereka.
Adakah ini juga mendorong kahwin misyar?
MOHD. ASRI: Saya antara orang yang menyokong kahwin misyar. Syaratnya, jika
wanita berkenaan menghalalkan nafkah zahir, harta dan sebagainya. Kita perlu
faham bahawa apabila wanita yang berkedudukan tinggi, lelaki tidak berani
meminangnya. Jadi jika wanita itu melamar lelaki dengan tujuan mendapatkan
zuriat yang sah serta menghalalkan bab yang lain termasuk tidak kisah jika
hanya dapat bersama suami dua malam seminggu, Islam membenarkannya. Masalahnya,
masyarakat kita terutama wanita tidak benarkan poligami tetapi perempuan
simpanan tidak apa.
Bukan kita menggalakkan poligami tetapi memudahkan. Bagi mereka terutama
pertubuhan wanita yang membidas cadangan ini perlu membuat kajian teliti.
Jangan terlalu emosi dan hanya memperjuangkan nasib wanita bergelar isteri.
Kita jangan mengharamkan apa yang dihalalkan.
Selepas melontarkan pelbagai idea yang dianggap mengejutkan tidakkah Dr.
tertekan?
MOHD. ASRI: Sedikit sebanyak perasaan itu ada. Tetapi yang penting bagi saya
ialah melihat agama Islam itu dihormati. Kadang-kadang kita yang menimbulkan
isu seolah-olah memperlihatkan kebodohan kita. Saya sedia menerima kritikan
kerana setiap perubahan itu mesti menghadapi tentangan.
Mana-mana pihak yang rasa tersilap perlu mengubahnya. Saya berharap ramai yang
akan menjadi agen perubahan kerana masa tidak menunggu kita. Saya tidak
kehilangan apa-apa. Saya menjadi mufti untuk seketika. Kerja saya memberi
cadangan dan alternatif ke arah meningkatkan imej Islam.
Mana-mana pihak tidak kira parti politik atau individu yang merasakan cadangan
saya membawa kebaikan kepada agama, marilah sama-sama memberi sokongan dan
menjadi agen perubahan. Matlamatnya, menjadikan Islam itu imej yang lebih baik
sesuai dengan ketinggian dan kesucian agama itu.
Masjid kita tidak mesra remaja, kanak-kanak
Satu hal yang membimbangkan ialah masalah sosial terutama golongan remaja
Islam. Mereka seolah-olah tidak mahu berjinak-jinak dengan masjid. Mengapa?
MOHD. ASRI: Dalam kes gejala sosial, kita jangan tanya kenapa muda-mudi tidak
mahu kepada Islam. Jangan juga kita menyalahkan orang itu, orang ini di samping
pihak yang dipersalahkan itu mungkin juga benar. Kenapa kita tidak menyalahkan
juga golongan agama dan mempersoalkan kenapa agama yang suci ini tidak diminati?
Dewasa ini, kuliah di masjid hambar yang mungkin sesuai untuk yang menunggu
hari ke alam barzakh atau kelab orang-orang pencen. Suasana begini tidak boleh
menjadi pusat muda-mudi. Teknologi maklumat dan komunikasi tidak dimanfaatkan.
Ia berlaku antara lain disebabkan pendekatan masjid yang tidak mesra remaja dan
kanak-kanak kerana kejumudan pengurusan. Fungsi masjid perlu dipelbagaikan
sebagaimana pada zaman Rasulullah s.a.w.
Pada zaman nabi pelbagai urusan dibuat di masjid termasuk pertunjukan pedang
orang Habsyah. Kalau mampu saya ingin meminta masjid memperluaskan skopnya.
Mengapa hanya ustaz mengajar di masjid dan tidak guru matematik, sains atau
fizik?
Masjid secara tidak langsung mensekularisasikan pemikiran menjadikan agama
terbatas dalam soal fikah bersifat hukum.
Mengapa tidak masjid menyediakan tuisyen percuma Bahasa Inggeris seperti ustaz
yang berada di depan. Melalui kelas sedemikian, mereka akan tertarik ke masjid
mempelajari akademik, bukan hanya mendengar kuliah fikah yang mengajar solat.
Guru sains, profesor dan saintis juga boleh duduk di depan. Itu sifat tamadun
Islam dulu tetapi hari ini, hanya ustaz di depan.
Adakah Dr. mencadangkan supaya institusi masjid di negara kita direformasi
semula agar fungsinya lebih menyerlah?
MOHD. ASRI: Masjid telah menjumudkan dirinya. Kita mesti membuat pembetulan
secara serius. Pengurusan masjid masih tidak mesra kanak-kanak dan remaja.
Anak-anak diletakkan di saf paling belakang. Bagaimana bukan Islam tertarik
dengan Islam? Ceramah dan forum banyak tetapi mereka tidak berminat kerana
pendekatan yang jumud dan tidak berasaskan hujah.
Islam tidak pernah mundur tetapi pemikiran orang agama kita yang mundur. Ada
masjid yang menghuraikan bab agama menggunakan kitab-kitab lama yang
menggunakan bahasa lama.
Kadang-kadang kitab itu ceritanya lama, babnya pun lama dan isu lama. Hanya
bercakap bab samak kulit, fasal kapur dan serbuk kayu. Sekarang orang tidak
pakai lagi bahan tersebut sebaliknya menggunakan bahan- bahan kimia. Pemikiran
lama buku atau kitab itu tidak salah kerana dikarang zaman emak ayah kita
tetapi pembacanya salah. Golongan agama tidak mengambil kira faktor semasa
ketika menghuraikannya.
Mengapa pemikiran yang memisahkan agama dengan dunia berlaku sedangkan Islam
tidak menghalang umatnya menikmati hidup di dunia dan jangan lupakan akhirat?
MOHD. ASRI: Ia bermula dari institusi pengajian di pondok-pondok. Dahulu,
mereka enggan memasukkan subjek akademik dan anggap ia sekular. Pemikiran
konservatif yang jumud ini menyebabkan Islam tidak boleh berkembang.
Satu lagi faktor ialah agama telah dicampuri unsur parti dan politik. Segala
perbincangan agama ditafsirkan secara politik dan ada kumpulan politik
mengambil kesempatan di atas perbincangan agama untuk menjadikannya modal
pilihan raya.
Dalam isu khalwat, ada parti tertentu begitu marah dalam hal ini kenapa?
Sebabnya, kaedah yang saya ungkaikan, banyak parti sangkut. Ada parti politik
yang suka mencari kesalahan lain untuk menghukum.
Mereka bukan lihat isu khalwat tetapi me lihat jika orang Muslim lain tidak
boleh mengintai kesalahan orang lain maka itu menyusahkan kerja politik mereka.
Saya bukannya orang politik dan politik bukan urusan saya... urusan saya adalah
fakta. Apa yang saya suarakan bukannya pandangan tetapi satu aliran terutama di
institusi pengajian tinggi (IPT).
Ada orang politik menyedari yang sekarang ada orang yang membawa Islam dalam
nada berbeza iaitu membincangkan Islam tanpa memilih parti atau kumpulan. Jika
ia berterusan kita akan lihat satu perkembangan Islam yang bersifat postif dan
dinamik.
---------------------------------
It's here! Your new message!
Get new email alerts with the free Yahoo! Toolbar.
[Non-text portions of this message have been removed]
Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/