Soal Jawab: Akidah luntur punca masyarakat Islam mundur       
Ilmu tauhid cetek, pemikiran ulama dipengaruhi falsafah Greek sebabkan iman 
Muslim celaru
  
SEJAK pandangannya mengenai isu khalwat, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul 
Abidin terus mendapat perhatian. Pelbagai cemuhan dan pujian diterima daripada 
pelbagai pihak termasuk parti politik. Wartawan Berita Minggu, Tuan Nazuri Tuan 
Ismail menemubual beliau bagi mendapatkan pandangan mengenai masalah yang 
melanda umat Islam seluruh dunia selain mengupas isu semasa.
  
Apakah pandangan Dr Asri mengenai masalah sebenar yang melanda umat Islam 
seluruh dunia ketika ini?

Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan 
kini semakin mundur dan hilang peranan. Hasil daripada hilangnya akidah yang 
menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun. Bahkan sebahagian masyarakat 
Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat saja apa yang wujud 
di Indonesia, Mesir dan Maghribi. Mereka bukan saja ketinggalan zaman, mereka 
juga ketinggalan Islam yang tulen.

Ada istiadat dan pegangan bangsa yang bercanggah syarak menggantikan tempat 
agama. Wanita Islam di Pakistan umpamanya, dinafikan hak sebagai wanita, bahkan 
sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai 
kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa 
diizinkan sebarang bantahan daripada empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba 
abdi suami. Isteri dipukul dan diseksa dan ini seperti sudah menjadi budaya 
setempat.

Wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini benar-benar menconteng keindahan 
Islam di mata dunia. Ali Tantawi pernah berkata, "Majoriti Muslimin hari ini, 
disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan – agama ini, maka mereka berada di 
belakang umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh Islam (menghina 
Islam).

Apakah faktor yang menjadikan umat Islam begitu lemah, ditindas dan bergaduh 
sesama sendiri. Malah, kebanyakan negara miskin dan mundur adalah negara Islam.

Secara umumnya, kemunduran ini berpunca daripada beberapa faktor. Jika 
difokuskan kepada pemikiran hukum atau perkembangan pegangan syariat di dunia 
Islam, faktor itu ialah hilangnya teras akidah dalam penyampaian syariat Islam. 
Hilang kefahaman yang betul terhadap tuntutan dua kalimah syahadat. Islam tidak 
difahami bermula daripada persoalan akidah.

Pada hal itu adalah teras dan asas. Maka syirik serta khurafat berleluasa dalam 
dunia Islam. Syirik, tahyul dan khurafat menghilangkan Islam tulen yang menjadi 
teras kepada ketamadunan. Bermula dari tangkal, mentera syirik sehingga kepada 
meyakini sistem yang lain setanding dengan Islam.

Muhammad Qutb pernah berkata dalam karyanya Mauqifuna min al-Hadarat 
al-Gharbiyyat:... (berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam 
kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, 
peperangan, pemikiran dan kebudayaan...

Bagaimana Dr Asri melihat ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam tulen 
turut menjadi faktor kepada kejatuhan dan kemunduran umat dan negara Islam?

Ramai Muslim yang akidah mereka menyimpang dan menuju kesesatan, bahkan mungkin 
ke arah murtad. Di sesetengah negeri pengajaran mengenai perkara yang 
membatalkan wuduk, solat, puasa dan beberapa tajuk fekah yang lain lebih 
diutamakan dibandingkan pengajaran mengenai perkara yang membatalkan akidah.

Hasilnya, ramai Muslim mengetahui perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa 
dan seumpamanya, namun jahil mengenai perkara yang membatalkan iman.

Umat Islam juga mudah dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala 
perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa 
kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ia seperti sifat Allah, ada lawannya 
tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak 
berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. 
Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelakkan guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: "Siapa 
banyak bertanya maka lemah imannya. Maka, akidah sebenar hilang dalam 
kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.

Akidah yang diajar Nabi Muhammad SAW adalah akidah yang bersih dan mudah 
difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling 
mudah dan senang untuk difahami semua lapisan umat. Persoalan akidah mesti 
difahami mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehingga kepada 
golongan yang terpelajar dan cerdik pandai.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar, bagaimana golongan awam yang buta 
huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Pengaruh Yunan dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan mereka 
menjadikan ilmu itu sebagai akidah dan meminggirkan persoalan asasi dalam 
akidah Islamiah.

Bagaimana pula dengan ancaman bidaah dalam syariah Islam. 

Kemasukan fahaman karut, dianggap melemah dan merosakkan wajah Islam yang 
tulen. Amalan bidaah menghilangkan fokus umat terhadap pembangunan minda dan 
kefahaman yang jitu.

Seperti kata Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi dalam karya Madha Khasira al-'Alam bi 
Inhitat al-Muslimin: "Halangan syirik, kejahilan dan kesesatan hampir menutupi 
tauhid Islam yang bersih. Maka, masuk ke dalam sistem agama bidaah yang 
mengambil tempat yang luas dalam kehidupan Muslimin.

Adakah Dr Asri berpendapat golongan agama yang lemah dari pelbagai segi turut 
menjadikan umat Islam seluruh dunia juga lemah.

Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. 
Islam yang syumul membentuk pemikiran ulama supaya kritis, maju dan membangun. 
Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud sepanjang zaman. Namun, jumlah 
dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah ulama yang 
berkualiti seperti disebut dalam hadis ini adalah kurang.

Selain kurang, pemikiran ulama juga dipengaruhi pemikiran Greek dari ilmu kalam 
yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih daripada itu ilmu kalam menukarkan 
pengajian akidah kepada perkara yang menyusahkan minda, tidak berguna dan 
menyusahkan.

Pelajar agama juga bertukar menjadi penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar 
kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarahan 
dan nota kaki. Namun, dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga 
dapat berfikir secara sendiri. Ia menyebabkan ulama kehilangan keaslian ilmu 
dan menjadi golongan taklid yang hanya memetik daripada orang lain.

Lebih teruk, mereka menjadi golongan taksub mazhab yang berjihad untuk 
mazhabnya semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab 
dan syeikh orang lain lalu mereka membela mazhab melebihi daripada membela 
Islam. Golongan ini juga terpencil dari dunia luar akibat diracun pemikiran 
kesufian yang melampau. Ia sama seperti tindakan gereja yang membawa 
kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.

Orang Melayu umpamanya, menganggap anak yang kurang kemampuan akademik, 
dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahir golongan ustaz dan tok 
guru yang lemah kekuatan minda dan analisisnya.

Skop Islam yang disempitkan golongan beragama yang memberi fokus kepada perkara 
tertentu saja dikatakan punca umat Islam terus mundur. 

Ketika ini, hukum syarak hanya digambarkan berkisar mengenai taharah, haid dan 
nifas, solat, puasa, zakat dan haji. Akhirnya umat Islam mulai jahil mengenai 
kesyumulan sistem Islam yang menyeluruh.

Hasilnya, negara Islam kelihatan begitu miskin dan lemah. Kotor, tidak 
berperaturan, rasuah, mundur dan diperbodohkan. Sedangkan umat Islam memiliki 
bumi yang subur dan kedudukan yang strategik.

Dr Yusuf al-Qaradawi pernah berkata, "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita 
hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang 
paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran 
di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di 
bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan 
mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan 
pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang.

Sesetengah dunia Islam yang tidak berkualiti, mereka terpaksa meminta sedekah 
untuk mendapatkan senjata, pengangkutan dan makanan.

Pemerintah dan raja negara umat Islam kelihatan mewah dengan hasil bumi yang 
dijual atau disamun Barat.

Negara Islam terus berada dalam kemunduran teknologi dan minda, manakala rakyat 
ramai yang miskin, buta huruf dan tidak terurus.

Berbalik isu semasa, Dr Asri dituduh sebagai tali barut Umno kerana mengkritik 
pembangkang. Mengapa Dr seperti sengaja membabitkan diri dalam kancah politik 
dengan membuat kenyataan mengaitkan pembangkang. 

Saya bukan ahli politik. Saya tidak ada sebarang minat dalam bidang politik, 
malah saya tidak menyebut mana-mana politik dalam wawancara itu sebaliknya saya 
menyebut secara umum.

Komen saya bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik. Tetapi, selepas 
isu khalwat, ada parti politik begitu aktif menyerang saya.

Kenyataan saya itu adalah sebagai tindak balas kepada serangan yang dibuat 
terhadap saya bukan kerana saya mahu masuk politik. Selepas itu, ada laman web 
yang mengkritik dan menuduh saya dengan pelbagai tuduhan yang sangat tidak 
wajar.

Saya percaya komen dan kritikan itu bukan datang daripada pucuk pimpinan parti 
berkenaan sebaliknya dilakukan orang atau kumpulan berfahaman Syiah dalam parti 
itu.

Saya antara orang yang mengkritik Syiah. Pengikut fahaman Syiah dalam parti 
politik ini menggunakan pandangan saya mengenai isu khalwat untuk menyerang 
saya. Saya tahu perkara ini.

Jika pembangkang hayati pandangan saya, ia lebih kepada saranan untuk parti 
pemerintah supaya melakukan perubahan untuk memajukan umat Islam di Malaysia.

Kenyataan itu bukan ditujukan kepada pembangkang, tetapi saranan seorang mufti 
yang dilantik kerajaan supaya pemerintah mengubah beberapa perkara yang wajar 
diberi perhatian. Saya tidak faham mengapa pembangkang ‘berasa’ dengan 
kenyataan saya ini.

Adakah Dr Asri berpendapat pembangkang dikuasai pengikut fahaman Syiah. 

Pembangkang di Malaysia dikuasai kumpulan dan fahaman, tetapi yang saya tahu 
kumpulan Syiah paling aktif. Saya bekerja di Perlis yang mengamalkan Sunnah 
Wal-Jamaah dan saya bukan ekstremis. Tetapi, saya memberikan pandangan terhadap 
aliran yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Osman, 
sahabat Nabi dan menolak imam hadis.

Itu mustahil untuk saya terima. Saya percaya kritikan yang dibuat terhadap saya 
dibuat kerana perasaan marah pengikut fahaman Syiah yang menguasai sayap satu 
parti politik tertentu.

Sentimen ini bukan antara saya dengan parti politik berkenaan, tetapi sentimen 
kumpulan Syiah dalam parti berkenaan yang tidak senang dengan pandangan saya. 
Isu khalwat itu hanyalah alasan mereka untuk menyerang saya.

Kesimpulan Dr Asri selepas dituduh sebagai tali barut Umno dan tukang kipas 
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Apa yang boleh saya katakan ialah, ada sesetengah orang jika dia berbudi bahasa 
kita kehairanan. Jadi saya tidak hairan jika budaya menuduh menjadi budaya 
hidup mereka.

Setiap pandangan saya mendapat restu dan sudah dibincangkan terlebih dulu 
dengan kepemimpinan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). 
Saya tidak pernah dan tidak boleh membuat pandangan melangkaui pimpinan negeri. 
Contohnya isu khalwat yang terlebih dulu dibincangkan kerajaan negeri. Saya 
hanya bercakap dan membuat pandangan bagi pihak kerajaan Perlis sebagai mufti 
kerajaan negeri.

Kritikan dan pandangan terbuka berhubung isu agama Islam menyebabkan ada pihak 
yang menyamakan Dr Asri dengan Sisters In Islam (SIS). Apa komen Dr.

Saya tiada sebarang hubungan dan tidak pernah berhubung dengan mana-mana 
pemimpin dalam SIS. Ketika SIS membangkitkan isu poligami, saya antara orang 
yang tidak bersetuju pandangan mereka. Kalau ada yang mendakwa saya ada kaitan 
dengan SIS, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Bagi saya, SIS yang bukan di kalangan sarjana Islam perlu mendapatkan pandangan 
atau mengadakan perbincangan dengan ulama sebelum membuat kenyataan mengenai 
sesuatu isu supaya hujah yang dibuat itu berasaskan al-Quran dan Sunnah.

Sarjana Islam dan ulama pula jangan cepat melatah atau menjawab isu yang 
dibangkitkan SIS dengan emosi, sebaliknya memberi penerangan dengan jelas dan 
secukupnya.

Ada setengah isu yang dibangkitkan SIS ada kebenarannya seperti hak wanita 
membabitkan kes cerai dan tuntutan nafkah yang lambat diselesaikan. Saya 
bimbang, SIS terlalu mengikut acuan Barat yang bertentangan dengan Islam 
seperti isu poligami dan etika berpakaian, yang sudah tertulis dalam Nas dan 
tidak boleh dinafikan.

Saya berasa isu dibangkitkan SIS menjadi lebih keliru kerana sikap jumud ulama 
dan sarjana Islam sendiri yang tidak memberikan hujah berdasarkan persekitaran 
semasa dan tidak berpegang kepada al-Quran dan Sunnah.

Jika SIS membangkitkan sesuatu isu, saya berharap ulama dapat menjawab dengan 
penuh kesarjanaan bukan menggunakan emosi. Jangan menuduh orang kafir jika isu 
dibangkitkan berbeza dengan pandangan ulama.

  Sumber: Berita Minggu 14 Januari 2007

  
http://drmaza.blogspot.com/
 
---------------------------------
We won't tell. Get more on shows you hate to love
(and love to hate): Yahoo! TV's Guilty Pleasures list.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke