http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=44359
MEMACAK PELEPAH TAMAR DI ATAS KUBUR: DARIPADA KHILAFIAH KEPADA BIDAH
Posted by : zain-ys on Monday, September 10, 2007 - 12:30 AM CCT 145 Reads
Printer Friendly Page
"Pada pandangan penulis, pendapat yang mengatakan boleh
diqiyas masalah tasbih pelepah tamar dengan membaca al-Qur`an kepada mayat
bermula di zaman selepas imam-imam mujtahidin. Berdasarkan kepada tahun
kewafatan, penulis cenderung berpendapat bahawa al-Qurtubi (wafat 671H) dan
Ibn Daqiq al-Iid (wafat 702H) adalah ulama yang mula-mula mempopularkan
pandangan ini. Tambahan pula mereka berdua adalah sezaman. Pandangan
al-Qurtubi ini boleh disemak dalam al-Tazkirah Fi Ahwal al-Mauta dan tafsirnya,
al-Jami Li Ahkam al-Qur`an. Manakala pandangan Ibn Daqiq al-Iid dapat dirujuk
dalam Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam."
---------------------------------
MEMACAK PELEPAH TAMAR DI ATAS KUBUR: DARIPADA KHILAFIAH KEPADA BIDAH
Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya (www. darulkautsar.com)
Penulisan artikel bertajuk Tiada Kaitan Antara Hadis Pelepah Tamar Dan
Konsep Menghadiahkan Pahala Kepada Si Mati yang disiarkan laman al-ahkam.net
pada tarikh 7 September 2007 bukan sekali-kali untuk berkeras dalam perkara
khilafiah yang tidak mendatangkan faedah atau kes yang perlu ditutup failnya.
Inilah yang didakwa oleh al-Fadhil al-Bakistani dalam responnya terhadap
artikel penulis dengan tajuk Pelepah Tamar Dan Baca Al Quran: Imam Al-Qurtubi
Kata Ada Kaitan.
Sesiapa yang mengikuti dengan serius displin pengajian Islam terutamanya
hadis atau fiqh perbandingan, persoalan khilafiah masih perlu dibahaskan secara
ilimiah dan adil dengan berasaskan kepada dalil-dalil yang sabit dan metode
pendalilan yang kemas. Apa gunanya kita menutup perbahasan khilaf sedangkan
para ulama terus membincangkannya dengan mengemukakan dalil dan pendekatan
masing-masing. Perbincangan sebegini sebenarnya satu perkembangan positif di
mana kita dapat mengesan kaedah-kaedah yang digunakan oleh para ulama sekali
gus melatih orang-orang kemudian bagaimana berbicara tentang hukum. Di situlah
terserlah kehebatan ilmu-ilmu Islam yang tiada tolak bandingnya terutamanya
usul hadis, Usul fiqh dan Qawaid Fiqhiyyah. Oleh itu, menutup pintu perbahasan
khilafiah adalah satu pendekatan yang tidak akedemik. Ulama yang menulis
kitab-kitab ensklopedia tafsir, hadis, fiqh terus mengemukakan persoalan khilaf
kerana itu merupakan sendi dan teras kepada pengajian Hadis dan
Fiqh.
Sebelum pergi lebih jauh perlu sekali kita mengingatkan usul yang dikemukakan
oleh al-Qur`an dalam masalah khilafiah. Allah s.w.t.:
ÝóÅöäú ÊóäóÇÒóÚúÊõãú Ýöí ÔóíúÁò ÝóÑõÏøõæåõ Åöáóì Çááøóåö æóÇáÑøóÓõæáö Åöäú
ßõäúÊõãú ÊõÄúãöäõæäó ÈöÇááøóåö æóÇáúíóæúãö ÇáúÂóÎöÑö Ðóáößó ÎóíúÑñ æóÃóÍúÓóäõ
ÊóÃúæöíáðÇ
Jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu
kembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman dengan
Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.
(al-Nisa: 59)
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. memerintahkan kita supaya mengembalikan
persoalan khilafiah kepada rujukan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.,
iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Jika terdapat perkara yang menjadi perselisihan
pendapat dalam masyarakat, maka satu-satunya jalan untuk menyelesaikannya ialah
dengan berpandukan kepada kedua-dua sumber tersebut.
Persoalan khilaf itu sendiri terlalu umum. Sekiranya khilaf dalam masalah
fiqh iftiradhi (fiqh andaian tentang sesuatu yang muncul) maka itu sememangnya
tidak perlu disentuh kerana ianya belum berlaku. Begitu juga khilaf antara dua
perkara yang sunat dan manakah antara kedua-duanya itu yang lebih afdhal maka
itu perlu dibincangkan mengikut keperluan dan dalam suasana yang tidak tegang.
Umpamanya di manakah tangan perlu diletakkan semasa qiyam. Bagaimanapun
perbahasan secara ilmiah dan bermetodologi dalam perkara seperti ini amat
dialu-alukan kerana ia merupakan asas kepada pembinaan bakat dalam membicarakan
hukum-hukum (malakah fiqhiyyah ijtihadiyyah).
Sewajarnya disedari bahawa khilaf di kalangan ulama fiqh itu sendiri ada dua,
khilaf tanawwu (khilaf kepelbagaian) dan khilaf tanaqudh (saling bercanggah).
Jenis yang pertama merujuk kepada keluasan seseorang itu memilih di antara
pelbagai pendapat kerana kesemuanya itu harus baginya seperti dalam kes
kedudukan tangan semasa qiyam. Dalam hal ini, Imam al-Tirmizi memilih untuk
mengatakan ada pilihan untuk mengikuti mana-mana pendapat. Jenis yang kedua
pula merujuk kepada dua pendapat yang memberikan hukum yang saling
bertentangan, antara sah dan batal.
Pada pandangan penulis, khilafiyyah yang dikatakan wujud dalam masalah
meletakkan pelepah tamar di atas kubur lalu dikaitkan faedahnya kepada si mati
adalah termasuk dalam jenis yang kedua, iaitu khilaf tanaqudh. Ini bererti
seseorang itu mestilah memilih salah satu sahaja daripada pandangan ulama yang
lebih hampir dengan nas, kaedah usul fiqh dan usul hadis serta maqasid Syariah
iaitu matlamat Syariah dalam hukum-hukumnya kepada manusia. Berasaskan kepada
ini, penulis merasa amat keberatan untuk menerima pandangan Imam al-Qurtubi
yang menggunakan qiyas dalam masalah tasbih pelepah tamar dengan membaca
al-Qur`an kepada mayat. Ini kerana sekian ramai ulama yang tidak bersetuju
dengan pandangannya. Amat tidak wajar kita mengenepikan pandangan tokoh-tokoh
lain seperti al-Maziri, Qadhi Iyadh, al-Khattabi, al-Tartusyi, Yusuf al-Binori,
Taqi Uthmani dan lain-lain yang mengatakan bahawa perbuatan Rasulullah s.a.w.
dalam hadis tersebut adalah keistimewaan baginda dan tidak boleh
diqiyaskan kepada orang lain. (lihat al-Mulim Bi Fawa`id Muslim, jil. 1, hal.
244, Maarif al-Sunan Syarh Jami al-Tirmizi, jil. 1, hal. 265, Dars Tirmizi,
jil. 1, hal. 285, Hasyiah al-Badr al-Sari Ila Faid al-Bari, jil. 1, hal. 311)
Ini tidak bererti seseorang itu boleh menganggap penulis telah memperkecilkan
Imam al-Qurtubi, seorang tokoh utama dalam tafsir. Kewibawaan beliau dalam
bidang tafsir tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Jauh sekali untuk
menuduhnya dengan tohmahan karut. Daripada ulama terdahululah kita mendapat
ilmu dan pemahaman. Tetapi ini tidak bermakna apabila pendapat itu datang dari
seorang tokoh kita mesti terikat dengannya sehingga tidak boleh menerima
pandangan yang lain. Sikap sebegini tentu sekali tidak akan membina
keperibadian berilmu.
Faktor lain mendorong penulis membahas masalah ini ialah sejarah khilaf itu
sendiri. Sesuatu perkara yang dikatakan khilaf itu sewajarnya diketahui sejarah
khilafnya di kalangan ulama. Sebagai contoh masalah batal wuduk kerana
menyentuh kemaluan merupakan perkara khilaf yang berlaku sejak dari zaman
sahabat dan tabiin lagi dan tentunya berlanjutan hingga ke zaman imam-imam
mujtahidin seterus hingga ke hari ini. Satu jenis khilaf lagi, perkara yang
menjadi khilaf hanya di kalangan ulama kemudian dan tidak dibahaspun oleh
sahabat dan tabiin walaupun perkara itu sangat diperlukan oleh seorang
manusia. Termasuk dalam kategori ini qiyas masalah tasbih pelepah tamar dengan
membaca al-Qur`an kepada mayat. Menurut Mufti Taqi Uthmani, pengarang Takmilah
Fath al-Mulhim Bi Syarh Sahih Muslim, tidak pernah dinukilkan daripada Ibn
Abbas dan Jabir (dalam Sahih Muslim) yang merupakan perawi hadis ini bahawa
mereka mengatakan memacakkan pelepah tamar itu dapat meringankan azab
kubur. (Dars Tirmizi, jil. 1, hal. 286). Penulis telah menegaskan dalam
artikel Tiada Kaitan Antara Hadis Pelepah Tamar Dan Konsep Menghadiahkan
Pahala Kepada Si Mati bahawa wasiat Buraidah itu, bukan untuk meringankan azab
kubur tetapi kerana semata-mata mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. kerana
baginda pernah meletakkan belahan pelepah tamar di atas kubur. Bagaimanapun
timbul juga kemusykilan, kalau benar kerana mengikut sunnah mengapa beliau
tidak memacak sendiri tetapi mewasiatkan kepada orang lain? Oleh itu, kita
mengatakan kecenderungan Buraidah itu tidak boleh dijadikan hujjah apatah lagi
ulama usul ada menyatakan qawl sahabi tidak menjadi hujah. Sebab itulah, Ibn
Umar menegaskan hanya amalan yang dapat melindungi seseorang dan inilah yang
lebih menepati maqasid Syariah . (lihat Sahih Al-Bukhari, Kitab al-Jana`iz, Bab
al-Jarid Ala al-Qabr.)
Berdasarkan kepada ini kita mengatakan tidak timbul khilaf di kalangan
sahabat kerana mereka sendiri mengakui bahawa Rasulullah s.a.w. hanya memacak
dua kuburan itu atau satu lagi kubur seperti yang disebutkan dalam hadis Jabir
yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Ini bagi ulama yang mengatakan
itu dua peristiwa yang berlainan. Tetapi bagi ulama yang mengatakan itu adalah
peristiwa yang sama, bermakna hanya dua kubur itu sahaja baginda memacak
belahan pelepah tamar.
Pada pandangan penulis, pendapat yang mengatakan boleh diqiyas masalah tasbih
pelepah tamar dengan membaca al-Qur`an kepada mayat bermula di zaman selepas
imam-imam mujtahidin. Berdasarkan kepada tahun kewafatan, penulis cenderung
berpendapat bahawa al-Qurtubi (wafat 671H) dan Ibn Daqiq al-Iid (wafat 702H)
adalah ulama yang mula-mula mempopularkan pandangan ini. Tambahan pula mereka
berdua adalah sezaman. Pandangan al-Qurtubi ini boleh disemak dalam
al-Tazkirah Fi Ahwal al-Mauta dan tafsirnya, al-Jami Li Ahkam al-Qur`an.
Manakala pandangan Ibn Daqiq al-Iid dapat dirujuk dalam Ihkam al-Ahkam Syarh
Umdah al-Ahkam.
Seperkara lagi, Imam al-Bukhari yang mengemukakan athar Buraidah dan Ibn
Umar cuba mengisyaratkan bahawa hadis pelepah tamar hendaklah difahami
sebagai khususiyat Rasulullah s.a.w. di mana cara penafsiran Ibn Umar itu
menunjukkan tiada usaha yang dapat menolong si mati melainkan iman dan amalan
yang diusahakannya semasa hidup. Seolah-olah Imam Bukhari cuba menyekat
penggunaan qiyas dalam masalah ini dengan hujah khusisiyyat Rasulullah s.a.w..
Jika diperhatikan, Imam al-Bukhari lahir pada tahun 194H dan meninggal pada
256H. Satu jarak masa yang amat jauh dengan al-Qurtubi dan Ibn Daqiq al-Iid.
Selain itu, tajuk bab yang dibuat oleh Bukhari itu perlu difahami dengan
kesemua juzuk-juzuk. Tidak boleh hanya melihat juzuk Bab al-Jarid Ala al-Qabr
(Bab Meletakkan Pelepah Di Atas Kubur) lalu menyimpulkan Imam Bukhari
mengatakan harus atau sunnat berbuat demikian. Al-Bukhari mempunyai maksudnya
apabila menjadikan athar Buraidah dan Ibn Umar itu sebahagian daripada tajuk
bab ini. Oleh kerana itu, al-Aini mengatakan tujuan Imam al-Bukhari
mengemukakan athar daripada Ibn Umar untuk menyatakan perbuatan Rasulullah
s.a.w. memacakkan pelapah tamar adalah khusus dengan kedua-dua kubur itu tidak
yang lain. (Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, juz. 8, hal. 264). Oleh
itu, kitab Sahih al-Bukhari tidak hanya dilihat pada hadis-hadisnya sahaja
tetapi perhatian hendaklah juga diberikan kepada tarjamatul bab (tajuk-tajuk
bab) kerana di situ terserlah ketokohan Imam al-Bukhari dalam bidang fiqh hadis
dan seterusnya melatih para pelajar Sahih al-Bukhari menyimpulkan hukum
daripada hadis. Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, kefaqihan al-Bukhari pada
tarjamutul bab sahihnya.
Faktor ketiga kepada dibangkitkan persoalan hadis pelepah tamar ialah melihat
kepada kesan yang amat negatif yang timbul kerana memahami hadis ini dengan
tidak mengikut kaedah sahabat dan tokoh-tokoh hadis yang terdahulu. Kesan
negatif itu ialah bercambahnya perkara bidah dalam masyarakat. Hal ini
sebenarnya telah dibangkit oleh al-Khattabi di dalam kitabnya Maalim al-Sunan
Syarh Abi Daud. (jil. 1, hal. 18) Kalau dapat dijadikan satu kronologi secara
umum bagi pendapat-pendapat yang timbul kerana pemakaian qiyas dalam perkara
ini:
Menafikan khususiyat Rasulullah s.a.w. dalam perkara ini kerana pelepah
tamar dapat bertasbih bagi orang mati.
Sesiapa sahaja boleh bertasbih dan membaca al-Qur`an untuk mereka yang
berada di dalam kubur yani dengan membaca di atas kubur kerana alasan manusia
yang membaca al-Qur`an lebih mulia daripada pelepah tamar.
Timbulnya amalan menunggu kubur dengan tujuan membaca untuk si mati.
Dibolehkan membaca al-Qur`an kepada si mati di mana sahaja dengan syarat
meniatkan kepada si mati.
Mengkhususkan tahlil dan bacaan al-Qur`an di rumah si mati dengan bilangan
malam tertentu untuk tujuan menghadiahkan pahala tahlil.
Mengharuskan menyampaikan pahala bacaan al-Qur`an kepada si mati dengan
syarat tanpa apa-apa bayaran.
Diharuskan menerima duit sebagai hadiah bukan upah.
Bayaran diterima bukan sebagai hadiah tetapi hasil aqad jialah (janji
pembayaran kerana sesuatu kerja).
Menggantikan pelepah tamar dengan pelepah kelapa kerana dianggap mempunyai
sifat yang sama.
Menanam pokok bunga kerana sifat hidup yang ada padanya lebih daripada
pelepah yang akan kering. (mengaplikasi qiyas awlawi??)
Menabur bunga-bunga di atas kubur.
Bunga plastik sebagai ganti bunga asli kerana tidak tahan lama.
Meletakkan anak batu kerana sifatnya yang tidak akan mudah mati.
Memasang kelambu dan lampu, ini dapat dilihat dengan meluas di India dan
Pakistan yang merupakan amalan golongan Brelwi.
Mengadakan jamuan arwah untuk menghadiahkan pahala kepada si mati.
Penawaran pakej bacaan al-Qur`an kepada si mati dengan beberapa kali khatam
dengan bayaran tertentu.
Khatam al-Qur`an untuk beberapa orang meninggal dunia serentak dengan satu
niat.
Dan macam-macam lagi.
Perkembangan pendapat-pendapat di atas berpunca daripada qiyas yang tidak
tepat. Jika dibiarkan berlanjutan, tentu sekali rupa sebenar agama dan
penghayatannya dalam masyarakat kita tidak dapat dikenali. Apa yang disebutkan
di atas bukanlah rekaan tetapi itulah sebenarnya realiti umat kita hari ini
yang mendakwa mahu mendaulatkan Islam. Lihat sahaja di Pakistan, bagaimana
kubur-kubur dihiasi dengan bunga dan kelambu oleh golongan Brelwi. Di Malaysia,
tanahair kita sendiri, rata-rata tanah perkuburan mengalahkan taman bunga. Pada
hemah penulis, Imam al-Qurtubi sendiri tidak memaksudkan supaya terjadi
demikian. Bagaimana dapat dibayangkan sekiranya beliau hidup pada zaman ini
pasti beliau akan terkejut besar kerana betapa kreatifnya umat akhir zaman
mengaplikasikan qiyas!
Oleh kerana itu, Sheikh Yusuf al-Binori dalam kitabnya, Maarif al-Sunan
Syarh Jami al-Tirmizi, jil. 1, hal. 265 menegaskan perbuatan ini mesti
ditegah. Beliau menulis: al-Khattabi, Qadhi Iyadh dan al-Tartusyi sepakat
menegah perbuatan ini (meletakkan pelepah di atas kubur), pendapat mereka itu
lebih wajar diikuti di mana tolak ansur dan alasan-alasan seperti itu telah
menjadi pencetus kepada bidah-bidah munkar dan fitnah-fitnah yang berleluasa.
Anda dapati orang ramai meletakkan bunga di atas kubur khususnya kubur
orang-orang soleh dan wali-wali. Orang-orang jahil di kalangan mereka terus
menerus melakukannya dan bersikap melampau. Saya telah menjelaskan bahawa itu
adalah berpunca daripada kepercayaan-kepercayaan mereka yang karut yang
bertentangan dengan syariat yang suci. Mereka menyangka itu merupakan sebab
kepada pahala yang melimpah. Oleh itu, maslahah syariat menghendaki perkara itu
ditegah sama sekali dengan dicabut bidah itu sehingga ke akar umbi dan
dihapuskan perkara-perkara munkar yang direka-reka.
Merujuk qiyas yang dikatakan sebagai qiyas awlawi adalah tidak tepat kerana
semata-mata munasabah (kesamaan dan relenvesi) antara sifat yang ada pada asal
dan furu tidak menjadikan sifat itu sah sebagai illah. Bukan semudah itu
sesuatu sifat munasib boleh menjadi illah kerana ia mempunyai beberapa syarat
yang agak ketat yang memerlukan proses-proses takhrij al-manat, tanqih al-manat
dan tahqiq al-manat. Penulis merasakan tidak perlu diperpanjangkan tulisan ini
dengan membincangkan prinsip qiyas kerana khuatir akan menjadi agak teknikal.
Ketepatan qiyas Imam al-Qurtubi sewajarnya dibandingkan dan ditimbang dengan
syarat-syarat qiyas dan masalik al-Illah (pencarian illah) yang dikemukakan
oleh Imam al-Ghazzali dalam al-Mustasfa dan Syifa` al-Ghalil, al-Syatibi dalam
al-Muwafaqat, al-Syaukani dalam Irsyad al-Fuhul dan kitab-kitab usul lain, di
samping kitab tokoh semasa yang agak mudah difahami seperti Abu Zahrah dan
al-Zuhaili.
Dengan mengambil kira kesan negatif sesuatu pendapat, semestinya ahli ilmu
mengkaji sedalam-dalamnya kesan hukum sebelum mengenengahkannya dalam
masyarakat. Sebagaimana keadaan semasa dan setempat boleh mempengaruhi
perubahan pendapat hukum, demikian juga sesuatu pendapat hukum itu boleh
mempengaruhi perubahan masyarakat. Satu kekurangan di kalangan kita ahli agama
kebelakangan ini ialah tidak mengambil kira impiklasi sesuatu pendapat dalam
masyarakat. Iaitu apa yang boleh disebutkan sebagai sosiologi hukum, hubungan
timbal balik antara masyarakat dan pendapat hukum.
Ulama kita sebelum ini amat mencermati dalam mengaplikasi pendapat yang
tercatat dalam kitab-kitab. Contoh yang mudah ialah masalah batas aurat mahram
perempuan di hadapan saudara lelaki ialah antara pusat dan lutut. Tetapi tidak
ada yang mendedah bahagian dada kepada sesama perempuan apatah lagi kepada
mahramnya. Walaupun ianya disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, ulama tidak
menerimanya bulat-bulat kerana melihat kesan yang buruk yang mungkin timbul.
Contoh yang sama juga dapat dilihat apabila ulama tidak memakai pendapat yang
mengatakan lelaki boleh melihat perempuan yang hendak dipinanginya sehingga ke
bahagian dada. Ini juga tersebut dalam kitab tetapi ulama lebih melihat kepada
kesan dan akibat pendapat hukum (ma`al) bukan hanya melihat ianya terdapat
dalam kitab sahaja.
Sebaliknya, apabila dipopular pendapat kuasa wali boleh dipindahkan kepada
hakim kerana keluar sehingga jarak musafir maka timbul isu perkahwinan lari di
Thailand yang memberi impak yang buruk kepada umat Islam di mata orang lain.
Ini secara khususnya menggugat keutuhan sistem wali dalam perkahwinan
seterusnya memperkecilkan kedudukan bapa yang menjadi ketua keluarga.
Dalam hal ini, sekiranya kita masih lagi mempopularkan pendapat yang
mempunyai kesan yang negatif dalam masyarakat, beberapa gejala songsang yang
akan menimpa masyarakat kita. Pertama, orang kaya akan bergantung kepada upah
bacaan al-Qur`an daripada hafiz-hafiz dan lebai-lebai apabila mereka meninggal
dunia. Dengan ini, agama hanya menjadi monopoli dan milik orang kaya. Kedua,
hafiz-hafiz akan mengambil kesempatan daripada masyarakat untuk mendapat habuan
dunia atas alasan khilaf fiqhiy. Ketiga, umat tidak bersungguh-sungguh dalam
amalan ketaatan kerana ada jaminan pengiriman pahala untuknya selepas meninggal
dunia.
Kesemua perkara di atas amat bertentangan dengan ruh al-Qur`an dan al-Sunnah
serta Maqasid Syariah. Malah tempat sunnah telah diambil alih oleh bidah.
Apakah Islam akan terdaulat dalam keadaan bidah tersebar luas di kalangan
umatnya? Satu persoalan besar yang tidak boleh dipinggirkan dalam agenda kita.
Semoga kita sentiasa mendapat hidayat dan taufiq daripada Allah s.w.t.
---------------------------------
Building a website is a piece of cake.
Yahoo! Small Business gives you all the tools to get online.
[Non-text portions of this message have been removed]
Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/