Assalamualaikum, 

 Sila baca komen/tazkirah/nasihat tok guru ketika kehadiran PM ke Kelantan 
untuk projek ECER. 

SILA SEBARKAN!!!!

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama_lead/ucapan-nik-aziz-di-ecer-tazkirah-mursyidul-am-pas-kepada-presiden-umno.html

      Ucapan Nik Aziz di ECER - Tazkirah Mursyidul Am PAS kepada Presiden Umno  
                                               Harakahdaily      
         Tue | Oct 30, 07 | 11:05:53 am MYT                         Bismillahir 
Rahmanir Rahim 
 "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan,   
memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji,   
kemungkaran dan permusuhan.  Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu   dapat 
mengambil pelajaran." (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).  
-->
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau 
www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon 
bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
-->  
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan 
 Salam Sejahtera 
 Yang Amat Berhormat 
 Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi 
 Perdana Menteri Malaysia dan isteri; 
 Yang Amat Berhormat 
 Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob 
 Menteri Besar Pahang; 
 Yang Amat Berhormat 
 Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh 
 Menteri Besar Terengganu; 
 Yang Amat Berhormat 
 Dato' Haji Abdul Ghani Othman 
 Menteri Besar Johor; 
 YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi 
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri; 
 Yang Berhormat 
 Menteri-Menteri Kabinet; 
 Yang Berhormat 
 Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; 
 Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri; 
 Dif-Dif Kehormat; 
 Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 
 Alhamdulillah.   Dengan seizin Allah S.W.T.,  sekali lagi kita dapat   
menghirup udara nyaman pada hari ini.  
 Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan   
inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi   Pantai 
Timur bagi Negeri Kelantan.   
 Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan   
kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang   
dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia   pada 
amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini.    
 Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan   wujudnya 
jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun   negeri ini 
diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.   
 Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan   nanti  
tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda.   
 Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni   memakmurkan 
bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat   Ilahi. 
 Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan   
saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato' Seri Perdana Menteri. 
 YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian, 
 Tugas pemimpin laksana dasar Allah 
 Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca   di 
atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar   masyarakat.  
  
 Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah   
kita disebut pemimpin dan rakyat.   
 Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah   
manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar   Allah.   
 Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan   
dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca   
sekejap tadi,  petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan   
adanya perubahan baru.    
 Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin   
negara.    
 Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah   
Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada   
ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.    
 Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi  "Dan Kami berfirman:   
turunlah kamu!  Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi   kamu 
ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang   
ditentukan.   Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari   
Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya.  Sesungguhnya Allah Maha   Penerima 
Taubat lagi Maha Penyayang.   Kami berfirman: "turunlah kamu   semua dari 
Syurga itu!  Kemudian  jika datang petunjukKu kepadamu, maka   barang siapa 
yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran   atas mereka, dan 
tidak (pula) mereka bersedih hati."  (Surah   Al-Baqarah:  Ayat 36 - 38). 
 Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur   
gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam   selama 
17 tahun sebelum ini. 
 YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian, 
 Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada   terkandung 
di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan   perbelanjaan berjumlah 
RM112 bilion ini.     
 Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali   
dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk   
menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat   
penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat   untuk 
memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera.    
 Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama  dikenalpasti dan menjadi   
sebahagian dari  Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri    Kelantan 
yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000;    kira-kira 7 
tahun yang lalu.    
 Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan   
Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita   lalui.  
  
 Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk   diberikan 
perhatian Pusat dari masa ke semasa.   
 Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian.    
 Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat   kerana 
telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai   projek-projek 
mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian. 
 Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi 
 Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER,    RM177 
bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah   Pembangunan 
Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya.   
 Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh   menjangkau 
Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK   sebelas. 
 Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita   perlu 
mengucapkan sebesar-besar syukur.  Alhamdulillah, syabas. 
 Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang   
berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan   sasar.   
 Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan.   
 Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari   bacaan 
mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan   unjuran yang 
tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain   komoditi yang 
utama.   
 Realiti dan waqi' persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan   
pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu   
dapat diisytiharkan.    
 Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi   
sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar 'satu lagi   pelan'.  
 Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia   mengasyikkan: 
   Anak Cina memetik selasih 
 Anyam rotan dibuat timba 
 Tiada yang indah dalam berkasih 
 Mimpikan bulan jatuh ke riba 
 Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan   
kenyataan.    
 Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang   dalam 
ratusan bilion ringgit.    
  Ini lebih-lebih lagilah  apabila janji itu dipenuhi.   
 Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh   
menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi.  Kebocoran, siling runtuh,   
rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh   
bersama yang boleh menghambat cita-cita murni. 
 Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER 
 YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian, 
 Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih   
tidak diberi perhatian dalam ECER,  saya masihlah memandang   kepentingannya 
sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.   
 Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana   
pertumbuhan ekonomi negeri.    
 Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu,   
kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok.   
 Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk.  
 Dengan penuh susah payah Allah S.W.T.  telah ratusan jutaan tahun   memeram, 
mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak   bumi.   
 Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak   
balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan  segala ehsan   menyimpan 
lalu menganugerahkan bumi Kelantan  dan laut Kelantan dengan   bahan semahal 
ini.   
 Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas   
pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan  ke dalam pelan induk   
pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini. 
 Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami   dipunggah 
dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa   didaratkan  di 
pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh. 
 Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa   rriqaz". 
  
 Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh   
dipindah zakat itu ke tempat lain  kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan   
kepada al mustahiqiin tempatan. 
 Ini adalah hukum Allah dan Rasul.  Tak disempurna di dunia oleh pihak   
al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. 
 "Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang   dijanjikan 
bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan:  Ayat 40). 
 Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan   
penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur,   Tumpat, 
khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint   Development 
Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir   pantai Kelantan.    
 Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi   
pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri   dan 
membuka peluang pekerjaan. 
 Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan   
sentimen politik bersifat kepartian.   
 Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk   
dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama.    
 Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman   ini 
bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.   
 Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang   
tidak menjadi hingga sampai ke hari ini.   
 Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam 
 YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian. 
 Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan   
Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan   sedikit 
peringatan.   
 Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama.   Ilmu Al-Quran mengajar   kita 
tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan   roh.  
  Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan   
pahala, adanya taat dan  maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis,   adanya  
hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya   Neraka.   
 Ini soal asas yang tiada khilaf.  Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi   dan 
Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman   berzaman.   
 Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan,   maka 
kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.   
 Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah   
manifestasi kekacauan fikrah.   
 Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka   
oleh negara selama ini.  
 Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam 
 Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama   
memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia   untuk 
kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan   prinsip 
asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan. 
 Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep 'Membangun   
Bersama Islam', berasaskan dakwah bil hikmah  wal mauizotul hasanah.   
 Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua   orang 
wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada   Allah 
S.W.T.    
 Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran   
ketuhanan.    
 Kami juga memuatkan prinsip mas'uliyyah yakni bekerja dengan  penuh sedar   
bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan   disoal 
jawab oleh Allah Taala sendiri  tanpa sebarang jurubahasa.  
 Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh  berkualiti untuk menghasilkan   apa 
sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik.     
 Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka   dan 
melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang   lingkup 
kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah   Robbuljalil. 
 Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr),   alangkah 
tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini   mampu dengan 
jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.   
 Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan   kita, 
tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan   haiwan 
kerana dia cuma takutkan polis dan BPR,  undang-undang, tali   gantung dan 
peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan.    
 Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah   
"maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada   pengikutnya" 
sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul   Karim.  (Sila semak 
dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari   Ayat 166 hingga 167). 
 Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan   
tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira   sekali 
lagi kami perlu membuat teguran.    
 Sejak dari dahulu,  Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian.  Apa erti   
mengisytiharkan istilah-istilah seperti "halal hub" atau Jelapang Makanan   
Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di   tangga?  
Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan   dapat dilakukan 
ke arah pembetulan ini. 
 Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan 
 YAB Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 
 Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan   
konsep persekutuan.   
 Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu   sebarang 
projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun   besar 
mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.    
 Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami   dengan 
penuh keterbukaan.   
 Bagaimanapun beradablah ketika melangkah.  Bukankah ini Wilayah Timur.    
Setiap rumah ada tuannya.  Masuk berpintu.  Keluar bertangga.    Kadang-kadang, 
ya.  Terasa juga. 
   Makan sirih berpinang tidak 
 Buah keranji atas perahu 
 Singgah tidak kenang pun tidak 
 Sampai hati buat tak tahu 
 Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis   
yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri.  Apapun jua,   syukurlah.  
Saya mengucapkan Alhamdulillah.  Segala puji bagi Allah. 
 Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada   
semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini.   
  Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah.    
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 (TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,   MENTERI 
BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI   PANTAI TIMUR 
(ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG   DI KOMPLEKS 
SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN) -   mr
-->
Salam Perantau & Adilfitri dari pembaca Harakahdaily.Net dari seluruh dunia. 
Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini-->Ringankan tanngan dan hulurkan bantuan anda. 
Menderma dan bantulah mereka yang memerlukan melalui Tabung Kemiskinan Harakah 
di Akaun (Maybank) 564070130442. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-40213343










 __________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke