Manfaatkan Kepakaran Bukan Memandulkannya
   
  Artikel Dr Mohd Asri Z.Abidin 
   
  Islam adalah agama yang mengiktiraf dan menghormati kepakaran atau kebolehan 
seseorang insan selagi mana kepakaran dan kebolehan itu tidak bercanggahan 
dengan prinsip-prinsipnya. Sudah pasti pula prinsip-prinsip Islam itu 
ditetapkan oleh Allah demi kemaslahatan manusia.
   
  Justeru itu baginda Nabi s.a.w. menyebut: “Manusia bagaikan bahan galian, 
seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih 
juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-bukhari dan 
Muslim). Maksudnya, bahan galian bernilai yang terpilih ketika berada dalam 
tanah dan lumpur, juga terpilih apabila berada di tempat yang elok. Demikianlah 
insan yang menganut Islam, sekiranya dia seorang yang terpilih dengan 
ciri-cirinya ketika belum berpegang dengan Islam, maka dia juga akan terpilih 
selepas menganut Islam disebabkan ciri-ciri istimewanya itu. Namun baginda 
s.a.w. meletakkan syarat, hendaklah dia terlebih dahulu memahami Islam. Bahkan 
perkataan faquhu atau faqihu yang digunakan dalam hadis tersebut menunjukkan 
benar-benar memahami hakikat Islam, bukan sekadar cebisannya sahaja.
   
   
  Maka dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w, baginda telah memanfaatkan 
kebolehan yang berbagai untuk kepentingan Islam dan umatnya. Insan yang seperti 
Umar bin al-Khattab dengan segala keberanian dan keperwiraannya yang begitu 
memusuhi Islam semasa jahiliahnya, tidak dimandulkan sifat itu apabila beliau 
menganut Islam. Sebaliknya, keberanian dan keperwiraannya itu disusun dan 
diatur agar bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang menguntungkan umat 
Islam. Demikian juga kehebatan dan ketangkasan Khalid bin al-Walid dalam bidang 
ketenteraan sehingga menumpaskan tentera Islam dalam peperangan Uhud, tidak 
disia-siakan. Walaupun beliau lewat menganut Islam dibandingkan para sahabat 
yang lebih awal, namun baginda s.a.w terus sahaja melantik Khalid memegang 
berbagai jawatan dalam peperangan. Tidak merujuk kepada soal ’senioriti’ tetapi 
kepada kepakaran yang dimilikinya. 
   
  Begitulah juga Hassan bin Thabit, Ka’ab bin Malik yang mampu bersyair semasa 
jahiliah dimanfaatkan oleh Nabi s.a.w kebolehan mereka apabila menganut Islam. 
Mereka telah menyusun syair-syair yang membela Nabi s.a.w. dan perjuangan 
baginda, serta menjawab tohmahan yang datang dari para penyair musuh. Kata Nabi 
s.a.w. kepada Hassan bin Thabit: “Jawablah untukku, Allah menguatkanmu dengan 
ruh al-qudus (Jibril)”. (Riwayat al-Bukhari). Maka semua kebolehan, samada; 
keberanian, ketangkasan, kesenian dan berbagai lagi yang sebelum ini digunakan 
untuk menentang Islam telah bertukar menjadi keistimewaan yang membela Islam.
   
  Demikianlah sepatutnya masyarakat Islam, mestilah pandai memanfaatkan 
kemahiran anggotanya, sekalipun kemahiran dan kepakaran itu dahulunya pernah 
digunakan dengan cara yang bercanggahan dengan Islam. Namun apabila seseorang 
masuk Islam atau kembali mempunyai kesedaran Islam, hendaklah disusun atur agar 
segala kebolehan itu benar-benar boleh dimanfaatkan. Maka adalah amat 
mendukacitakan, jika seorang cina yang semasa belum muslim, mahir dalam 
perniagaan dan mencari rezeki, tiba-tiba apabila menganut Islam segala 
kebolehan itu terus hilang dan terikut-ikut dengan sesetengah golongan yang 
hanya tidur di masjid. Atau keluar berhari-hari berdakwah –kononnya- tanpa 
sempat memahami hakikat Islam yang sebenarnya. Atau terus melupai pembangunan 
diri dan keluarganya, semata-mata hanya inginkan akhirat. Kemudian 
meminta-minta untuk suapan hariannya. Ini memberi imej yang buruk terhadap 
agama yang agung ini terutama apabila dilihat oleh saudara-saudara mereka yang 
belum menganut
 Islam.
   
  Sebab itu syarat untuk kepakaran dan ciri istimewa yang dikuasai semasa 
jahilliah itu digunapakai, empunya kepakaran atau sifat istimewa itu mestilah 
terlebih mendalami Islam yang sebenar. Memahami tuntutan al-Quran dan Sunnah. 
Jika tidak, hakikat sebenar Islam tidak akan menjelma menerusi kebolehan atau 
kelebihan yang dimiliki. Ini seperti pihak yang menyangka proses islamisasi 
nyanyian itu dengan memakaikan kopiah atau songkok kepada penyanyinya, lalu 
dinamakan nasyid. Padahal, sesetengah lirik yang mereka alunkan, tidak 
menggambarkan hakikat Islam yang sebenar, bahkan ada juga yang bercampur dengan 
khurafat atau cara fikir yang mundur. 
   
  Mungkin sesetengah lagu P.Ramlee lebih islamik liriknya dibandingkan 
sesetengah alunan nasyid. Saya bukan memperkecilkan mereka, sama sekali tidak. 
Saya hargai usaha mereka. Namun, jika mereka menyatakan perjuangan nasyid 
mereka adalah misi dakwah, maka mereka mesti mengutamakan isi kandungannya dan 
kejelasan mesejnya. Jika tidak ia hanya untuk memperbagaikan penampilan gaya 
artis sahaja. Sama juga dengan sesetengah majlis yang diislamisasikan dengan 
upacara bacaan doa sebelum majlis. Selepas dari itu, isi kandungan majlis tidak 
pula diselaraskan dengan kehendak Islam. Seperti penceramah yang membuka 
ceramahnya dengan bacaan ayat itu dan ini kemudian mengisinya dengan memaki 
hamun secara yang diharamkan oleh syarak. Pada zaman Nabi s.a.w. dan para 
sahabah memang dalam ucapan mereka sering berdoa semasa majlis mereka, namun 
tidak di upacarakan khas doa-doa tersebut. Apa yang lebih penting, isi 
kandungan majlis sentiasa seiras dengan ajaran Islam. Sebab itu memahami Islam
 itulah syarat utama untuk menjadikan kebolehan seseorang berfungsi untuk agama 
yang berteraskan ilmu ini.
   
  Saya jumpa ramai orang professional bukan dalam bidang pengajian Islam, 
apabila timbul kesedaran Islam dalam diri mereka, mereka seolah-olah 
mempersalahkan latar pendidikan mereka yang bagi mereka bukan aliran Islam. 
   
  Padahal mereka mampu memanfaatkan kebolehan mereka untuk umat Islam. Ini 
kadang-kala terhasil dari sesetengah penceramah masjid dan surau yang 
menyempitkan makna Islam dan keperluan ilmu Islam itu. Padahal kecuaian mereka 
terhadap agama bukan kerana bidang pengajian mereka, sebaliknya ketidak 
prihatinan diri terhadap Islam yang tulen. Ketidak prihatinan ini boleh berlaku 
di semua peringkat; bidang agama atau sebaliknya. 
   
  Jika kita jujur dan bersungguh ingin memahami Islam yang tulen, dunia kini 
amat terbuka untuk itu. Saya lihat bukan sedikit para pelajar kita yang belajar 
di Barat atau dalam bidang bukan pengajian Islam formal tetapi berminat 
mendalami Islam dan lebih memahami hakikat Islam itu dari ribuan pelajar di 
Mesir atau beberapa negara timur tengah yang lain. Mereka lebih sensitif 
terhadap khurafat, karut-marut, israiliyyat, hadis palsu dan pemikiran sonsang 
dibandingkan sesetengah ustaz keluaran Timur Tengah itu sendiri. Bahkan ada 
ustaz lulusan Timur Tengah yang menjual kayu kokka atau penyebar hadis palsu, 
Israiliyyat dan berfalsafah dengan pemikiran yang tidak serasi dengan Islam 
yang tulen.
   
  Namun sesetengah yang kurang faham, oleh kerana mereka dahulu tidak sempat 
belajar Islam secara formal sepenuhnya, mereka seakan ingin menebus semua 
kesalahan itu dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama tanpa 
berhati-hati. Niatnya baik, malangnya sesetengah sekolah agama langsung tidak 
memberikan penekanan kepada keperluan akademik yang lain. Menghantar ke sekolah 
agama memang baik, apatah lagi jika sekolah agama itu mampu mengujudkan iklim 
yang harmoni lagi islamik lalu membentuk keperibadian Islam. Namun, bukan 
sedikit juga sekolah agama yang belum dapat diuruskan dengan cemerlang. Maka 
berlaku keciciran dalam akademik dan ketinggalan dari persekitaran yang baik. 
Bahkan guru-guru agama yang diambil mengajar pun, ada juga yang tidak menentu 
kelulusannya. Akhirnya, tidak juga anaknya menjadi pakar Islam yang cemerlang, 
sudah pasti akan ketinggalan dalam bidang-bidang akademik yang lain. Saya 
bimbang suatu hari nanti mereka akan menyalahkan kesedaran
 Islam bapa mereka. Ini bukan rekaan, saya telah bertemu bukan sedikit yang 
seumpama itu. Padahal, sekolah-sekolah swasta ‘orang lain’ begitu ke hadapan 
dalam berbagai sudut.
   
  Padahal yang sepatutnya dilakukan, apabila kita ada kesedaran Islam, kita 
memastikan kefahaman Islam itu diamalkan dalam kehidupan secara yang meluas. 
Beri kesedaran kepada anak-anak tentang perjuangan memertabatkan agama ini 
dalam semua bidang. Jika hendak memilih sekolah agama, hendaklah sekolah yang 
melambangkan kesyumulan Islam itu sendiri. Agar pendidikan Islam mampu bersaing 
dan tenaga muslim soleh boleh dimanfaatkan di semua bidang. Janganlah semua 
anak kita nak kita jadikan ‘ustaz’. Perbagaikanlah kemahiran umat ini. Dunia 
Islam tidak akan mampu diangkat maruahnya dengan semua orang menjadi ‘ustaz’. 
Tetapi maruah itu diangkat dengan umat menguasai segala bidang serta membawa 
mesej Islam yang sebenar. Susunlah perjuangan umat ini dengan menyusun 
kepakaran anak-anak kita dalam berbagai kebolehan. Jika kita lahirkan guru 
agama yang terbatas pengetahuannya, maka agama akan dipandang sinis. Perkataan 
ustaz itu sendiri begitu umum. Bahkan kadang-kala kerana boleh
 membaca beberapa ayat dan berpakaian arab dia dipanggil ustaz. Perkataan ustaz 
dalam masyarakat kita bukan semestinya melambangkan kesarjanaan.
   
  Sebenarnya, yang kita perlukan adalah pakar; pakar tafsir, pakar hadis, pakar 
akidah, pakar fekah dalam berbagai bidangnya dan seterusnya. Inilah keperluan 
kita. Mereka mesti mampu membawa kefahaman Islam yang tulen. Bukan sekadar 
untuk bercoleteh, atau membuat jenaka atau menyampai cerita-cerita tidak 
munasabah dalam ceramah yang tidak menggambarkan kematangan dan kemantapan 
agama yang agung ini. 
   
  Barangkali itulah sebabnya P.Ramlee dalam filemnya ‘Musang Berjanggut’ 
menamakan Menteri Agama Pura Cendara dengan gelaran ‘Datuk Nikah Kahwin’ tidak 
dinamakan dengan ‘Datuk Syariah’ atau seumpamanya. Dek sempitkan bidang yang 
dikuasainya atau pemikiran yang hanya terbatas dalam soal nikah kahwin sahaja. 
Mungkin jika Raja Alam Shah Bana melihat di Pura Cendana seseorang yang tidak 
mempunyai idea yang bernas dan produktif untuk kemajuan agama, sebaliknya hanya 
mampu mengiklan kenaikan tambang haji, maka dia akan namakannya ‘Datuk Tambang 
Haji’. Saya tersenyum sinis apabila ada yang mempertikaikan mufti menulis di 
akhbar dan berbicara di luar bidang agama. Barangkali pada pandangannya peranan 
mufti itu membaca doa dan berbicara hanya yang ditentukan dan simpan akalnya 
dalam saku. Jika minda kita sempit, kita jangan jumudkan dunia orang lain.
   
  Jika tidak agama akan sentiasa kelihatan sempit. Semua manusia yang berjuang 
untuk memertabatkan agama, dia ialah pejuang agama. Dalam apa bidang sekalipun. 
Selagi mematuhi lunas-lunas syarak. Nabi s.a.w. apabila ditanya: “Seseorang 
yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar 
dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah 
di antara mereka yang berada di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab: Sesiapa 
yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di 
jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
   
   Justeru, saya begitu tertarik dengan slogan Tan Sri Dato’ Muhammad Ali 
Hashim yang cuba menjadikan perjuangannya dalam ekonomi sebagai jihad. Ya, jika 
cita-citanya untuk mengangkat maruah agama dan menepati prinsip Islam maka ia 
adalah pengorbanan dan jihad. Kadang-kala ibubapa yang menghantar anak belajar 
dalam bidang-bidang selain agama tidak merasai mereka juga sedang menghantar 
dan membiayai pejuang agama. Apatah lagi jika anak yang dihantar pun langsung 
tidak ada kesedaran agama dan mencerminkan identiti agama ini. Bertambah 
jauhlah ilmu tersebut dari daerah perjuangan agama.
   
  Demikian juga sesetengah pengurusan zakat hanya menghadkan atau menumpukan 
peruntukan zakat untuk yang belajar agama secara formal sahaja. Sekali lagi 
saya petik Dr.Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat 
untuk para penuntut ilmu menyebut: “Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya 
terhad kepada ilmu agama semata. Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat 
yang kaum muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, 
pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi 
musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah.
   
   Ini seperti mana yang diputus oleh para penganalisa hukum. Maka tidak hairan 
kita dapati para ahli fekah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia 
diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa, dan diharamkan kepada ahli ibadah 
sepenuh masa.
   
   Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal 
segala urusan sepenuh masa seperti mana ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga 
manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seoarang sahaja, sedangkan ilmu 
penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, 
ahli-ahli fekah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil 
zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk 
kepentingan agamanya dan dunianya. (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570 Beirut: 
Muassasah al-Risalah).
   
  Saya katakan, sesungguhnya tumpuan melahirkan saintis muslim yang beriman 
lebih diperlukan buat masa kini dari melahirkan seorang ‘ustaz’ dalam ertikata 
biasa. Ini kerana jumlah ustaz sudah agak ramai, tetapi saintis muslim soleh 
yang mampu mengangkat wajah umat Islam di hadapan dunia masih ketandusan atau 
tidak mencukupi. Maka wajib bagi dunia Islam mengembelingkan segala kepakaran 
yang ada. Bukan ustaz itu tidak perlu, tetapi proses mengeluarkan ustaz 
nampaknya telah berjalan lancar dan untuk mendapat darjah kebesaran ‘ustaz’ 
yang tidak pakar tidaklah begitu sukar. Namun untuk mencapai gelaran ’saintis’ 
yang sebenar, kita memerlukan pengembelingan yang lebih. Keluasan fikiran 
secara berprinsip itu membawa kita ke hadapan, dan kejumudan pula hanya 
membunuh kewarasan akal dan kematangan ilmu.
   
  Sumber: http://drmaza.com 

 __________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke