Agamaku beridiri di antara Dua jangan!!! - sila sebarkan... dan baca sampai 
hadis..
   
  untuk mengatasi sikap ghuluw dan....
   
  http://saifulislam.com/?p=1004

http://saifulislam.com/?p=1004
   
  http://saifulislam.com/?p=1004
   
   
  ARTIKEL INI ADALAH RINGKASAN KULIAH MAGHRIB DI SURAU AL-NAIM WANGSA MAJU PADA 
14 NOVEMBER 2007 DI BAWAH TAJUK “ISTIQAMAH PASCA RAMADHAN” [AUDIO RAKAMAN]

  
   
  “Fastaqim kama umirta“, sedap hati dan jiwa mengulang-ulang ayat ini. Pelajar 
Kolej Islam Kelang, terlebihlah lagi kerana ia motto sekolah mereka.
  Tetapi ayat itu laungannya mungkin rutin pelajar sekolah, sedangkan laungan 
yang sama telah mengubah fizikal Nabi SAW. Baginda jadi beruban dan tua, atas 
bebanan ayat itu.
  Istiqamah… konsisten dan teguh berdiri di jalan taat, bagi yang faham akan 
besarnya beban untuk kekal konsisten, akan menjejak kesannya ke atas Baginda 
SAW.
  “Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…”, kata Baginda SAW dalam 
sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.
  Begitu sekali sukarnya untuk konsisten?
  
  Tentu sahaja. Iman dipahat pada hati bernama QALBUN, iaitu sesuatu yang 
sifatnya berbolak balik. Siang beriman, malam kufur, pagi memperjuangan 
kebenaran, malam menjadi juara kebatilan. Hidup memperjuangkan kebaikan, mati 
di atas jalan kejahatan. Allah…!
  Lantas memikirkan tentang Istiqamah… Baginda SAW jadi beruban… berubah 
fizikal dan penampilannya.
  
      
   (112) Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di 
atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah 
orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; 
dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa 
yang kamu kerjakan.   
   (113) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim 
maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, 
sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian 
(dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.   
   (114) Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan 
pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya 
amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang 
demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.   
   (115) Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala 
orang-orang yang berbuat kebaikan. 
  Itulah ayat yang dihujahkan oleh ulama, sebagai isi kandungan Surah Hud yang 
telah begitu sekali membebankan Nabi SAW.
  MAKSUD ISTIQAMAH
  Soalnya apakah maksud istiqamah itu? Jika ia dilihat pada struktur Bahasa 
Arabnya, ia bermaksud terus diminta berdiri. Sesuai jugalah dengan Bahasa 
Melayunya yang boleh difahamkan sebagai sentiasa teguh berdiri. Atau jika di 
dalam Bahasa Inggerisnya, boleh juga difahamkan sebagai standing up 
consistently. Ada dua unsur penting pada definisi permulaan ini, iaitu 
berterusan dan kekal di dalam suatu keadaan, dan unsur keduanya pula ialah 
berdiri.. iaitu kondisi diri yang aktif lagi dinamik. Berterusan dalam keadaan 
sedar dan aktif terhadap suatu pegangan dan mahu pun amalan.
  Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan maksud istiqamah (Fussilat : 30-32, 
Al-Ahqaf : 13-14), begitu juga dengan hadith Nabi SAW. Antaranya:
  Daripada Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdillah r.a. katanya: Aku bertanya: Ya 
Rasulallah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku 
bertanya seseorang pun selain daripadamu. Sabda Nabi SAW: Katakanlah “Aku 
beriman dengan Allah”, kemudian istiqamah! (Imam Muslim, al-Baihaqi dalam 
al-Sunan 1/76, Ahmad dalam Musnadnya 5/371, dan al-Daraqutni dalam al-Sunan 3/45
  Namun keseluruhan makna yang dicadangkan tentang Istiqamah, ia menjurus 
kepada terus menerus (konsisten) berpegang secara aktif terhadap keseluruhan 
kehendak Syara’.
  
  ISTIQAMAH MENURUT SURAH HUD
  “Beruban rambut Nabi SAW?”, ulang seorang sahabat semasa mendengar penjelasan 
saya tentang ayat ini.
  “Ya… bukanlah seperti kita hari ini yang kelihatan tua kerana putus cinta, 
atau dikejar Ah Long”, saya bergurau.
  Oleh kerana besar sekali inti Istiqamah, maka Allah SWT tidak membiarkan 
tuntutannya berlegar tanpa panduan. Oleh kerana Surah Hud itu yang telah begitu 
mempengaruhi reaksi Nabi SAW kepada perintah Istiqamah, maka marilah kita 
sama-sama melihat bagaimana Surah Hud sendiri memperincikan rukun Istiqamah.
  RUKUN SATU: JANGAN MELAMPAU
  
“Janganlah kamu melampau” 
  Konsisten terjejas apabila manusia melampau. Kerana lazimnya melampau itu 
natijah emosi. Emosi penting untuk membakar motif perlakuan, tetapi lazim juga 
bakarannya hilang kawalan.
  Inilah perintah SATU dari Allah SWT sebagai kriteria pertama manusia yang 
beristiqamah. Jangan melampau.
  Melampau dalam erti kata melakukan lebih dari yang diperlukan, adik beradik 
dengan Culas, dalam erti kata melakukan sesuatu kurang dari yang dituntut. 
“Al-Ziyadah wa al-Nuqsan akhawaan. Berlebihan dan berkurangan adalah adik 
beradik”, kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas ketika menyentuh isu ini 
(Al-Khumasiyyat al-Mukhtarah fi Tahdhib al-Nafs al-Ammarah)
  Keterangan-keterangan al-Quran sering menyertakan perbuatan melampau ini 
dengan fasad. Melampau punca kerosakan. Sifat melampau (taghut) itu dirujukkan 
kepada kaum ‘Aad dan Thamud, Firaun dan Qarun, bahawa melampau mereka itulah 
yang mengundang kerosakan dan kebencanaan.
  Bukan hanya pada soal moral dan akhlaq, malah hukum Allah pada alam juga 
begitu. Melampau pada makan minum, binasa badan, melampau pada meratah alam, 
kehidupan manusia binasa. Sifirnya mudah, melampau itu membunuh keseimbangan. 
Ia tidak mesra alam, kerana itu ia dicela Pemilik alam.
  Jangan melampau dalam beragama. Pada amalan, juga pada prinsip dan perasaan.
  Masyhur tercatat, sahabat yang kepingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa 
iftar dan beribadah tanpa nikah, dicela oleh Nabi SAW kerana itu bukan caranya 
manusia berTuhan. Semua harus seimbang. Puasalah, tetapi berbukalah juga. 
Bangunlah malam, tapi peruntukkan sebahagiannya untuk tidur. Beribadahlah 
semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau 
bukan dari umatku”, kata Nabi SAW.
  Itu soal beramal.
  Manakala dari aspek prinsip, Islam mengajar kita agar jangan melampau. Jangan 
melampau pada mengikut dan menyokong, jangan melampau pada menolak dan 
menentang. Lihat sahajalah ajaran Allah SWT sendiri pada langganan kita 
terhadap kebenaran, yang sering ada di pihak kawan, mungkin juga di pihak lawan.
  Tatkala Permaisuri Saba’ mendengar berita kedatangan Sulayman ‘alayhi 
al-Salaam ke kerajaannya, beliau telah membuat suatu kenyataan:
  
Beliau berkata, “sesungguhnya raja-raja apabila mereka itu masuk ke sebuah 
negeri, mereka akan membinasakannya dan menjadikan orang-orang terhormat di 
negeri itu, terhina sama sekali” 
  Ia adalah suatu kenyataan yang dibuat oleh seorang musyrikah, musuh Allah, 
penyembah matahari. Kenyataan itu pula ditujukan kepada Sulaiman, Nabi Allah 
yang mukmin lagi tinggi dan mulia kedudukannya. Tetapi apabila kenyataan itu 
benar, maka kebenaran itu yang harus diiyakan, biar pun keluar dari mulut 
musuh. Lantas Allah SWT sendiri yang mengiyakan kenyataan Permaisuri Saba’ itu 
dengan firman-Nya:
  
… dan begitulah lazimnya apa yang raja-raja itu lakukan! (Al-Naml 27: 34) 
  Jangan pula atas sifat melampau kita dalam menyokong seseorang, kata-katanya 
sudah diiyakan sebelum didengar. Jangan pula atas sifat melampau kita dalam 
menolak dan membenci seseorang, pendapatnya sudah dinafikan sebelum didengar.
  Sifat-sifat inilah yang mengundang fasad. Rosak dalam beragama. Terhindar 
dari petunjuk Allah.
  
  “Mereka yang mahu mendengar pendapat, lalu mereka (kemudiannya) mengikut apa 
yang terbaik dari himpunan pendapat itu. Mereka yang seperti inilah golongan 
yang mendapat petunjuk Allah dan mereka inilah yang memiliki sari pati 
kefahaman” (Al-Zumar 39: 18)
  Bagaimana mahu memilih pandangan yang terbaik, jika kita sudah siap 
memutuskan si fulan itu pasti benar percakapannya kerana cinta kita kepadanya, 
dan pandangan si fulanah pula pasti salah pendapatnya, kerana benci kita kepada 
dirinya? Sungguh melampau sikap sebegini, dan fasadlah masing-masing dalam 
beragama, apabila paksi Din itu bukan lagi hujah, tetapi syakhsiah.
  Jangan melampau…
  Bukan sahaja dalam soal-soal mengidolakan ilmuan, bahkan juga dalam politik 
dan pemerintahan.
  
  Baca balik sejarah susur galur politik Malaysia, jika sesak nafas menyelak 
politik dunia. Mereka yang berlebih-lebihan itulah yang kemudiannya hilang 
konsistensi. Jika dipinjam sejarah PAS, kita akan bertemu dengan contoh jelas, 
bagaimana orang yang sukar dikawal percakapan dan tindak-tanduknya, yang 
membakar api di antara PAS dengan saingannya, mereka inilah pula yang terbalik 
ke belakang dan kemudiannya secara keji menjilat kembali ludahnya dulu.
  Sama ada seseorang itu berada di dalam PAS, mahu pun UMNO, jangan melampau 
dan jangan berlebih-lebihan. Melampau itu emosional dan melampau itu tidak 
rasional. Ia melanggar hukum keseimbangan, hukum alam dan hukum Tuhan.
  Bersederhanalah kerana kesederhanaan itu sulit, kecuali bagi mereka yang 
tenteram akal fikirannya.
  RUKUN DUA: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM
  Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar 
neraca agama yang ditentukan Allah. Lantas kezaliman itu juga harus dihindarkan 
sejajar dengan rukun kedua Istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada 
golongan yang zalim. Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim.
  
“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim” 
  Hasan al-Basri pernah menyebut, “telah dijadikan agama itu di antara DUA 
JANGAN. Jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”
  “Cenderung yang bagaimana?”, saya bertanya.
  “Cenderung pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau 
kecenderungan pada kebergantungan”, kata Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam 
bukunya al-Khumasiyyat al-Mukhtarah yang berada di tangan saya.
  Kecenderungan pertama yang menghapuskan Istiqamah dan konsistensi, ialah pada 
kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Hatinya tidak 
menolak, malah cenderung pula dengan jiwa dan perasan, atas sebab yang 
pelbagai. Rasa terhutang budi, lemah pendirian, semua itu boleh sahaja menjadi 
puncanya.
  Manakala kecenderungan kedua pula, ialah berbalik kepada makna perkataan 
RUKUN yang digunakan di dalam ayat itu tadi. Rukun itu adalah tempat 
bersandarnya sesuatu, sebagaimana struktur rumah bergantung kepada tiang yang 
disebut RUKUN. Maka mereka yang cenderung kepada manusia zalim itu, antaranya 
ialah manusia yang bergantung kepada si zalim.
  Bergantung kepadanya untuk makan minum.
  Bergantung kepadanya untuk mengekalkan posisi. Atau apa sahaja kebergantungan 
yang berbalik kepada penggadaian prinsip itu tadi.
  SIAPA SI ZALIM ITU
  Oleh kerana ia disebut secara umum, maka Sheikh Fadhl Hasan Abbas memilih 
untuk mengekalkan konteks umumnya. Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam 
yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim 
dengan pelbagai wasilah yang ada. Maka konsistensi seorang mukmin amat penting 
pada mengelakkan diri dari kecenderungan kepada golongan ini.
  Manusia zalim itu adalah manusia mensyirikkan Allah, melakukan maksiat dan 
menindas hak sesama manusia. Mereka perlu didampingi demi dakwah. Tetapi 
dampingan itu bukan dengan kecenderungan prinsip untuk mengiyakan perlakuannya. 
Soal pendekatan, itu pelbagai. Tetapi pada melihat kemungkaran dan kezaliman 
itu sebagai kemungkaran dan kezaliman, ia harus jelas di dalam pegangan diri.
  Tetapi dalam zalim yang pelbagai, tentulah zalim yang paling kritikal ialah 
zalim yang kesannya adalah ke atas massa. Kezaliman begini lazimnya datang dari 
pemerintah dan penguasa. Manakala manusia yang paling kritikal pada kesan 
mendampingi pemerintah sebegini, adalah ilmuan yang digelar ulama’.
  Mungkin kerana itu, Sheikh Fadhl Hasan Abbas menukil secara panjang, 
peringatannya kepada ulama yang cenderung kepada pemerintah.
  ULAMA’ HILANG KONSISTENSI 
  Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit 
untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung 
kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”.
  Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan 
manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang 
disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk 
kamu menjahit!”
  Begitu sekali kerasnya amaran Sufyan al-Thauri kepada lelaki berkenaan.
  Lantas al-Suyuthi telah mengarang sebuah kitab, khusus pada memberi amaran 
terhadap ulama’ agar yang mendatangi pemerintah. Beliau menamakan kitab itu 
sebagai Maa Rawaahu al-Asaatheen fee ‘Adam al-Majee’ ilaa al-Salatheen atau Apa 
Yang Telah Diriwayatkan Oleh Golongan Pakar Tentang Larangan Mendatangi 
Pemerintah.
  Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Seumpama seorang yang 
meniti di atas jambatan lurus yang kritikal. Sepenuh konsentrasi harus tertuju 
pada upaya untuk mengimbangkan diri. Jambatan itu terus lurus, namun kegagalan 
kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita 
terjerumus.
  ULAMA DALAM SISTEM, LUAR SISTEM
  Jika dibalikkan kepada Sejarah, kita akan bertemu dengan dua keadaan ini. 
Jika diamati pada tingginya institusi Ulama di dalam pemerintahan Othmaniyyah, 
maka untuk seorang alim duduk di dalam sistem, ia memudahkan beliau berperanan. 
Kedudukan tertinggi negara bukannya pada Sultan mahu pun Sadr al-A’dham (Grand 
Vizier), tetapi pada seorang alim berjawatan Sheikh al-Islam.
  
Sultan Suleyman al-Qanuni 
  Lihat sahaja contoh unggul dari zaman Sultan Suleyman al-Qanuni (1520–1566). 
Beliau selaku ketua sebuah kerajaan terbesar dunia di zamannya, telah dipanggil 
sebagai saksi untuk suatu kes perbicaraan di mahkamah. Namun kesaksiannya telah 
ditolak oleh Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi dengan alasan, “Sultan gagal hadir 
ke beberapa solat Jamaah di masjid. Selagi belum terisytihar taubatnya atas 
kesalahan itu, Sultan tidak layak memberi kesaksian di mahkamah!”
  Itulah wibawa seorang ilmuan di dalam sistem pemerintahan Othmaniyyah. Mampu 
berkata benar di hadapan sehebat-hebat pemerintah yang wujud di zamannya. Malah 
ketika golongan The Young Turk mahu menggulingkan Sultan Abdul Hamid II lebih 
300 tahun berikutnya, persetujuan (endorsement) seorang Sheikh al-Islam tetap 
diperlukan.
  Dalam sistem yang meletakkan seorang ulama itu lebih tinggi dari kabinet 
menteri dan Sultan, sejahteralah untuk beliau berada di dalam sistem, 
berperanan memimpin, memandu dan menegur perjalanan sebuah pemerintahan.
  Semua ini hasil perkembangan sistem Othmaniyyah yang boleh dilihat dari 
wasiat Osman Gazi, pengasas Othmaniyyah, kepada anaknya Orhan bahawa 
“dampingilah ulama’ kerana daripada mereka itu kamu beroleh panduan”.
  Ulama yang berani berkata benar di hadapan pemerintah, dan pemerintah yang 
sentiasa bersedia mendengar nasihat ulama. Maka wujudlah keseimbangan di situ. 
Keseimbangan yang melakar Istiqamah.
  Apakah mufti, ulama dan ustaz hari ini ada kedudukan sedemikian rupa?
  Di kebanyakan zaman silam dan semasa, ia tidak begitu. Institusi ulama tidak 
setinggi itu. Lantas, himpunan nasihat Golongan Pakar (Rasulullah SAW, Sahabat 
dan Tabien) di dalam kitab Maa Rawaahu al-Asaatheen fee ‘Adam al-Majee’ ilaa 
al-Salatheen atau Apa Yang Telah Diriwayatkan Oleh Golongan Pakar Tentang 
Larangan Mendatangi Pemerintah oleh al-Suyuthi, mesti diambil kira.
  Ia bukan bermaksud agar Ulama dan Umara harus bermusuhan, tetapi sebagai 
peringatan kepada Ulama dalam hubungan dirinya bersama Umara. 
  AMARAN RASULULLAH SAW
  Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, serta Abu Daud dan al-Baihaqi 
dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW telah 
bersabda, “sesiapa yang datang ke muka pintu Sultan (pemerintah), maka dia akan 
ditimpa ujian. Tidaklah sesiapa yang menambah dekatnya dia kepada Sultan 
(pemerintah) melainkan akan ditambahkan jarak jauhnya dia dari Allah SWT“.
  Juga dikeluarkan oleh Ibn Majah daripada Abu Hurairah, beliau berkata, 
Rasulullah SAW telah bersabda, “sesungguhnya Qurra’ (ahli al-Quran) yang paling 
dimurkai oleh Allah ialah mereka yang menziarahi pemerintah“
  Seterusnya dikeluarkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus daripada 
Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, “apabila kamu 
melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan Sultan (pemerintah), maka 
ketahuilah bahawa si alim itu sebenarnya adalah seorang pencuri“
  Juga dikeluarkan oleh al-Dailami daripada Umar al-Khattab, beliau berkata, 
Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah suka kepada pemerintah 
apabila mereka ini banyak bercampur gaul dengan Ulama tetapi Allah mengutuk 
Ulama’ apabila mereka itu bercampur gaul dengan pemerintah, kerana sesungguhnya 
apabila Ulama itu bercampur gaul dengan pemerintah, mereka menginginkan dunia. 
Manakala pemerintah apabila bercampur gaul dengan Ulama’, mereka menginginkan 
Akhirat“.
  Ini adalah sebahagian daripada petikan pelbagai riwayat yang dikumpulkan oleh 
al-Suyuthi di dalam kitabnya itu tadi. Sebahagiannya juga dipetik oleh Sheikh 
Fadhl Hasan Abbas di dalam kitabnya al-Khumasiyyat al-Mukhtarah tatkala 
membahaskan surah Hud ini. Sheikh Fadhl Hasan Abbas buta mata, tetapi hatinya 
celik pada melontarkan nasihat yang begitu signifikan.
  PERSOALAN KRITIKAL
  Peringatan-peringatan ini adalah suatu perkara yang besar. Kecenderungan 
orang agama kepada pemerintah boleh berlaku dengan pelbagai perkara.
  “Apa nak buat, nak cari makan!”, kata seorang ustaz yang berputar alam 180 
darjah.
  Itu alasan pertama. Terutamanya apabila orang agama kurang kemahiran. Hanya 
kenal kitab dan kitab. Pulang dari bumi Anbiya’ dengan isteri dan anak tiga. 
Peluang kerja amatlah sulit, beban hidup makin bertambah, ahli keluarga mula 
menyampah, lantas segala idealisma yang diperjuangkan, rebah di bawah slogan 
apa nak buat, nak cari makan. Lebih hodoh lagi, jika alasan ini terpacul dari 
mulut seorang aktivis yang pernah melampau.
  Dahulunya dia melampau, kemudian berubah kepada bersanadkan keperluan hidup 
dengan pemerintah, bekerja sebagai jurucakap siasahnya. Maka lengkaplah dua 
rukun utama yang meruntuhkan konsistensi juga Istiqamah. Lupalah dia kepada 
nasihat Hasan al-Basri, bahawa agama ini dibina di antara dua jangan. Jangan 
melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim.
  “Kalau boleh dakwah pemerintah, pemerintah akan support dakwah”, kata seorang 
ustaz yang lebih tinggi martabatnya.
  Inilah yang menggentarkan jiwa saya. Betapa liciknya pertimbangan kita dalam 
membaca realiti. Dan langsung enggan peduli kepada sejarah yang menunjuk ajar. 
Satu demi satu, pendakwah menyandar harapan pada sokongan pemerintah. 
Pemerintah belum tentu berubah, tetapi diri si alim itulah yang hilang 
konsistensi, tersasar dari jalan Istiqamah.
  Di dalam artikel saya yang lepas, saya sudah menyampaikan suatu nasihat buat 
teman-teman yang meniti jalan-jalan kecenderungan kepada pemerintah. Persoalan 
khusus dari artikel berkenaan ialah, apakah mekanisma Al-Din al-Nasihah 
golongan Ultra Salafi yang begitu teguh dengan idea larangan menegur pemerintah 
secara terbuka, kepada penguasa. Jika demonstrasi, penyataan parlimen, 
penulisan dan percakapan terbuka dianggap salah, maka bagaimanakah mekanisma 
menegur secara tertutup?
  Maka kali ini, artikel saya ingin melontarkan nasihat, bahawa dalam suasana 
menegur secara tertutup, sejauh manakah hubungan Ulama’ dengan Umara’ ini 
selamat dari amaran Allah SWT dan Nabi SAW yang sebutkan di atas? Ketika 
kelompok Ultra Salafi begitu agresif menampal dahi mereka yang tidak bersetuju 
dengan pemerintah itu dengan label Khawarij, dan diulang berkali-kali atas 
beratnya dosa menegur pemerintah secara terbuka, maka apa pula justifkasi 
kalian yang begitu mesra dan intim dengan pemerintah?
  Ikhtilath kalian dengan pemerintah, bagaimanakah caranya untuk ia tidak 
disanggah oleh amarah Allah SWT terhadap kencenderungan kepada orang yang zalim?
  Baca kembali artikel “Peta Pemikiran Astora Jabat Dalam Isu Aurat” serta 
“Astora, Jangan Jual Agama“, serta nilaikan kembali bahasa teguran kalian 
kepada pembangkang dan pemerintah. Saya tidak mempertikaikan perjawatan dan 
kedudukan ahli agama di dalam kerajaan kerana keperluan mereka berperanan ada 
di situ. Tetapi saya timbulkan pertaruhan Istiqamah dan di atas prinsip, 
memandangkan pemerintah hari ini masih pemerintah yang sama ketika kedua-dua 
artikel di atas dikeluarkan. Ketika nada teguran kepada pemerintah dan 
pembangkang sudah berubah, apakah pemerintah berubah, atau penegur yang beralih 
arah?
  GERAKAN SUNNAH
  Gerakan Sunnah adalah gerakan yang sepatutnya paling selamat kerana berpegang 
dengan dua tinggalan utama Rasulullah SAW. Tetapi sikap melampau dalam 
mengkritik saudara seagama yang menentang kezaliman, serta kecenderungan diri 
kepada golongan yang zalim itu… gerakan Sunnah menempa pengulangan sejarah, 
bahawa dalam pusingan kali ini, ia bakal sekali lagi diperalatkan.
  
  ANCAMAN KE ATAS KECENDERUNGAN KEPADA SI ZALIM
  Andaikata kecenderungan itu mengorbankan suatu prinsip Ulama sebagai pemegang 
amanah Rasul SAW, ancamannya meliputi ancaman dunia dan ancaman Akhirat.
  
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau 
kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu 
tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab 
kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. 
  Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, 
bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah itu jua kerana kesan 
perbuatannya yang membinasakan masyarakat dalam beragama. Tiada pembantu di 
Akhirat, selepas terhina di dunia kerana tiada pembantu selepas Allah berlepas 
diri darinya.
  Ingatlah kembali kepada nasihat guru kita Sheikh Fadhal Hasan Abbas yang 
berkata, “sesungguhnya sejarah silam telah menunjukkan betapa sekalian mereka 
yang cenderung kepada golongan yang zalim di dalam Perang Salib dan Perang 
Tatar, bahawa mereka itu dihina oleh Allah sehina-hinanya dan Allah tidak 
memberikan bantuan kemenangan kepada mereka. Sesungguhnya apa yang telah 
dibuktikan oleh sejarah silam, turut juga terbukti dalam sejarah semasa, bahawa 
Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada sesiapa yang cenderung kepada 
musuhnya yang zalim itu” (al-Khumasiyyat al-Mukhtarah ms. 156)
  Sesungguhnya agama ini dijadikan di antara dua jangan… JANGAN melampau, dan 
JANGAN cenderung kepada orang-orang yang zalim.
  RUKUN TIGA: DIRIKAN SOLAT
   
  
  Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada 
waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal 
kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian 
adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
  Istiqamah bersandar kepada Solat. Solat itu menjadikan kita terus menerus 
berhubung dengan Allah SWT. Pada bahagian siang dan bahagian malam, Solat 
berfungsi menjadikan seseorang itu sedar akan hidupnya yang berTuhan. Sentiasa 
connected dengan Allah SWT.
  RUKUN EMPAT: BERSABARLAH
  
  Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang 
yang berbuat kebaikan. 
  Sabar itu sudah saya kupas dengan panjang lebar di sepanjang Ramadan, bahawa 
ia saya fahamkan sebagai keupayaan mengawal diri dan tindakan.
  Bersabarlah wahai sekalian kita dalam beribadah, dalam belajar untuk jadi 
terpelajar.
  Bersabarlah wahai sekalian kita dalam berdakwah, agar penolakan yang berlaku 
tidak mendorong kita mencari jalan pintas yang mengugat Istiqamah.
  Sabar menjadikan kita terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat 
melampau. Sabar menghindarkan diri kita dari ghurur dengan ilmu yang kita 
perolehi kerana sesungguhnya ilmu dan harta adalah dua subjek panas tatkala 
masuk ke genggaman seseorang. Sabarlah… agar ilmu datang dengan ketundukan, 
hartamu datang diiringi kesyukuran.
  Jangan dengan ilmu itu kamu melampau.
  Jangan dengan harta itu kamu melampau.
  Sebagaimana jangan dengan kuasa itu, kamu melampau.
  Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan 
bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali 
berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah.
  Berat sungguh pengucapan Istiqamah ini.
  Tidak hairanlah Nabi SAW naik beruban kerana memikirkannya.
    Kesimpulan: Mereka yang menentang kerajaan JANGAN MELAMPAU. Mereka yang 
menyokong kerajaan JANGAN CENDERUNG KEPADA MANUSIA ZALIM. Semua harus konsisten 
dengan solat dan semua harus konsisten dengan sabar. 
  ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur 
   
   
   
   
   
  ARTIKEL INI ADALAH RINGKASAN KULIAH MAGHRIB DI SURAU AL-NAIM WANGSA MAJU PADA 
14 NOVEMBER 2007 DI BAWAH TAJUK “ISTIQAMAH PASCA RAMADHAN” 
   
  

 
  
---------------------------------
    
 
  © SAIFULISLAM.COM (1998 – 2007)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com 
dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas 
menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat 
Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. 
Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian 
daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran 
atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, 
mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM 
terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

       
---------------------------------
Get easy, one-click access to your favorites.  Make Yahoo! your homepage.

[Non-text portions of this message have been removed]



Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke