SEMANGAT kental yang ada pada pemilik Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, wajar dicontohi 
generasi muda, khususnya yang menyimpan cita-cita meneroka bidang perniagaan.

Datuk Yusuf Taiyoob, 47 pemilik syarikat kurma dan makanan berpangkalan di 
Pulau Pinang itu pernah muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut 
kerana berdepan tekanan apabila perniagaan pertamanya, penjualan minyak wangi 
di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat 
sambutan menggalakkan di peringkat awal.

Ketika itu, usianya baru 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat 
menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga 
pemakanan sehingga pada satu malam dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan 
separuh sedar.

"Orang tua saya fikir saya akan mati apabila lihat banyak darah keluar, nasib 
baik cepat mendapat rawatan.

"Doktor kata, kalau saya ini orang tua, saya sudah pergi dulu (meninggal 
dunia)," katanya mengimbau jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan dalam satu 
pertemuan di pejabatnya di Plaza MWE, Georgetown, Pulau Pinang.

Yusuf yang sebak menceritakan pengalamannya berkata, kejadian itu masih 
berbekas di hatinya kerana mengingatkan tiada sesiapa yang dapat membantunya 
kecuali diri sendiri dan keluarga rapat.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum mencapai tahap sekarang.

Katanya, beliau pernah dihalau dan produknya dicampak begitu saja tanpa dilihat 
terlebih dulu.

"Saya bersusah payah ke Kuala Lumpur untuk mempromosi minyak wangi yang saya 
adun sendiri. Bukan saja syarikat berpengaruh itu tidak mahu menjual, minyak 
itu dibaling begitu saja," katanya.

Namun, cabaran yang dihadapi itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, 
malah selepas peristiwa muntah darah serius sehingga tubuh badan kurus akibat 
perniagaan merudum, beliau terus mencari peluang untuk membuka perniagaan baru 
di lokasi lain.

"Saya bernasib baik mendapat sokongan ibu bapa dan datuk yang sebelum ini biasa 
terbabit dalam perniagaan. Pada masa itu, saya juga masih muda, ada peluang, 
untuk tukar haluan.

"Selepas keluar hospital dan berehat seketika, saya bertekad memulakan 
perniagaan lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecilan,” 
katanya.

Ketabahannya itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju 
sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal kurma dan makanan untuk 
pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kini, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai lebih 1,000 pengedar di 
negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya.

Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan 
Kuala Lumpur.

Beliau yang enggan memberitahu nilai jualan syarikatnya, berkata kini 
syarikatnya membekal 35 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safawi, 
Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara pada harga antara RM3 hingga RM120 sekilogram.

Kurma itu diperoleh dari Asia Barat dan Afrika Selatan, termasuk Tunisia, Oman, 
Iran, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

"Saya pilih buah berkualiti tinggi berbanding yang ada di pasaran. Pelanggan 
kami mengetahui kualiti buah ini dan sanggup berbelanja lebih untuk 
mendapatkannya," katanya.

Syarikatnya juga mengimport pelbagai makanan kering seperti rempah ratus untuk 
masakan dan bahan membuat kuih-muih dari pelbagai negara termasuk Amerika 
Syarikat.

Dengan tempahan yang semakin memberangsangkan di beberapa negara Asia Tenggara, 
memaksa syarikat yang kian berkembang untuk memiliki kilang sendiri bagi 
menempatkan stok dan membungkus produk dengan jenama sendiri, Yu Ta.

Kilang yang dibina di kawasan seluas hampir lima hektar di Bukit Minyak, 
Seberang Prai Tengah, bakal siap sepenuhnya menjelang Mac depan dengan kos RM20 
juta.

"Harapan saya jenama Yu Ta menjadi sinonim di kalangan masyarakat negara ini 
dan luar negara pada masa depan.

"Saya juga berharap perniagaan saya ini berkembang maju bagi membolehkan saya 
membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.

Bapa kepada tiga anak yang berusia satu hingga tujuh tahun, berkata rezeki yang 
diperoleh itu sentiasa dikongsi bersama golongan kurang bernasib baik pada 
sepanjang masa.

"Saya tidak pernah hadkan sumbangan saya, namun saya tidak suka memberi kepada 
sebarangan orang yang meminta.

"Saya akan pastikan mereka yang menerima golongan yang layak, kerana duit yang 
diperoleh bukan jatuh terus dari langit," katanya.

Kesibukannya yang bertugas dari pagi hingga malam, termasuk hari cuti tidak 
menghalang daripada menjalankan kerja kemasyarakatan.

Bagaimanapun, beliau tidak berminat dengan jawatan walaupun sering ditawarkan 
pelbagai jawatan seperti ahli lembaga pengarah pertubuhan di Pulau Pinang.

"Biarlah saya tumpukan kepada perniagaan dan hasilnya saya kongsi kepada 
golongan yang memerlukan," katanya.

Yusuf juga jarang bersukan termasuk golf yang digemari ahli korporat lain.

"Saya habiskan masa di rumah dengan keluarga jika tiada urusan di luar," 
katanya sambil menambah kejayaan yang diperoleh dapat membantu golongan kurang 
bernasib baik.

"Itu sudah menjadi kewajipan kita dan saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk 
mencapai hingga tahap ini," katanya yang menerima pelbagai anugerah termasuk 
yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun 
Abdul Rahman Abbas pada 2002 dan baru-baru ini.

Pelaburan RM20 juta bina kilang canggih

PENGELUAR dan pembekal kurma serta makanan import, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, 
menjangkakan pertumbuhan jualan sehingga 40 peratus daripada kira-kira RM60 
juta setahun sekarang apabila kilang barunya di Bukit Minyak, Seberang Prai 
Tengah, siap Mac tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Yusuf Taiyoob, 47, berkata kilang baru serba canggih di 
tapak seluas lima hektar membabitkan pelaburan RM20 juta itu membolehkan 
syarikat menghasilkan keluaran yang lebih tinggi pada bila-bila masa 
menggunakan teknologi moden.

Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mengurangkan kos operasi syarikat 
yang selama ini terpaksa menyewa gudang bagi menempatkan stok dan bekalan dalam 
kuantiti besar.

"Kilang ini mampu menempatkan 700 kontena stok makanan sejuk dan kering pada 
satu masa, yang diimport dan diproses semula dengan jenama Yu Ta singkatan nama 
Yusuf Taiyoob.

"Ia menjadikan kilang ini sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan bahan 
makanan basah dan kering terbesar di utara Semenanjung sebelum diedarkan ke 
pasaran tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura," 
katanya.

Yusuf berkata, apabila siap kelak, kilang itu mampu menyediakan peluang 
pekerjaan kepada lebih 50 penduduk setempat.

"Bagi keperluan jangka panjang, syarikat juga membeli sebuah bangunan warisan 
dua setengah tingkat di Lebuh Bishop, Georgetown untuk pelaburan masa depan," 
katanya.

Mengenai persiapan syarikat memenuhi permintaan bekalan kurma dan produk 
makanan lain pada Ramadan dan Aidilfitri ini, Yusuf berkata, sebanyak 3,000 tan 
metrik pelbagai jenis kurma diimport untuk pasaran negara ini.

Ia tidak termasuk produk makanan lain seperti bahan untuk membuat kuih, masakan 
seperti rempah-ratus dan kacang serta makanan kering yang diimport dan diedar 
secara borong kepada lebih 1,000 pengedar di seluruh negara.

Pihaknya mensasarkan jualan sebanyak RM20 juta bagi musim perayaan ini iaitu 
peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding musim sebelum ini.

"Jualan setiap tahun memberangsangkan kerana pelanggan kami mengetahui kualiti 
produk kami yang bermutu dan dijual pada harga berpatutan," katanya.

INFO

Syarikat pertama ditubuhkan ialah Yusuf Cosmetic pada 1979. Selepas dua tahun 
beroperasi, syarikat pertama ditutup dan menubuhkan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd 
(1988).

Membekal 100 produk makanan dan 35 jenis kurma.

Produk diimport dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat sebelum dieksport 
menggunakan jenama Yu Ta ke negara jiran termasuk Indonesia, Thailand, 
Singapura dan Brunei.

       
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals?  Find them fast with Yahoo! Search.

Kirim email ke