Bicara Agama
Bermazhab tanpa fanatik rahmat kepada umat Islam

RAMAI yang agak keliru dengan fahaman mazhab. Pelbagai anggapan yang wujud
acap kali persoalan bermazhab diajukan. Ada yang menganggap bahawa mazhab
merupakan faktor kepada perpecahan umat Islam.

Ada juga yang beranggapan bahawa pegangan mazhab adalah salah dan sesat
kerana tidak berpegang kepada al-Quran dan sunah. Namun ada juga yang
memandang serong kepada golongan yang tidak bermazhab.

Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) Petaling Jaya, Mohammad Nidzam Abd. Kadir cuba menjernihkan
kekeruhan yang timbul dalam satu wawancara bersama wartawan ZUARIDA MOHYIN
dan jurufoto, NAZERI ABU BAKAR baru-baru ini

UTUSAN MALAYSIA: Apakah sebenarnya mazhab dan bermazhab?

Mazhab adalah perkataan Arab daripada lafaz zahaba. Ia membawa maksud
'pergi'. Oleh itu, mazhab secara mudah boleh diertikan sebagai tempat
pergi. Dalam pengertian umum, mazhab bermakna pendapat, fatwa, cara
pengambilan hukum dan yang seumpamanya. Apabila disebut mazhab Maliki, ia
bermakna pendapat Maliki, fatwanya, cara pengambilan hukumnya dan
sebagainya.

Bermazhab pula bermakna mengikut al-Quran dan sunah berdasarkan kefahaman
seorang ulama muktabar. Umat Islam yang bermazhab Syafii bermakna mengikut
al-Quran dan sunah sebagaimana yang difahami oleh Imam Syafii. Sebagai
manusia, sudah tentu Imam Syafii bukanlah seorang yang maksum (terpelihara
daripada dosa dan kesilapan). Mungkin ada pendapat, kefahaman, fatwa dan
huraian Imam Syafii terhadap al-Quran dan sunah kurang tepat. Oleh itu,
sebagai umat yang sedar akan hakikat ini, kita sepatutnya meninggalkan
pendapat Imam Syafii yang mungkin kurang tepat atau kurang sesuai untuk
diamalkan.

Sebagai contoh, dalam masalah pembayaran zakat fitrah, Imam Syafii tidak
mengharuskan penggunaan wang sebaliknya menekankan soal makanan asasi.
Namun pendapat ini mungkin kurang sesuai diamalkan maka umat Islam telah
berpindah kepada pendapat Imam Hanafi.

Apakah apabila bermazhab Syafii bermakna kita tidak mengikut Quran dan
sunah dan begitu kepada mereka yang bermazhab Hanbali?

Jika benarlah ada tuduhan begini, ia satu tuduhan yang tidak berasaskan
ilmu dan keinsafan. Sebenarnya, semua mazhab yang empat mengikut Quran dan
sunah. Ini satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Sumber-sumber
pengambilan hukum setiap mazhab meletakkan al-Quran diikuti sunah sebagai
sumber tertinggi.

Jika ditanya kenapa rukun wuduk enam perkara, ada dalilnya daripada
al-Quran dan sunah. Jika dicari kenapa rukun solat tiga belas perkara, ada
dalilnya daripada al-Quran dan sunah. Setiap masalah pasti ada dalilnya.

Bagi yang ingin mendalami masalah ini, mungkin boleh cuba membaca buku
Fiqh dalam empat mazhab berjudul, al-Fiqh a'la al-Mazahib al-Arbaa'h.
Manakala bagi mereka yang ingin meluaskan perbincangan, boleh juga merujuk
kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Fiqh Islam dan dalil-dalilnya).
Kitab ini telah pun diterjemahkan. Sementara itu, bagi yang bermazhab
Syafii, antara kitab yang baik ialah kitab al-Fiqh al-Manhaji a'la
al-Mazhab as-Syafii. Ia juga telah diterjemahkan.

Jika semuanya mengikut al-Quran dan sunah kenapa umat Islam itu perlu
bermazhab?

Secara ringkas, kesemuanya bersandarkan al-Quran dan sunah. Oleh itu,
kembali kepada persoalan, kenapa bermazhab jika mengikut al-Quran dan
sunah? Secara logik, ia boleh diibaratkan sebagai menghormati kepakaran
seseorang. Sudah tentu tidak ada seorang manusia pun yang mampu menguasai
ilmu pengetahuan. Jika sakit, kita akan berjumpa doktor. Apa sahaja ubat
yang diberikan oleh doktor, biasanya kita akan terima dan mengambilnya.
Apakah perlu kita mempersoalkan ubat yang diberikan?

Jika kereta rosak, kita akan menghantarnya kepada mekanik. Biasanya apa
sahaja yang diperbaiki oleh mekanik, kita akan akur. Begitulah mazhab di
mana tidak semua orang mampu menganalisis setiap ayat al-Quran dan hadis.
Oleh itu, kita menghormati kepakaran seorang sarjana Islam yang telah
menghabiskan masa, umur dan tenaga mengkaji hukum Islam.

Oleh itu adakah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu bermazhab?

Sebenarnya tidak salah untuk bermazhab khususnya mazhab yang muktabar dan
terpelihara. Antaranya mazhab yang empat dalam Ahli Sunah iaitu Mazhab
Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Keempat mazhab ini mempunyai pengikut
yang ramai dan ulama muktabar selepas mereka. Ulama-ulama ini
bertanggungjawab menyusun dan menapis setiap pendapat dengan dalil dan
hujah.

Namun ada satu penyakit dalam masalah mazhab iaitu fanatik kepada mazhab.
Fanatik ini disebut sebagai taksub. Fanatik akan menyebabkan banyak
masalah dan musibah.

Oleh itu, kemungkinan besar antara punca perpecahan umat Islam ialah
fanatik mazhab bukan bermazhab. Sekadar bermazhab tanpa fanatik merupakan
satu rahmat kepada umat Islam.

Fanatik mazhab akan melahirkan perasaan bahawa mazhab anutannya sahaja
yang betul manakala mazhab lain adalah salah, mengakibatkan orang tidak
mahu bersolat dengan imam yang berbeza mazhab, menjadikan perkahwinan
antara orang berbeza mazhab tidak sah. Akhirnya umat Islam hidup dalam
perpecahan.

Apabila menyebut tentang perbezaan bermazhab, medan yang sering mewujudkan
kecelaruan ialah semasa berlangsung ibadat haji. Boleh ustaz jelaskan
bagaimana kesatuan umat mampu dicapai dalam perhimpunan tahunan ini?

Contohnya pandangan berbeza di antara Mazhab Syafii dan Mazhab Hanbali
tentang doa qunut dalam solat Subuh di mana satu mengatakannya sunat
dilakukan dan jika tertinggal disunatkan melakukan sujud sahwi berlainan
dengan Mazhab Hanbali yang tidak ada doa qunut.

Perbezaan ini terhapus jika kita kembali kepada roh bagi menyatukan umat.
Selain berpegang kepada hadis yang bermaksud: Sesungguhnya dijadikan imam
agar ia diikuti. (Riwayat Bukhari)

Selain itu, wuduk batal apabila bersentuhan tapak lapik lelaki dan wanita.
Mengikut Mazhab Syafii, wuduk batal. Ini mungkin agak menyusahkan. Apa
salahnya jika dia bertaqliq (mengikut) kepada mazhab yang lain seperti
Hanafi dan Hanbali. Perpindahan ini sedikit sebanyak menghapuskan fanatik
mazhab.

Begitu juga dalam tata cara ibadat haji iaitu terdapat tiga cara; haji
Ifrad, TamattuÂ’ dan Qiran. Terdapat pelbagai pendapat mana satu yang
afdal. Bagi yang bermazhab Syafii, haji Ifrad adalah yang paling baik. Ada
juga keadaan di mana umat Islam bermazhab Syafii memandang lekeh kepada
orang yang melakukan haji TamattuÂ’. Semua ini terhapus jika ada kesedaran
bahawa semua jenis haji memang sabit dengan dalil yang sahih.

Kesimpulannya, ibadat haji selain sebagai rukun Islam ia juga mempunyai
roh untuk menyatukan umat. Semoga ia termasuk dalam firman Allah yang
bermaksud: Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka...
(al-Haj: 28)

Lantaran itu, bagaimana seharusnya umat Islam itu boleh melihat dan
merealisasikan satu paradigma baru dalam bermazhab?

Bagi mengatasi masalah fanatik mazhab, maka menjadi kewajipan untuk umat
Islam menyedari hakikat bahawa semua mazhab muktabar mengikut al-Quran dan
sunah.

Oleh itu, adalah baik jika pengajian bermazhab dipermudahkan. Permasalahan
wuduk yang mudah dan senang janganlah dipayahkan. Ia juga memerlukan
penggunaan dalil agar umat Islam lebih terbiasa dengan al-Quran dan sunah.

Pendidikan perlulah ada langkah demi langkah untuk memahamkan kita dengan
al-Quran dan sunah. Jika kecil, kita diajar cara berwuduk tanpa mengetahui
dalilnya. Alangkah eloknya jika kita semakin pandai membaca, maka kita
cuba lagi menggali sedikit demi sedikit lautan mutiara ilmu dalam al-Quran
dan sunah. Bukan sekadar tahu dalilnya sahaja tetapi dapat menyelami
hikmah dan faedahnya. Semua ini akan mengukuhkan keyakinan kita terhadap
ajaran Allah s.w.t.

Umat Islam juga hendaklah meletakkan al-Quran dan sunah sebagai sumber
tertinggi dalam Islam, bukannya mazhab. Sebagaimana dimaklumi, mazhab
adalah tafsiran terhadap keduanya. Ada kemungkinan pandangan mazhab kurang
tepat atau mungkin kurang sesuai diamalkan.

Maka tanpa penyakit fanatik mazhab, tanpa menjadikan mazhab sebagai
syariat, maka akan mudahlah untuk kita mengikut pandangan yang lebih
hampir dengan al-Quran dan sunah.

Tolong ustaz berikan contoh ulung dalam menghormati perbezaan pendapat.

Satu contoh yang sering disebut adalah tentang Imam Syafii. Dalam mazhab
ini, doa qunut dalam solat Subuh adalah sunat. Jika tidak dilakukan doa
qunut, maka sunat diganti dengan sujud sahwi.

Satu masa, Imam Syafii berkunjung ke satu masjid di mana penduduk setempat
di situ bermazhab Hanafi. Imam Syafii diminta menjadi imam solat Subuh.
Apabila bersolat, beliau meninggalkan doa qunut dan tidak pula melakukan
sujud sahwi. Selesai solat, beliau ditanya masalah ini. Beliau menjawab
bahawa beliau menghormati pendapat Imam Hanafi yang tidak menyunatkan doa
qunut ketika solat Subuh.

Begitulah ceritanya secara ringkas. Jika benarlah cerita ini, ia patut
menjadi contoh kepada umat Islam terutamanya di negara ini dalam adab
bermazhab.

Sumber: 
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


___ _           _ _     ___ ____ ___/ __| |_ _  _ __| (_)___| __|__  / _ \\__ \ 
 _| || / _` | / _ \__ \ / /\_, /|___/\__|\_,_\__,_|_\___/___//_/  /_/


 
____________________________________________________________________________________
Do you Yahoo!?
Everyone is raving about the all-new Yahoo! Mail beta.
http://new.mail.yahoo.com

Kirim email ke