Wanita jadi mangsa kerana pilihan sendiri
``KISAH-KISAH yang dipaparkan dalam Di Celah-Celah
Kehidupan (DCCK) banyak membuat saya tertawa, kerana
apa yang saya lihat kebanyakan kaum lelaki cuba
menegakkan benang basah, sementara wanita pula
meratapi diri sendiri konon dah banyak berjasa dan
berkorban kepada suami tetapi akhirnya dia menjadi
mangsa suami.
``Wanita yang kecewa mendakwa jadi mangsa apabila
suami sudah kaya dia ditinggalkan, ada juga yang
mendakwa suami berkahwin lagi sedangkan dia sudah
banyak berkorban harta benda, wang ringgit kepada
suami, tetapi semuanya dilupakan setelah suami jadi
kaya atau terjumpa wanita yang lebih baik
daripadanya.''
Demikian cerita Norwati dalam e-mel yang dihantarkan
kepada penulis dan ketika saya menghubunginya sambil
berbual panjang pada satu petang, sambil tertawa
terkekek-kekek beliau menambah, kebanyakan masalah
yang berlaku adalah berpunca daripada diri wanita itu
sendiri begitu juga suami. Kerana masing-masing tidak
tahu tugas atau fungsi baik sebagai isteri mahupun
suami, bila dah kecewa mereka menyalahkan satu sama
lain.
``Namun saya bersimpati juga dengan nasib yang menimpa
mereka, malah ada kawan-kawan wanita yang datang
bertanyakan pendapat dan pandangan saya bagaimana
mengatasi masalah yang dihadapi atau sedang menimpa
diri mereka. Saya juga kesian dengan nasib wanita yang
teraniaya dan boleh saya katakan secara singkat di
sini, bahawa mereka tidak tahu tugas atau fungsi
mereka sebagai isteri, sebab itulah dianiaya.
``Sebenarnya saya bersimpati dengan kaum wanita, sebab
itu bila baca kisah yang dipaparkan dalam DCCK
termasuk kisah minggu lalu tentang kisah hidup Nooreen
yang berjudul Lagak orang senang sebaliknya kaya
hutang, di mana Nooreen tidak mengaku dirinya ego
sebaliknya menyalahkan suami menyebabkan hidupnya
menderita.
``Pada pandangan saya secara ikhlas kaum wanita yang
menganggap diri mereka sebagai `mangsa' lelaki atau
suami boleh saya golongkan mereka ini sebagai ``orang
yang suka diri menjadi mangsa - playing the role of
victims''. Mana tidaknya, mereka yang sanggup
berkorban atas dasar cinta atau bertolak ansur dengan
suami demi kebahagiaan keluarga.
``Sedangkan, sikap bodoh dan ego mereka itulah
sebenarnya menjadi punca masalah dalam hidup mereka.
Puan, saya ni sebenarnya tak ada sebarang ruangan khas
untuk digunakan bagi memberi nasihat kepada mereka
yang bermasalah seperti ini.
``Namun, selalu juga kawan-kawan datang, meminta
nasihat saya. Biasanya, terdiri daripada mereka yang
mahu berkahwin dengan lelaki yang berpendapatan kecil,
berpendidikan rendah dan umur teman lelakinya jauh
lebih rendah daripada mereka (tidak sekupulah dari
sudut agama). Mereka bertanya kepada saya, ``Bolehkah
saya kahwin dengan lelaki itu?''
``Selalunya, kawan-kawan yang meminta nasihat ini
terdiri daripada kaum wanita yang sudah berumur. Ada
yang dah nak masuk 40 tahun pun. Bergaji empat atau
lima angka bahkan ada yang lebih enam ribu ringgit
sebulan. Mereka sudah ada rumah dan kereta. Sudah
mengerjakan haji dan pergi umrah berkali-kali. Jadi
mereka tanya bolehkah dia berkahwin dengan lelaki
seperti itu (bergaji kecil, berpendidikan rendah dan
umurnya lebih muda)?
``Soalan mereka ini sebenarnya sulit untuk saya jawab,
tetapi saya berikan jawapan yang lebih mudah, saya
katakan sudah tentu tidak ada masalah kalau hendak
kahwin tentu sahaja boleh!
``Pada pandangan saya kawan-kawan saya ini hidup
mereka sudah jauh lebih senang berbanding dengan calon
lelaki yang mereka pilih itu. Mereka sudah mempunyai
pendapatan tinggi dan kukuh dan mereka sudah masak
dalam mengurus hidup sendiri. Malah boleh dikatakan
wanita golongan ini hidup mereka sudah lebih daripada
bahagia dan amat selesa tanpa suami.
``Tetapi masalah mereka yang cukup besar adalah kaum
keluarga, saudara-mara yang kaki penyibuk. Terutamanya
ibu bapa sendiri yang kononnya kalau mereka mati nanti
tak boleh tutup mata rapat, kalau anaknya yang dah
berumur ini `tak diselamatkan' (tidak dikahwinkan).
``Memang pada mulanya kawan-kawan saya tu tak kisah
sangat tentang pasangan hidup mereka, sebab kehidupan
mereka sudah jauh daripada selesa. Tapi, kalau setiap
masa dan ketika kalau mereka balik ke kampung kaum
keluarga mulalah mendongengkan kisah anak dara tak
kahwin ini, lama-lama mereka pun sudah tak larat nak
dengar lagi.
``Akibatnya mereka terpaksa menyerah kalah. Mengikut!
Jadi, sebagai kawan yang lebih berumur dan dewasa
daripada mereka, bila mereka bertanyakan pendapat
saya, tentulah saya jawab, kenapa tidak? Kahwinlah
sahaja supaya ibu bapa mereka boleh menutup mata
betul-betul rapat bila mati nanti, tapi ingatlah
kepada beberapa nasihat saya.
``Saya memberi mereka tujuh petua, kalau nak kahwin
juga dengan lelaki yang jauh lebih rendah pendapatan
serta pendidikan serta berumur jauh lebih muda
daripada diri mereka sendiri. Kata saya, kalau ikut
tujuh petua atau panduan ini kalau terjatuh pun taklah
parah sangat, sebab anda sudah bersedia. Berikut
adalah beberapa panduan ataupun nasihat saya.
``Pertama, saya katakan kepada mereka dia hendaklah
membeli rumah sendiri, yang sudah pasti dibeli atas
nama anda sendiri sebelum kahwin. Namun anda mesti
ingat petua paling penting jangan sekali-kali cuba
merampas tanggungjawab suami. Apa itu tanggungjawab
seorang suami? Saya percaya pembaca sendiri pun tahu.
``Tanggungjawab suami adalah mengurus perbelanjaan
rumah tangga seperti membayar semua bil, membeli makan
dan pakai, menjaga sakit pening isteri dan
anak-anaknya dan lain-lain. Sedikit atau sekecil mana
pun gaji suami, adalah menjadi tanggungjawab hakiki
suami tadi menyediakan semuanya terhadap isteri dan
anak-anaknya.
``Atas dasar apa sekalipun (contohnya, bertolak ansur,
kasihan atau cinta) jangan sekali-kali kaum wanita
mahu merampas tanggungjawab lelaki yang asas ini
(khususnya bantu membayar segala hutang piutangnya).
Kalau anda ambil alih tanggungjawabnya ini, suami akan
cepat naik sedap (naik mua) lantas dia akan mula
bersikap lepas tangan, hingga menyerahkan semua
tanggungjawab seperti membayar bil atau apa sahaja
untuk anda pikul.
``Kalau anda sudah bersedia selepas 10 tahun,
berkelakuan seperti itu anda jangan membebel kemudian
hari dengan bercerita ke sana ke sini (termasuk dalam
DCCK), kononnya segala pengorbanan anda kepada suami
selama itu tidak dihargai lagi. Anda dah terlalu
sayang kepada suami sanggup berkorban konon, jadi
jangan bising pikul saja, sebab anda yang nak
berkorban atas dasar sayang konon, cintalah dan entah
apa-apa lagi!
``Kedua, anda mesti bersedia menerima segala-galanya
ikut kemampuan suami. Contohnya, kalau suami cuma
mampu beli beras tempatan berlaukkan ikan selar kuning
setiap hari, sedangkan anda biasa makan beras Siam
harum wangi jenama termahal dan lauk ikan jenahak,
maka anda jangan membantah, anda telan semua yang
suami anda beli walaupun tercekik sebab tak berselera.
Namun kalau sesekali teringin nak makan sedap-sedap,
makan di tempat kerja.
``Begitu juga halnya kalau dia beli baju kain murahan,
hargailah, pakailah. Sekurang-kurangnya, anda pakai
sewaktu nak melawat ibu bapa mentua anda biar suami
puas hati dan mentua anda lihat apa yang anda pakai.
Jangan nak tunjuk kemewahan anda.
``Ketiga, jangan sekali-kali menghalang suami anda
menanggung ahli keluarganya. Itu adalah menjadi
tanggungjawabnya. Biarkan dia berhabis untuk
keluarganya, dan anda tidak perlu menghulurkan wang
untuk membantunya. Biar dia uruskan sendiri. Kalau dia
tak ada duit untuk anak-anaknya biarkan dia mencari
jalan keluar sendiri.
``Bagaimanapun sebaik-baiknya anda nasihatkan dia
supaya dia dapat memastikan dalam rumah tangga telah
disempurnakan terlebih dahulu terutama
tanggungjawabnya kepada anak-anak.
``Keempat, kalau anda hendak mencari pembantu rumah,
anda uruskan sendiri, anda bayarlah gajinya. Kerana
pembantu rumah itulah yang banyak mengambil
tanggungjawab dan tugas yang sepatutnya anda lakukan
di rumah. Kerana anda bekerja demi masa depan anda.
``Kelimanya, jangan sekali-kali anda cuba merampas
tanggungjawab suami ketika dia mahu meneruskan
pelajarannya. Kerana anda harus ingat anda bukannya
bank atau PTPTN. Kalau dia hendak menyambung
pelajarannya, dia boleh belajar, tapi ingat,
tanggungjawabnya terhadap keluarga mesti didahulukan.
``Jangan pula kerana kesian, cinta dan sayang konon
anda biarkan dia sambung belajar, dan anda ambil alih
tugas mengurus keluarga. Kalau anda masih hendak
menunjukkan simpati anda terhadap suami tercinta, lima
atau sepuluh tahun kemudian anda jangan sekali-kali
pergi ke rumah emak mengadu anda sudah jadi mangsa,
suami tinggalkan anda atau bertemu kekasih baru di
kampus dan nak minta izin kepada anda untuk kahwin
lagi.
``Kerana pada pandangan saya semuanya adalah salah
anda, anda tidak berterus terang dari awal dan jika
ditakdirkan anda dimadukan terima saja jangan
menangis, jangan meratap atau membebel kepada Puan
Maimunah untuk ditulis cerita anda dalam DCCK nanti.
``Keenam, jangan sekali-kali lagi cuba hendak
memperbaiki diri suami anda. Contohnya, kerana anda
malu pangkat atau gaji suami rendah maka anda berusaha
malah menggalakkan dia jadi usahawan. Sebab masalahnya
nanti anda juga yang akan kecewa.
``Sebab pertama kerana anda yang terpaksa bergadai
bergolok, malah mengeluarkan wang simpanan anda untuk
diberikan kepada suami supaya dijadikan modal dia
berniaga. Masalah besar yang bakal anda tempuhi nanti
jika dia gagal dalam perniagaan kerana tidak cukup
pengalaman dan kurang berminat berniaga maka hidup
anda akan dibebani hutang bukan puluhan ribu malah
ratusan ribu ringgit dan anda akan menyesal sepanjang
hayat.
``Terimalah kenyataan, bukan semua orang boleh menjadi
usahawan berjaya seperti Tan Sri Nazamuddin atau Tan
Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Anda sepatutnya terima
keadaan suami anda seperti seadanya, seperti mula-mula
anda bersedia berkahwin dengannya dahulu.
``Tetapi kalau suami anda berjaya dalam perniagaan dan
menjadi usahawan berjaya walaupun tak setaraf Tan Sri
Tajudin Ramli mahupun Tan Sri Halim Saad, maka dia
akan jadi orang yang terkejut beruk, sebab jadi kaya
tak semena-mena, maka corak hidupnya akan bertukar,
dan anda jangan bersedih, meratap dan menangis apalagi
kalau dia tak balik ke rumah, sebab dah ada orang
kedua dan dia akan minta izin anda untuk kahwin
seorang lagi.
``Nasihat saya yang ketujuh dan terakhir, jangan
sekali-kali buat joint akaun. Anda hendaklah sentiasa
ingat hari tua anda. Sebab banyak terjadi seorang
asyik menyimpan sementara seorang lagi asyik
berbelanja, ataupun menabung untuk kekayaan dirinya
sendiri. Siapa tau! Bila terjadi satu-satu hal duit
dalam bank anda tinggal kosong, anda sendiri gigit
jari. Dah banyak terjadi ini bukan benda baru, jadi
sayangi diri sendiri supaya tidak kesal kemudian hari.
``Inilah tujuh nasihat saya kepada rakan-rakan yang
ingin mendapatkan nasihat saya, dan insya-Allah mereka
berjaya dalam hidup hingga beranak pinak, ini bukan
soal ego, tetapi sensibility. Setiap insan ada
tanggungjawab masing-masing yang telah ditetapkan oleh
Allah. Kalau salah seorang daripada kita melanggarnya,
samalah macam kita merosakkan alam sekitar. Musibah
akan menimpa. Jadi, jangan menyesal di belakang hari
dan menganggap diri sebagai mangsa, sebab yang salah
adalah diri anda sendiri.'' Demikian nasihat Norwati.
Norwati seorang pesara kerajaan berjawatan tinggi
juga, kini bekerja secara kontrak dengan kerajaan.
Tidak berumah tangga, mungkin kerana tidak ada jodoh
dan lebih selesa bekerja. Ketika ditanya apakah beliau
berasa sunyi setelah bersara kerana tidak mempunyai
keluarga, katanya hidupnya terlalu sibuk, selain
membaca, melayari internet, menulis, mendengar ceramah
agama beliau juga suka melancong. Jadi hidupnya tidak
pernah sunyi.
Betul juga, sunyi sebenarnya terletak kepada diri
sendiri, kalau tidak tahu menggunakan masa memanglah
sunyi. Ada juga mereka yang mempunyai keluarga terasa
hidup mereka sunyi apabila anak-anak dah besar,
bekerja dan meninggalkan mereka. Ada juga yang terlalu
sibuk, sudahlah semasa mudanya sibuk mengurus
anak-anak, dah tua pula terpaksa menjaga cucu, itu
terpulang kepada diri sendiri menguruskan hidup
masing-masing.
Kata Norwati, walaupun tidak berkahwin dan tidak
mempunyai anak dia selesa dengan hidupnya sekarang,
yang penting mesti membuat persediaan dari awal, ada
simpanan wang, ada rumah dan kereta, jadi kita tidak
perlu bergantung kepada orang lain, kita boleh urus
diri sendiri.
Demikian pandangan seorang wanita yang tidak mempunyai
keluarga, bagaimanapun terpulang kepada anda
memikirkannya mengikut pilihan anda sendiri sama ada
mahu berkahwin ataupun tidak. Tapi yang penting
katanya, jangan menyesal kalau menjadi mangsa suami,
kerana ia adalah pilihan anda sendiri. Sebaik-baiknya
kaum wanita hendaklah mempunyai perancangan masa depan
untuk diri sendiri
__________________________________
Meet your soulmate!
Yahoo! Asia presents Meetic - where millions of singles gather
http://asia.yahoo.com/meetic
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
In low income neighborhoods, 84% do not own computers.
At Network for Good, help bridge the Digital Divide!
http://us.click.yahoo.com/hjtSRD/3MnJAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved
otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the
title "change to daily digest".
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/