Kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru bayar RM700 juta hutang kerajaan BN

 

KOTA BHARU-BRI: 10 Okt - Barisan Adun pembangkang di DUN Kelantan tercengang apabila Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS – Pasir Tumbuh) memberitahu jasa kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama sekarang menjelaskan lebih RM700 juta hutang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

 

Sebelum itu, Mohd Zain Ismail (BN – Bukit Tuku) membilang satu persatu jasa-jasa Menteri Besar sebelum ini termasuk Tan Sri Mohamed Yaakub yang boleh dilihat sekarang.

 

Katanya, kerajaan BN sebelum ini membina kompleks Kota Darulnaim, Balai Islam dan banyak lagi prasarana lain, sedangkan sekarang hanya kelihatan rehal sahaja yang dibina kerajaan PAS.

 

Beliau juga dengan megah mempertikaikan bajet Kelantan 2006 yang dianggap tidak berkesan, namun di akhir pembahasan menyokong belanjawan tersebut.

 

Adun BN itu turut menganggap Dasar Membangun Bersama Islam tidak berkesan.

 

"Bagaimanapun kalau hendak perintah sampai 100 tahun lagi pun tak apa, tetapi dengan syarat mempunyai hala tuju yang jelas," ujarnya.

 

Sejurus selepas itu ketika mengambil bahagian membahas bajet 2006 Ahmad Baihaki berkata, kebijaksanaan yang ada pada kerajaan di bawah kepemimpinan ulama iaitu menjelas segala hutang ditinggalkan kerajaan BN.

 

Selepas itu Adun Bukit Tuku bangkit lagi dengan mempertikaikan peranan ulama sebagai ketua kerajaan negeri sekarang yang dianggap tidak cekap mentadbir dan hanya layak mengajar agama sahaja.

 

Kemudian bangun Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS – Chetok) yang menjelaskan sambil membaca ayat-ayat al Quran dan mengimbau sejarah kerajaan Khulafah al Rasyidin juga di kalangan ulama.

 

Adun Pasir Tumbuh berkata, apa gunanya melantik orang yang bijak namun terbabit dengan gejala rasuah sehingga ada yang digantung keahliannya. Beliau juga berkata, rakyat Kelantan memang bijak membuat pilihan biar pun diugut dengan pelbagai perkara termasuk sekatan bantuan ‘one off’ dan buku teks sekolah.

 

Ketika beliau berhujah mengenai Islam Hadhari yang dikutip daripada tulisan Dr Yusof Qardawi di mana katanya, penamaan Islam dengan istilah hadhari harus ditolak, menyebabkan Dato’ Annuar Musa (BN – Kok Lanas) bangun dan mengatakan mengapa PAS dan MPKB juga menggunakan nama Islam.

 

Ahmad Baihaki berkata, perkara itu perlu dilihat dari konteks yang berlainan dan tidak sama dengan Islam Hadhari yang kini dianggap satu kefahaman baru.

 

"Kalau tidak mahu dijadikan kefahaman secara menyeluruh mengapa pula dibuat seminar di merata tempat sekarang," katanya.

 

Penjelasan itu menyebabkan Annuar bangkit berkali-kali dan menganggap punca kekeliruan yang berlaku di kalangan umat sekarang setelah PAS diwujudkan menggunakan perkataan Islam. Malah katanya, tanpa ada PAS pun rakyat Malaysia faham mengenai Islam.

"PAS diwujudkan kerana pada peringkat awal Umno tidak mahu kepada Islam, sehingga menyebabkan ulama ketika itu menubuh parti Islam bagi memperjuangkan agama tersebut.

"Dan sekiranya Umno jelas mahu memperjuangkan Islam sepenuhnya, maka tidak ada sebab lagi PAS diwujudkan. Bagaimanapun sekarang PAS tetap dengan perjuangannya kerana Umno tidak mahu kepada Islam," kata Ahmad Baihaki.

Adun Pasir Tumbuh juga mencadangkan supaya Yayasan Islam Kelantan mewujudkan sekolah rendah Islam bestari bagi melengkapkan lagi sistem pendidikan agama di negeri ini.//

 

Peruntukan perumahan rakyat: Pusat ketepikan Kelantan - Exco

KOTA BHARU, 10 Okt – Sehingga kini kerajaan Kelantan tidak mendapat sebarang peruntukan bagi membina rumah rakyat, biar pun negeri-negeri lain mendapat peruntukan besar bagi tujuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata, pada pembentangan Bajet 2006 Perdana Menteri telah mengumumkan sebanyak RM778 juta diperuntukkan bagi membina 21,000 unit rumah rakyat dan RM177 juta bagi projek rumah awam kos rendah.

 

"Ini bermakna setiap negeri kecuali Kelantan akan menerima peruntukan sebanyak RM73.5 juta bagi projek perumahan rakyat. Namun negeri ini langsung tidak dimasukkan dalam senarai tersebut," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan DUN hari ini.

 

Oleh itu katanya, kerajaan negeri terpaksa menyediakan peruntukan sendiri sebanyak RM12 juta bagi projek perumahan rakyat tahun depan.

 

Selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak swasta akan membangunkan sebanyak 684 unit rumah awam kos rendah di beberapa tempat termasuk di Wakaf Mek Zainab, Wakaf Che Yeh di Kota Bharu dan Gua Musang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, wakil-wakil rakyat pembangkang dianggap bertukar menggunakan forum DUN seperti bercakap di Parlimen.

 

"Mereka asyik bercerita mengenai projek-projek yang dibuat kerajaan Pusat. Mereka hanya tahu mengkritik dengan mengatakan kerajaan PAS lemah sedangkan idea baru membantu rakyat tidak ada," ujarnya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood berkata, kerajaan Islam Hadhari sepatutnya memastikan pelaksanaan hukum Islam benar-benar dilakukan di negara ini.

 

Bagaimanapun malangnya kata beliau, sekarang mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan negara dianggap batal termasuk peraturan al Quran dan Hadis.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Zulkifli Mamat berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Konsortium Kemahiran Kelantan dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi bagi melatih tenaga-tenaga mahir dalam pelbagai bidang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, sepatutnya Kesedar dan Kada turut menjemput Exco pertanian bagi menduduki lembaga pengarah agensi berkenaan.

 

"Saya banyak idea hendak cadangkan kepada Kada dan Kesedar bagi meningkatkan lagi sektor pertanian di negeri ini, namun mereka tidak menjemput saya," katanya.

 

Sementara itu, persidangan DUN masih lagi berlangsung sehingga saat ini di mana enakmen terakhir dibentang. Wakil rakyat BN yang tinggal sekarang hanya seramai lapan orang.

 

Sedangkan kesemua wakil rakyat kerajaan masih berada di dewan.

 

Persidangan yang berlangsung sejak Isnin lalu menyaksikan pembentangan lima rang undang-undang termasuk Enakmen Perbekalan (2006) Tahun 2005.//

 

Jawatankuasa timbang tara dicadangkan siasat Tabal raja di Ketereh

 

KOTA BHARU-BRI, 10 Okt.: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan mencadangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) hari ini supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa timbang tara bagi menyiasat peristiwa ‘pertabalan’ raja di Ketereh pada 1993.

 

Takiyuddin berkata, jawatankuasa itu boleh menentukan sama penganjuran program ‘pertabalan’ mempunyai niat sebenar atau sebaliknya.

 

"Jawatankuasa itu boleh menyiasat dan memanggil pihak-pihak terbabit dengan program pertabalan tersebut untuk disoal siasat mengenai niat sebenar mereka," katanya ketika menggulung perbahasan bagi portfolionya pada persidangan DUN.

 

Pada 28 April 1993 sepupu Sultan Kelantan, Tengku Ibrahim Petra ditabal pada majlis pemasyhuran Anugerah Pingat Emas Kecemerlangan Indera Petra. Pada majlis itu Tengku Ibrahim telah dihadiahkan tujuh persalinan sebagai cenderamata daripada rakyat.

 

Laungan ‘Hidup Tengku Ibrahim’, ‘Daulat Tuanku’, Allahuakbar’ bergema setiap kali nama beliau disebut, program tersebut dilangsungkan di Ketereh, lapor sebuah akhbar.

 

Takiyuddin berkata, "Kita sebenarnya sudah berserabut dengan isu tersebut kerana sering dibangkitkan setiap kali persidangan DUN berlangsung.

 

"Oleh itu bagi meredakan isu tersebut yang kini sudah menjadi sebahagian daripada sejarah, maka saya berpendapat perlu diwujudkan satu jawatankuasa timbang tara bagi

memperlihatkan niat sebenar penganjuran program pertabalan raja di Ketereh," ujarnya.

 

Kata beliau Ketua Pembangkang, Dato’ Annuar Musa sebelum ini menjelaskan program tersebut dianjur hanya sebagai penganugerahan kepada pelajar cemerlang.

 

"Ketika itu Annuar pakai baju warna kuning, sedangkan raja yang ditabal memakai baju warna biru," katanya. Ketika kerajaan menggulung perbahasan hari ini, Annuar tidak ada dalam dewan dan mengemukakan surat bercuti kepada Speaker.

 

Takiyuddin juga memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membantu pesakit kronik di negeri pada tahun depan.

 

Katanya, kerajaan negeri menyediakan dana tersebut bagi membantu pesakit kronik yang menghadapi masalah kewangan bagi mengubat penyakit mereka tanpa mengira politik, agama dan keturunan.

 

"Pada borang khas yang disediakan tidak ditulis pesakit yang memerlukan bantuan tersebut menyokong parti mana atau hanya boleh ditandatangani wakil rakyat tertentu sahaja.

 

"Sedangkan saya mempunyai bukti ada borang pinjaman pelajaran yang dikeluarkan sebuah agensi kerajaan Pusat mengkhaskan borang tersebut hanya boleh ditandatangani wakil BN sahaja," ujarnya.

 

Beliau juga mempelawa wakil-wakil rakyat pembangkang turut memanfaatkan kewujudan tabung tersebut bagi membantu rakyat yang menghidapi penyakit kronik. //


Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

SPONSORED LINKS
Florist malaysia Malaysia hotel Kelantan


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke