Punca Hasil selain perhutanan perlu dipertingkatkan
KOTA BHARU-BRI, 9 Okt.: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyudin Hassan, berkata dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada perhutanan sebagai punca hasil, kerajaan negeri mempertingkatkan kutipan hasil tanah.
Selain itu, katanya, pihaknya turut memberi tumpuan kepada tunggakan hasil tanah termasuk hasil semasa menerusi mengemaskini jentera pentadbiran, selain peningkatan hasil kuari.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Annuar Musa pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Kesebelas, di Kota Darul Naim, di sini, semalam.
Annuar dalam soalan tambahan berkata kenaikan cukai untuk menampung pendapatan kerajaan negeri itu adalah membebankan rakyat ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Tidakkah kerajaan negeri bercadang menggunakan pendekatan lain termasuk mengusahakan kayu yang diproses untuk dijual di
luar," katanya.
Menjawab soalan tambahan Zainuddin Awang Hamat (Pas-Limbongan), Takiyuddin berkata, Kerajaan negeri tidak mahu bergantung kepada satu sumber hasil saja. Hasil perhutanan juga semakin berkurangan berikutan kuota yang diberikan Majlis Perhutanan Negara hanya 6,500 hektar setahun berbanding 6,900 hektar sebelum ini.
Sementara itu, Mohd Rosdi Ab Aziz (BN- Wakaf Bharu) mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjual bangunan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menutup kelemahan anak syarikat kerajaan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat, menjawab kerajaan negeri akan melakukan apa saja yang boleh untuk kepentingan rakyat negeri ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) mengenai projek hiliran PKINK, Zulkifli berkata, mengikut kajian projek pengetinan sardin
terpaksa diberhentikan berikutan ia tidak berjaya.
"Projek anak ayam juga terpaksa ditutup berikutan kajian mendapati ia berisiko tinggi terutama ketika negeri ini dilanda selesema burung, selain lambakan anak ayam di pasaran," katanya.
Katanya, kerajaan negeri berpuashati dengan prestasi PKINK yang mencatatkan kerugian RM25 juta pada 2001 dan RM15 juta pada 2002, manakala keuntungan sebanyak RM11 juta pada 2003 dan RM5 juta tahun lalu.
Beliau berkata bagi tahun ini pula, pihaknya menjangkakan keuntungan yang bakal diperolehi anak syarikat kerajaan negeri itu dianggarkan sebanyak RM5 juta.//Bha
'Kelantan Adalah Sebahagian Daripada Malaysia, Rasuah itu Najis' di pintu masuk
KOTA BHARU-BRI, 9 Okt.: Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS - Limbongan) mencadangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini supaya kerajaan negeri memasang papan iklan gergasi bertulis 'Kelantan Adalah Sebahagian Daripada Malaysia'.
Beliau turut mencadangkan perkataan 'Mari Bersama Islam' dan 'Rasuah Itu Najis' dipasang di tempat-tempat awam.
Persidangan DUN masuk hari ke keempat selepas dirasmikan pembukaannya pada Isnin lalu oleh Sultan Kelantan. Persidangan yang sentiasa hangat tersebut dijangka berakhir esok.
Adun Limbongan berkata, papan-papan iklan itu hendaklah dipasang pintu masuk utama ke Kelantan termasuk di Pasir Puteh, Gua Musang, Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Jeli.
"Papan kenyataan 'Kelantan Sebahagian Daripada Malaysia' wajar dipasang memandangkan wakil-wakil rakyat pembangkang sering membangkitkan kerajaan Persekutuan memberi bantuan besar kepada Kelantan.
"Apa yang diungkitkan itu seolah-olah negeri ini bukan
sebahagian daripada Malaysia. Sedangkan segala bantuan yang diberi adalah sebahagian daripada tangungjawab kerajaan Pusat di bawah konsep persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan," katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2006 di persidangan DUN.
Kata beliau, rakyat negeri ini berhak menikmati pembangunan dan segala bantuan lain memandangkan segala hasil cukai dikutip daripada mereka.
Begitu juga katanya, 'Rasuah Itu Najis' perlu diberitahu secara lebih menyeluruh kepada rakyat memandangkan gejala itu masih berleluasa berlaku di kalangan pihak tertentu.
Kata beliau, pada pemilihan Umno pada tahun lalu seorang pemimpin yang menang jawatan Naib Presiden disabitkan kesalahan politik wang sehingga digantung tiga tahun.
Ketika itu, Mohd Zaki Ibrahim (PAS - Kelaboran) bangun mencelah dengan menjelaskan tidakkah menjadi sesuatu yang aneh apabila politik wang yang berlaku dalam parti itu tidak dilibat sama dengan Badan Pencegah Rasuah
(BPR).
"Itulah sebenarnya ajaran sesat yang hendak kita banteraskan. Sedangkan kita berpolitik bagi memikul segala amanah Allah Taala. Bagaimanapun malangnya ada wakil pembangkang mempertikaikan kenyataan Menteri Besar yang menganggap rasuah adalah sebagai tahi.
"Rasuah benar-benar menjijik. Bila menjijik tentunya hampir serupa dengan tahi. Dan apabila pemimpin terbabit dengan rasuah perbuatannya menjadi buruk.
"Ini dapat dilihat secara mudah, apabila dia terbabit dengan pembinaan, bangunan yang dibina runtuh seperti yang berlaku di Pahang baru-baru ini," kata Zainuddin.
Dalam perbahasan setengah jam tersebut beliau juga mencetus satu istilah baru iaitu 'pengurusan kalbu' yang tidak diberi perhatian sesetengah pemimpin yang ada sekarang.
Kata beliau hari ini apabila ditanya kedai atau restoran mana yang sedap dan enak untuk dikunjungi, semua orang tahu dan boleh memberitahunya dengan mudah.
"Sedangkan kita hendak guna 10 sen sahaja daripada
jumlah pendapatan untuk mencari ilmu agama tidak dilakukan. Kalau tidak mahu kepada ulama PAS boleh cari ulama lain," katanya.
Beliau berkata, disebabkan sayang harta untuk mencari ilmu di jalan Allah, maka ada pemimpin menghadapi masalah 'pengurusan kalbu'. Pada ucapan yang sama beliau melahirkan rasa hairan mengapa Indonesia yang mengamalkan Pancasila berteraskan sekular lebih bertoleransi dengan rakyat.
"Pada setiap kali menyambut Ramadhan dan ulangtahun kemerdekaan negara, Presiden negara itu membebaskan tahanan yang dipenjarakan. Misalnya Abu Bakar Basyir diringankan hukuman, baru-baru ini.
"Sedangkan negara ini yang dikatakan mengamalkan Islam Hadhari tidak pula mengambil sikap prihatin bagi membebaskan tahanan ISA sehingga anak Menteri Besar ditahan masuk tahun keempat sekarang," katanya.
Beliau juga berharap 21 Adun BN yang ada di DUN Kelantan dapat menyalurkan segera maklumat daripada Dewan kepada kerajaan Pusat untuk diambil tindakan termasuk
membayar bantuan perkapitan kepada sekolah agama rakyat.//
Adun pembangkang pengsan ketika hadiri persidangan
KOTA BHARU, 9 Okt - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini dikejutkan apabila Adun Wakaf Bharu, Mohd Rosdi Abdul Aziz, 42 pengsan ketika menghadiri sesi persidangan sebelah pagi.
Kira-kira jam 11.10 pagi Adun Selising, Amran Mohd Noor yang berada di sebelahnya di dalam dewan kelihatan memanggil bentara dan sejurus selepas itu Mohd Rosdi dipapah keluar dewan. Adun berkenaan dikatakan pening kepala.
Bagaimanapun ketika sampai di bilik rehat Adun yang terletak di tingkat bawah dewan persidangan, beliau didapati pengsan. Ketika itu Dato' Mustapa Mohamed (BN - Ayer Lanas) sedang membahaskan Bajet 2006.
Beliau kemudian dikejar ke Hospital Universiti Sains Kubang Kubang Kerian dengan dibantu oleh pegawai keselamatan Kota Darulnaim dan anggota paramedik yang bertugas. Keadaan Mohd Rosdi kini difahamkan beransur pulih.//
RM20 juta bina rumah awam kos rendah tahun depan
KOTA BHARU, 6 Okt - Keprihatinan kerajaan Kelantan terhadap penduduk miskin untuk memiliki rumah sendiri benar-benar direalisasikan pada bajet 2006, apabila sebanyak RM12 juta diperuntuk bagi membina rumah awam kos rendah (RAKR).
RAKR akan dibina di beberapa lokasi tahun depan termasuk di Kadok, Dalam Rhu, Tumpat dan rumah transit di Panji, Kota Bharu. Rumah tersebut dibina dengan konsep mampu milik.
Projek RAKR lain yang dijangka dibina tahun depan iaitu di Gaal, Pasir Puteh dan Bandar Baru Jeli, sebanyak 209 unit membabitkan kos kira-kira RM7.24 juta.
"Selain itu bagi menampung bilangan unit kediaman yang diperlukan, kerajaan negeri menerusi projek usahasama dengan pemaju swasta akan membangunkan beberapa projek RAKR termasuk di Wakaf Mek Zainab dan Wakaf Che Yeh di Kota Bharu serta di Gua Musang. Ia melibatkan pembinaan sebanyak 684 unit," kata Menteri Besar.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, usaha meningkatkan taraf hidup golongan nelayan juga dilakukan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM447,000 bagi tujuan itu.
Katanya, antara program yang dirancang bagi manfaat golongan nelayan termasuk penyediaan infrastruktur, galakan pemindahan teknologi, benih ikan air tawar dan galakan teknologi pengendalian.
"Beberapa projek baru akan diperkenalkan pada tahun depan antaranya pemulihan spesis ikan kelah, ternakan ikan dalam sangkar, pemulihan semula sangkar terbiar dan pembangunan tukun tiruan.
"Kita perlu dinamik dan sentiasa berinovatif. Inilah aspek-aspek strategi yang kita terjemahkan dari tema belanjawan 2006," katanya ketika membentang Bajet 2006 pada persidangan DUN hari ini.
Kata Menteri Besar kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM40.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) tahun depan. Selain itu sebanyak RM2.5 juta diperuntukan bagi pembinaan baru, menaik taraf dan menyelenggara bangunan sekolah YIK.
Bagi program kerohaniah kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.96 juta kepada Majlis Agama Islam Kelantan. Peruntukan lain termasuk Ihya Ramadhan sebanyak RM150,000, tahfiz al Quran (RM150,000), tilawah al Quran (RM150,000), pembangunan Islam jajahan (RM95,000), sambutan Hari Hudud (RM35,000), program Bulan Sembahyang (RM400,000), Skuad Amru (RM100,000) dan program nasyid (RM50,000).
Program kerohaniah lain iaitu kembara bermotosikal melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 dan majlis bersama guru pondok serta ulama (RM50,000), pembangunan insan (RM1.25 juta), peruntukan kecil agama (RM500,000) dan projek bantuan rumah dhuafat (RM1.29 juta).
Bagi pembinaan masjid pula sebanyak RM6.5 juta diperuntukan termasuk membina Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang melibatkan kos RM2 juta.
"Kerajaan negeri juga melaksanakan program pembangunan remaja berlandaskan nilai-nilai akhlak Islam dengan peruntukan sebanyak RM800,000, pembangunan sukan RM1.9 juta, bantuan kepada badan-badan kebudayaan - RM300,000 dan pertubuhan Islam - RM100,000," kata Menteri Besar.
Peruntukan kebajikan kepada Orang Asli dan bukan Islam sebanyak RM200,000, latihan belia dan wanita (RM500,000), membantu golongan armalah (RM1.5 juta) dan anak yatim (RM1.5 juta).//
Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "perakan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
