MB Kritik Wakil Rakyat Tidak Sopan

KOTA BHARU, 7 Okt - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengkritik anggota Dewan Undangan Negeri yang tidak sopan sehingga menimbulkan kekecohan dalam persidangan Dun semalam sambil menyifatkannya seperti ‘itik berebut hampas kelapa’.

Katanya, biarpun diminta Timbalan Speaker Dun, Uataz Nasharuddin Daud, berulangkali supaya anggota Dewan duduk bagi mengelakkan kekecohan, namun tidak diendahkan oleh anggota dewan terbabit.

"Sikap begini tidak seharusnya berlaku bagi seorang wakil rakyat, bukannya kanak-kanak di sekolah. Kalau budak sekolah lain cerita, sebab mereka tu budak lagi, tengah belajar," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati di sini pagi tadi.

Menteri Besar berkata demikian dipercayai mengulas beberapa orang anggota Dewan khususnya dari penyokong BN khususnya Tendong yang tidak mengikut arahan Timbalan Speaker semalam supaya duduk biarpun diminta berulang kali.

Keadaan itu berlaku sewaktu Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) sedang membahas Belanjawan 2006 yang telah diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Semalam, Zaki tidak memberi laluan kepada anggota dewan dari BN apabila mereka ingin mengambil kesempatan untuk bertanya pada waktu itu.

Ketegangan semakin memuncak sehingga wakil (BN-Tendong) diminta duduk berulang kali oleh Timbalan Speaker.

Tuan Guru seterusnya berkata, sikap berkenaan amat tidak wajar berlaku dari seorang wakil rakyat yang dipilih rakyat untuk mebahaskan isu-isu serta masalah rakyat.

"Tuan-tuan kalau ada masa elok sangat la pergi tengok boleh lihat bagaimana reaksi anggota dewan," ujarnya.

Ketika menyampaikan kuliah itu juga, beliau turut melahirkan kebimbangannya terhadap masaalah bunuh diri yang semakin meningkat di Negara ini sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.

Katanya, apa yang menyedihkan orang Melayu yang beragama Islam juga turut terlibat dengan gejala yang menyedihkan itu.

Sambungnya, perkara ini berlaku ekoran kurangnya keimanan di dada sehingga sanggup melakukan perbuatan hina.

"Ramai yang membunuh diri kerana banyak hutang, kecewa dan sebagainya, tetapi kita kena ingat mati ni sebagai tanda berakhirnya hidup di muka bumi, tetapi ada lagi kehidupan lain yang sedang menanti, bahkan ianya lebih perit khususnya bagi mereka yang tidak beriman.

"Semalam saya membuka website Al-Jazeera, juga ada menyentuh tentang bunuh diri, di mana rakyat Russia membunuh diri sampai beribu-ribu setiap bulan,"ujarnya.

Perkembangan ini, tambahnya begitu mencemaskan kerana dibimbangi ianya menjangkiti masyarakat di Negara ini. //

 

Pengerusi Kada perlu tunai janji agih baja subsidi secara adil

KOTA BHARU, 5 Okt – Anggota Exco kerajaan negeri menuntut Ketua Pembangkang, Dato’ Annuar Musa mengotakan janjinya sebelum ini, mengagihkan baja subsidi padi kepada petani tanpa mengira fahaman politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, kerajaan negeri mahu janji yang dibuat Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Lembaga Pertanian dan Pengairan Kemubu (Kada) benar-benar direalisasikan.

"Sekiranya perkara itu masih tidak dilaksana kita tidak akan teragak-agak untuk membangkitkan lagi isu tersebut pada persidangan dewan akan datang," katanya.

Sebelum ini, Annuar membuat kenyataan media dengan menjelaskan pengagihan baja subsidi padi akan dibuat secara lebih adil tanpa mengira sentimen politik. Kenyataan itu dibuat selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi Kada baru menggantikan Tan Sri Hussien Ahmad.

Dr Nik Mazian berkata, sekiranya janji tersebut ditunaikan, kerajaan negeri boleh menggunakan peruntukan bagi menyediakan baja subsidi kepada perkara-perkara lain.

"Pada tahun depan kita memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menyediakan baja subsidi bagi menampung permintaan petani yang tidak mendapat baja di bawah peruntukan Persekutuan," ujarnya.

Isu baja subsidi padi menjadi polemik di Kelantan sejak PAS mentadbir negeri ini sehingga sekarang. Petani yang menyokong PAS tidak mendapat baja cap dacing yang dikeluarkan kerajaan Pusat. Ekoran itu kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan sendiri baja subsidinya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, pembesaran lapangan terbang dan pembinaan pelabuhan cukup penting bagi memesatkan lagi pembangunan negeri ini.

Katanya, sejak 1973 sehingga sekarang Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hanya mampu didaratkan Boeing 737 sahaja dan sepatutnya DC10 sudah boleh mendarat sekiranya pembesaran landasan dibuat.

"Sultan sendiri menyuarakan hasrat baginda mahu melihat landasan diperbesarkan sejak tahun 1989 dan kelmarin baginda membangkit lagi," katanya.

Begitu juga kata beliau keperluan mewujudkan pelabuhan cukup penting untuk mengendalikan perkhidmatan kargo sebagai usaha meningkatkan lagi hasil pendapatan negeri. //

 

Kerajaan bidas kenyataan tidak berasas Adun BN

KOTA BHARU, 5 Okt – Anggota Exco kerajaan negeri memandangkan serius kenyataan Dato’ Hashim Saffin (BN – Gual Ipoh) yang menganggap pentadbiran sekolah agama rakyat (SAR) menipu sehingga menyebabkan bantuan perkapita dihentikan beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan yang dilemparkan tersebut adalah hampir serupa dengan isu yang pernah dicetuskan bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

"Kita masih ingat Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh SAR sebagai tempat melatih militan dan kenyataan itu disokong pula Dato’ Seri Najib Razak. Dan semalam pula Adun Gual Ipoh cuba memperkata isu yang hampir serupa.

"Ini adalah suatu yang sangat teruk. Saya juga ingin mendapatkan fakta seperti dibentang wakil rakyat terbabit yang mengatakan prestasi sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan sebagai teruk," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan menjunjung kasih di atas titah Sultan Kelantan pada persidangan DUN hari ini.

Sedangkan katanya, sekolah agama di bawah YIK menunjukkan prestasi cemerlang sejak 15 tahun lalu iaitu mengatasi sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Misalnya pada 2002, Maahad Tahfiz Pulai Chondong disytiharkan sebagai sekolah terbaik dalam peperiksaan SPM di negara ini dengan gred purata sebanyak 3.7 dan layak menerima sijil penghargaan.

"Bagaimanapun malangnya, pihak kementerian tidak menjemput YIK datang mengambil sijil tersebut, sebalik mereka menghantar ke sini," ujarnya. Katanya, sekolah tersebut berjaya mengekalkan kecemerlangan SPM sejak diwujudkan pada 1997 sehingga sekarang.

Mohd Amar juga berkata, Maahad Tahfiz Sains yang sedang dalam pembinaan di Tanah Merah membabitkan kos RM11 juta merupakan sekolah pertama seumpama itu di negara ini.

Sementara itu, Sultan Kelantan ketika merasmikan persidangan DUN kelmarin bertitah, ilmu merupakan elemen penting dalam proses pembangunan insan dan tanpa kombinasi ilmu yang seimbang manusia dianggap jahil biar pun berupaya menerokai angkasa lepas.

Menurut baginda kemajuan dan ketamadunan manusia bukan diukur dari kaca mata fizikal semata-mata, malah kemajuan sebenarnya terletak kepada kemampuan bangsa itu sendiri menguasai ilmu pengetahuan.

Sehubungan itu, titah baginda, YIK perlu memainkan peranan dalam pembentukkan 'tunas-tunas baru' bagi mencapai keseimbangan ilmu pengetahuan.

"Beta merasa gembira kerana prestasi akademik pelajar Yayasan Islam Kelantan telah meningkat dari setahun ke setahun. Ini menunjukkan bahawa usaha semua pihak untuk melihat pencapaian yang baik sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan menghasilkan keputusan cemerlang," titah baginda.

Baginda juga yakin bahawa sistem pendidikan Islam di bawah YIK memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan sumber manusia di negeri ini.

"Langkah menubuhkan Maahad Tahfiz Sains adalah merupakan strategi penting untuk menyediakan pelajar yang mampu menguasai bidang sains dan teknologi serta mempunyai pengetahuan agama yang kental," titah baginda.//

 

Adun BN keluar dewan ketika kerajaan gulung jawapan

KOTA BHARU, 5 Okt – Sikap hipokrit wakil rakyat Barisan Nasional (BN) benar-benar terserlah hari ini apabila sebahagian besar mereka meninggalkan dewan ketika pihak kerajaan sedang menggulung perbahasan.

Mereka bertindak keluar dewan dengan diketuai Ketua Pembangkang, Dato’ Annuar Musa (BN – Kok Lanas) dan diikuti wakil-wakil rakyat BN lain. Ketika jam 12.15 pagi hanya tinggal dua wakil rakyat BN iaitu Mohd Rosdi Abdul Aziz (Wakaf Bharu) dan Haji Kamaruddin Mohd Nor (Semerak).

BN mempunyai seramai 21 wakil rakyat di DUN Kelantan. Semalam Adun Air Lanas, Dato’ Mustapa Mohamed hanya hadir sekejap di sebelah pagi. Mereka keluar dari dewan ketika Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad sedang menggulung perbahasan bagi portfolionya.

Takiyuddin Hassan ketika menggulung bagi portfolionya selepas itu melahirkan rasa dukacita kerana ketika itu hanya tinggal seorang sahaja wakil rakyat BN.

"Pada masa akan datang kalau hendak dipilih hanya Wakaf Bharu sahaja yang sesuai kerana tetap berada di dewan ketika pergulungan dibuat. Saya juga tidak ingin memanjangkan jawapan kerana orang yang membangkitkan soalan sudah tiada," katanya. Sejurus selepas itu masuk Adun Semerak.

Sebelum itu, Dr Nik Mazian berharap wakil-wakil rakyat BN mencontohi Adun Dabong yang nampak lebih terbuka dan rasional ketika mengemukakan hujah semasa berbahas.

Katanya, idea yang dikemukakan Adun berkenaan boleh membantu kerajaan negeri kerana lebih bernas dan mempunyai fakta yang jelas.

"Sepatutnya wakil rakyat lain termasuk Ketua Pembangkang mencontohi sikap rasional yang ditunjukkan Adun Dabong," katanya. Ketika itu Annuar berada di bahagian depan berhampiran tempat duduk Speaker kelihatan tunduk kepala.

Anggota Exco terbabit juga berkata, wakil rakyat Paloh, Norzula Mat Diah tidak mempunyai isi ketika berucap dan hanya banyak berjenaka yang kosong fakta.

Ketika Norzula berucap sebelum itu, Annuar berkali-kali bangun untuk mencelah. "Oleh kerana Pengerusi BN bangun saya terpaksa memberi laluan," kata Adun BN Paloh disambut ketawa orang ramai. //


Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.

YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke