TUMPAT: Seorang penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan ditemui mati dipercayai
dikelar dan ditetak rakan setugasnya di sebuah rumah di Wakaf Bharu
di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, mangsa Mohd Khairul Zaili Mohd
Khamel, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di
leher, kepala dan kedua-dua tangan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Superintendan
Shafei Ismail, berkata polis menahan rakan karib mangsa berusia 28
tahun, selepas dia mengaku membunuh Mohd Khairul Zaili.
Beliau berkata, polis turut merampas pisau pemotong ayam yang
dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Shafei berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Wakaf Bharu dan
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dihantar ke rumah suspek
sebaik dihubungi seorang penduduk, kira-kira jam 9 pagi.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, polis menahan suspek yang juga
seorang penguat kuasa KPDNHEP untuk membantu siasatan selepas dia
mengaku membunuh rakannya.
"Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah
itu dengan kesan kelar pada leher serta tetakan di kepala dan tangan.
"Ketika ditemui, mayat mangsa dalam keadaan kemas berpakaian kerana
sebelum itu Mohd Khairul Zaili dikatakan hendak ke pejabat," katanya
di tempat kejadian, semalam.
Shafei berkata, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan dan polis masih menyiasat motif pembunuhan itu.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat (HT) untuk
bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan
pengebumian.
Sementara itu, ibu suspek, Zainab Yusof, 65, berkata ketika kejadian
dia tiada di rumah kerana menunggu menantunya, Latifah Abdullah, 30-
an, yang juga kakak ipar suspek yang hendak bersalin di Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Zainab berkata, dia keluar dari rumah kira-kira jam 3 pagi bersama
seorang lagi anak lelakinya ke HUSM dan pulang sendirian ke rumah
kira-kira jam 10 pagi semalam.
"Sebaik sampai di rumah, saya terkejut tengok polis ramai di sini.
Saya nampak polis memapah anak lelaki saya keluar dari rumah dengan
keadaan lemah. Saya dimaklumkan orang ramai, ada orang mati dalam
rumah saya dan polis tidak membenarkan saya masuk," katanya.
Seorang jiran, Ahmad Hashim, 28, pula berkata dia menyedari
pembunuhan itu pada jam 8.30 pagi selepas dimaklumkan seorang
penduduk yang terdengar bunyi bising dari dalam rumah berkenaan.
"Saya bergegas menghampiri rumah itu selepas dipanggil suspek yang
ketika itu berada di sebalik jeriji dekat pintu masuk rumahnya.
Lelaki itu meminta saya hubungi polis kerana katanya dia sudah bunuh
kawannya.
"Saya kemudian bergegas menghubungi polis sebelum memaklumkan kepada
penduduk kampung," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Khamel Ismail, 47, berkata anak
sulungnya daripada tujuh beradik itu, Mohd Khairul Zaili, 21, mahu
berpindah ke rumah sewa di Kota Bharu kerana tiada kenderaan untuk
berulang alik ke pejabat setiap hari.
Beliau berkata, sejak melaporkan diri bertugas sebagai penguat kuasa
KPDNHEP pada 22 Mei lalu, anaknya terpaksa menumpang motosikal rakan
setugas (suspek) untuk pergi dan balik pejabat.
"Pagi ini, dia dijemput oleh rakannya (suspek) kira-kira jam 7.30
pagi untuk ke pejabat seperti biasa, tetapi saya kemudian dapat tahu
dia bawa Khairul ke rumahnya.
"Masa berada di rumahnya, anak saya diserang dan dikelar. Saya tidak
tahu apa punca dia diperlakukan sedemikian kerana sejak tiga bulan
mereka berkawan baik.
"Anak saya terpaksa menumpang rakannya kerana tidak mampu membeli
motosikal kerana baru bekerja. Hanya beberapa hari lalu, dia menerima
gaji pertama dan menyerahkan kepada ibunya, Zaini Saad, 42, untuk
disimpan.
"Tiga hari lalu, dia memberitahu kami dia hendak pindah ke rumah sewa
untuk lebih dekat dengan pejabat kerana tiada kenderaan untuk
berulang alik ketika ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di
Wakaf Bharu, semalam.
Mohd Khamel berkata, beliau mulanya dimaklumkan berlaku pembunuhan di
rumah suspek.
"Saya bergegas meninjau tempat kejadian dan ketika itu, saya terkejut
melihat rakan anak saya itu berada dalam kereta peronda polis,
menyebabkan saya mengesyaki sesuatu berlaku kepada Khairul.
"Saya yang tidak sedap hati, bergegas balik ke rumah memaklumkan
kepada isteri saya supaya menghubungi Khairul sama ada dia sudah
sampai di pejabat atau tidak.
"Isteri saya menghubungi telefon bimbit Khairul tetapi tidak dijawab.
Panggilan ke pejabatnya diberitahu dia belum masuk. Saya kembali ke
tempat kejadian sebelum mendapat tahu mayatnya ditemui di situ,"
katanya.//BHarian
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/