KOTA BHARU 16 Ogos Sokongan rakyat Kelantan terhadap kepimpinan
Perdana Menteri akan diperlihatkan semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi melakukan lawatan kerja selama dua hari ke negeri ini mulai
Ahad ini.
Puluhan ribu rakyat akan menghadiri beberapa program khusus sepanjang
lawatan beliau yang turut dianggap bakal meletakkan asas baru
terhadap perubahan yang sedang dilalui di Kelantan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa
berkata, era kepimpinan Perdana Menteri telah menunjukkan
keprihatinan yang tinggi terhadap rakyat dan negeri Kelantan.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah, Kelantan menerima
peruntukan tertinggi sebanyak RM7.6 bilion daripada kerajaan pimpinan
Abdullah bagi memajukan negeri dan rakyat melalui Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9).
"Lawatan sesi bertemu rakyat ini telah dirancang lebih awal sejurus
selepas Perdana Menteri umumkan RMK-9 tetapi tertangguh dan kehadiran
beliau akan memastikan segala yang diluluskan dapat dilaksanakan
segera dan berjalan lancar.
"Lawatan ini juga cukup bererti ketika Kelantan turut terheret dengan
polemik politik semasa dan membolehkan Perdana Menteri memberi
penjelasan dan rakyat menyatakan sokongan di samping dapat
meningkatkan lagi perpaduan UMNO," ujarnya.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini mengenai atur cara
lawatan Perdana Menteri, beliau yang juga Pengerusi Majlis Kemajuan
Kelantan berkata, lawatan kali ini juga lebih memfokuskan ke arah
untuk menzahirkan Kelantan dalam satu bentuk baru yang sedang diberi
penuh perhatian oleh pimpinan Pusat.
Katanya, Perdana Menteri akan meninjau beberapa sektor penting iaitu
pertanian, pendidikan, pelancongan, Koridor Timur dan sebagainya
untuk dilaksanakan (RMK-9) bagi merapat jurang wilayah dan juga
antara bandar dan desa.
Menurut Annuar, sehari sebelum ketibaan Perdana Menteri, Konvensyen
Kemajuan Kelantan kedua dengan penglibatan gabungan anak-anak
Kelantan di seluruh negara akan diadakan dan resolusi mengenainya
akan diserahkan kepada Abdullah keesokan harinya.//Utusan
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/