Larangan Menjadikan 
  Bahagian Kurban Sebagai Upah
   
   
  Menjelang musim hariraya kurban, maka peringatan-peringatan yang berdasarkan 
kepada as-Sunnah perlu diulangi agar para pelaksanaannya tidak melanggari 
batasan yang digariskan. 

Seluruh para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging 
sembelihan kurban(al-Adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah 
al-Mujtahid: "Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak 
diharuskan menjual daging kurban" (jld. 1, m.s. 703, cetakan Dar al-Khair, 
Beirut) 
  Perkara ini telah diketahui oleh kebanyakan kita, namun ada yang terlupa 
bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging kurban kepada penyembelih 
atau pelapah atau sebagai sebagai upah dari kerja yang mereka lakukan adalah 
termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga 
kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada 
penyembelih adalah termaktub dalam hadith-hadith yang sahih yang diriwayat oleh 
al-Bukhari dan Muslim. 
  Riwayat-riwayat hadith tersebut adalah daripada `Ali bin Abi Talib r.a, 
katanya:"Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya 
(sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, 
kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan 
seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada 
al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya." (Riwayat al-Bukhari 
hadith ke-1716, Muslim, hadith ke-1317) 
Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: "Kami 
memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri". 

Walaupun hadith di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga 
hukumnya dalam masalah kurban. Apa yang penting ialah larangan dari menjadi 
sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai 
bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan 
kurban atau al-hadi (sembelihan haji). Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son 
`ani dalam Subulus as-Salam, katanya: Hadith ini menunjukkan bahawa 
disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang kurban sepertimana 
disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau 
pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan 
kedudukan sebagai upah. Hukum sembelihan kurban sama juga dengan hukum sembelih 
haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan 
kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (jld. 4, m.s. 148 
cetakan Dar al-Ma'rifah, Lubnan) 

Dengan hadith di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan kurban 
memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang 
kurban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging 
atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan 
lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik 
pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih 
atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan 
katanya: "Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah" (juz. 9 m.s. 
435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut) 

Ketika mengulas hadith ini, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh 
Sahih Muslim: "Hadith ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih 
dan pelapah bahagian dari sembelihan kurban kerana jika diberi kepadanya 
sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk 
darinya. Ini adalah tidak dibolehkan" (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, 
Beirut) 

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging 
kurban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Ini juga boleh dikiaskan 
dengan sebarang upah yang diberikan dari sembelihan korban maka sama hukumnya 
iaitu haram. 

Al-Imam al-Nawawi sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`i di 
dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu': "Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan 
tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan 
semasa haji dan `umrah (الهدي) dan sembelihan 
kurban dijual. Samada ia kurban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, 
kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya 
dijadikan upah untuk penyembelih .."(juz. 8 m.s. 419-420 ctk. Dar al-Fikr, 
Beirut) 

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: "Tidak 
boleh dijadikan bahagian dari kurban itu sebagai upah untuk penyembelih 
walaupun kurban itu adalah kurban sunat.( m.s. 149 ctk. Dar So`ab, Beirut.) 

Kata Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris iaitu seorang ulama dari Jordan dalam 
kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: "Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang 
melakukan kurban memberi walaupun sedikit bahagian kurban kepada penyembelih 
sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Ctk.: Maktabah al-Manar, 
Jordan) 

Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah 
memberikan bahagian kurban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan 
kurban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya 

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi 
apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa 
hadith-hadith tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih 
atau pelapah. Larangan dalam hadith-hadith berkenaan hanya jika upah itu 
diambil dari bahagian kurban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau 
selainnya yang tidak dari bahagian kurban maka itu adalah tidak termasuk dalam 
larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. 
Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina 
Ali menyebut: "Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami 
sendiri. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka 
melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak 
diambil dari bahagian kurban. 

Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah 
amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang kurban 
yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah 
merosak pahala kurban yang dijanji dan kurban kita terbatal. Kata Mustafa 
al-Khin dam Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh 
kurban di dalam mazhab al-Syafi`i: "Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan 
kurban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, 
kerana ini mengurangkan apa yang dikurbankan dan merosakkannya".( juz 1 
m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.) 

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian kurban dibolehkan 
sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur 
dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan 
kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan 
kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan 
maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap 
sebagai upah. Ia merosakkan kurban. 

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: "Jika diberi 
kepada penyembelih dari apa yang dikurban disebabkan kefakirannya atau sebagai 
hadiah maka ini tidak mengapa". (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.) 

Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau 
persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap 
akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau 
pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika 
dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada 
penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi 
upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan 
kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian kurban kerana 
upah yang sebenar telah mereka perolehi. 
  Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn 
Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian kurban kepada 
penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya 
upah yang lain (selain dari bahagian kurban). ( juz. 5 / m.s. 221, Ctk. Dar 
al-Jil, Beirut) 

Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi 
oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang 
dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan 
membatalkan kurban. 

Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini 
serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita 
menjaga agar tidak melanggarnya seperti yang dilakukan oleh sebahagian 
masyarakat. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam 
hadith yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan 
upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian kurban yang mengakibatkan 
rosaknya kurban yang kita lakukan. Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil 
kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau 
pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban 
kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan. Kurban ada peraturannya yang 
ditentukan syarak. Pastikan agar kurban itu diterima di sisi Allah.
  Cadangan:
  1) Berikanlah upah RM 10 atau lebih kurang kepada penyembelih dulu barulah 
difikirkan sama ada ingin menyedekahkan sebahagian binatang korban atau tidak.
  2) Elakkan dari semata-mata memberi sedekah dari daging korban sahaja 
walaupun disebut sedekah kerana timbul kesamaran antara sedekah atau upah 
kerana adakah kita akan memberikannya sedekah kalau ia  tidak menyembelih 
binatang korban kita? Adakah benar-benar penyembelih redha jikalau tidak 
diberikan sebahagian dari binatang korban disamping tidak diberikan upah 
seperti wang sebelumnya.?Oleh itu jauhkanlah diri dari perlbagai alasan 
sehingga kita terjun ke lembah syubhah. 
  3) Lebih berhati-hati jikalau tidak diberikan sedikitpun dari binatang korban 
tersebut kepada penyembelih. Hanya diberikan upah dari bahagian yang lain sama 
ada wang atau daging atau makanan dari lainnya seperti mana yang dilakukan oleh 
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat.
  4) Bahagikan dulu kepada 7  bahagian barulah masing-masing memilih sendiri 
sama ada ingin memberikan sedekah kepada penyembelih atau tidak. Sedekah 
selayaknya diberikan hanyalah kepada penyembelih yang fakir miskin dan sayogia 
diberikan dulu upahnya walaupun sedikit supaya jelas perbezaannya antara upah 
dan sedekah. 
   

 __________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



Apa yang dicari mungkin ada di sini:
http://www.giantproduct.com
dan
http://www.bukusiber.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/Tumpat/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke