Sinar Harian 7 Julai 2010 . TAMPIN – Linangan air mata seorang lelaki 
warganegara Indonesia dan 'kisah sedihnya' yang tidak mempunyai wang untuk 
pulang ke negara asal untuk menjenguk ibunya yang sakit tenat berjaya mengaburi 
mata hati seorang Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan bahagian ini untuk 
membeli tiket nombor ekor, milik lelaki berkenaan yang didakwa memenangi wang 
pertaruhan bernilai RM96,000.

Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Din berkata kepada 
pemberita, kejadian itu berlaku jam 2 petang semalam.

"Ketika itu, isteri berjalan kaki di kaki lima deretan kedai di tengah bandar 
untuk ke Pejabat UMNO dan kemudiannya dia didatangi lelaki warga Indonesia 
berusia lingkungan 40-an.

"Lelaki terbabit kelihatan amat sedih dan menunjukkan sekeping tiket pertaruhan 
nombor ekor dibeli kepada isteri dengan pertaruhan RM32 dan berjaya memenangi 
hadiah wang tunai RM96,000 seperti dipaparkan dalam keratan akhbar yang 
ditunjukkannya," katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, lelaki Indonesia itu memaklumkan kepada isteri saya bahawa dia 
tidak boleh menuntut hadiah berkenaan kerana bukan warganegara Malaysia.

"Malah dia tidak segan silu merayu meminta bantuan sebanyak RM10,000 daripada 
isteri saya dan menyerahkan tiket dimenangi itu untuk menuntut hadiah.

“Dia tidak putus-putus merayu isteri saya supaya memberikan sebanyak mana yang 
mampu. Katanya, wang selebihnya (menang pertaruhan) disedekahkan kepada isteri 
saya dan akan menghubunginya sebaik kembali semula ke negara ini," katanya.

Abang Din berkata, termakan dengan pujuk rayu lelaki terbabit, isterinya 
sanggup memberikan barangan kemas dan buku simpanan bank dalam keadaan seperti 
terpukau, sekali gus menyebabkan kerugian hampir RM10,000.

Bagaimanapun menurutnya, isterinya tidak membuat laporan polis kerana amat malu 
dengan kejadian itu, selain merasakan tidak sewajarnya sebagai ahli yang 
bergiat aktif dalam politik tertipu dengan sindiket perjudian.

“Apa yang lebih meyakinkan isteri saya adalah ketika kejadian, muncul tiga 
lelaki bertanyakan apa yang berlaku. Sebaik sahaja mendengar cerita, salah 
seorang daripada tiga lelaki ini bersetuju memberi bantuan sebanyak RM3,000.

“Malah lelaki terbabit akan mengikut isteri saya untuk menunggu di luar premis 
perjudian untuk mengambil wangnya semula daripada isteri saya," katanya.

Setibanya di kaunter premis pertaruhan berkenaan, Abang Din berkata, isterinya 
hampir pengsan apabila dimaklumkan tiket diberikan itu adalah palsu dan telah 
diubahsuai.

"Semua lelaki yang menawarkan bantuan kepadanya lesap begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang menasihatkan 
orang ramai terutama umat Islam di daerah ini supaya tidak tertipu dengan pujuk 
rayu sindiket yang meminta pertolongan menukarkan tiket pertaruhan, didakwa 
telah memenangi hadiah puluhan ribu ringgit.

"Berdasarkan rekod dua tahun lalu, sepasang suami isteri juga telah menjadi 
mangsa penipuan sindiket seumpama ini.

"Mereka sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji melebihi RM30,000 untuk 
ditukar dengan tiket yang kononnya memenangi hadiah pertama sebanyak 
RM130,000," katanya.

Justeru, menurutnya, orang ramai diminta berhati-hati berikutan sindiket 
berkenaan bergerak terlalu licik dengan menyasarkan warga emas atau perempuan 
yang sarat memakai barang kemas sebagai mangsa.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7916094.asp




Kirim email ke