*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,
Minggu ini, minggu kedua bulan March 2001, satu minggu yang akan dikenang
sebagai minggu yang paling bersejarah selepas tragedi 13 Mei 1969 kira-kira 32
tahun yang lalu. Kadang-kadang tak terfikir di pemikiran kita bahawa kita akan
menyaksikan sekali lagi drama 13 Mei di bumi Malaysia ini seperti mana kita
tak pernah terfikir akan kejatuhan empayar Soviet atau pun runtuhnya tembok
Berlin dalam masa hayat kita.
Begitulah juga dengan tragedi berdarah bulan March 2001 ini; tak siapa pun
yang menduga ia akan meletus secara tiba-tiba. Bukannya ada angin dan bukannya
ada pokok, tapi ia berlaku juga seperti apa yang berlaku. Lalu, ianya
membuatkan saya terkenangkan satu "Quote of the Day" dari majalah Times
Magazine yang pernah saya simpan suatu ketika dulu, tapi kini sudah hilang
entah di mana. Quotation itu memetik kata-kata seorang Pemuda Islam Kosovo
yang memetik kata-kata ayahandanya yg berumur hampir 80 tahun yang pernah
berkata bahawa adalah mustahil orang-orang Serb jiran mereka akan menyerang
keluarga beliau kerana mereka sudah pun hidup aman sekian lama. Tapi, akhirnya
beliau terpaksa menelan kembali kata-katanya itu apabila jiran Serbnya sendiri
yang menyerang dan membunuh beliau hidup-hidup. Kadang-kadang apabila
berhadapan dengan isu perkauman yang serupa ini, ada benda yang kita tak mampu
nak huraikan dengan kata-kata, noktah!
Berbalik dengan isu Kg Medan yang sedang melanda negara sekarang; izinkan saya
mengulas isu ini di celah-celah patah perkataan yang amat terbatas ini -
untuk rujukan masa depan. Buat pengetahuan, segala catatan ini adalah catatan
peribadi untuk journal persendirian saya yang saya abadikan di website
peribadi saya. Seperti yang saya tulis di laman saya itu, segala catatan saya
ini adalah pendapat peribadi dan tidak melambangkan pendapat mana-mana pihak
atau pun mana-mana organisasi.
Oleh kerana isu ini melanda begitu cepat, tanpa angin dan tanpa ribut; lalu
apabila kita bersembang dengan rakyat kebanyakan terutamanya di luar Kuala
Lumpur, kita akan ditanya apakah sebenarnya yang berlaku dan apa punca
asalnya?
Sebagai rakyat jelata yang perlu sesekali ke Kuala Lumpur untuk apa-apa urusan
peribadi mahu pun rasmi, kita jadi curious, nak tahu dan betul-betul nak tahu
apa yang sebenarnya telah dan sedang berlaku di sana.
Lalu, kita cuba buka TV atau pun dengar radio atau mula berbaik kembali dengan
Utusan dan Berita Harian; malangnya jawapan yang dicari tak mampu kita temui .
Yang kita dengar ialah berita-berita kecil dan besar yang memetik kenyataan
pemimpin2 kerajaan meminta orang awam seperti kita jangan dengar khabar2
angin.
Masalahnya, orang-orang di luar Kuala Lumpur seperti saya ini, bukan sahaja
khabar angin, tapi khabar yang tak berangin pun kita tak dengar. Lalu, bila
kita mendengar kes ini sudah melalut-lalut hinggakan ada yang terbunuh, kita
pun mula rancak bertanya khabar; semua khabar kita cari baik yang berangin
mahu pun yang tidak berangin. Kita cuba juga cari di celah-celah berita yg
meminta kita jangan percaya kpd khabar angin itu, tapi malangnya cerita asal
tak juga kita temui. Kita cuba masuk pula ke mana-mana website baik yang pro
pembangkang mahu pun yang pro-kerajaan. Malangnya setiap website ini bagaikan
mulut terkunci; entah kenapa masing-masing kelihatannya cuba mengelak daripada
bercakap mengenai isu ini, seolah-olahnya mereka semua tidak bersedia
berhadapan dengan isu yang meletus secara tiba-tiba ini. Adalah dirasakan isu
ini bukan sahaja menjadi satu dilema kepada BN tapi juga menjadi satu
permasalahn baru yang perlu dilihat dari dimensi yang berlainan kepada Barisan
Alternatif.
Ada pun sebagai rakyat biasa, saya tidak peduli semua itu; saya masih cuba
mencari, masih ingin tahu punca asalnya; malangnya cerita yang saya dapat
melalui beberapa mailing list dalam internet ini bunyinya berbagai-bagai;
tidak ada yang begitu tepat dan pasti.
Lantas saya cuba buka website luar negeri, dari Singapura; ini cerita yang
saya dapat. Oleh kerana berita ini disiarkan dalam akhbar the Straits Times,
saya rasa kredibiliti ceritanya boleh dipercayai.
Berikut adalah cerita yang digarapkan oleh pemberita akhbar berkenaaan:
"Bahangnya bermula dua Ahad yang lepas, hari di mana sebuah keluarga Melayu
sedang mengadakan kenduri kahwin dan satu keluarga India berdekatan sedang
bersiap untuk mengkebumikan salah seorang ahli keluarga mereka yang meninggal.
Salah seorang India tersebut naik marah apabila melihat khemah kenduri
dinaikkan di atas jalan di luar kawasan rumah kenduri yang dilihatnya akan
menghalang perjalanan perarakan mayat tersebut. Lalu, beliau menunggang
motosikalnya masuk ke khemah tersebut sambil menendang kerusi dan meja habis
bertaburan, kemudian cabut lari. Tak berapa lama kemudian, beliau kembali
lagi, kali ini dengan 10 orang lelaki yang bersenjata; mereka menyerang bapa
pengantin tersebut dan salah seorang keluarga pengantin berkenaan. Keesokan
harinya satu kumpulan orang-orang yang tidak dikenali pula telah masuk ke
kawasan India di situ dan merosakkan beberapa buah kenderaan.
Pada hari Rabu berikutnya, berlaku pula Insiden No 2; di mana dua kumpulan
orang India terlibat dalam satu accident kenderaan, hampir nak bergaduh sesama
mereka sebelum dua orang lelaki Melayu masuk dan cuba meleraikan pergaduhan
tersebut. Entah macam mana, bertengkar punya bertengkar, last-last kedua-dua
kumpulan tersebut menyerang pula kedua-dua lelaki Melayu berkenaan.
Berita serangan ini kemudiannya merebak bagaikan angin di kawasan berkenaan.
Beberapa jam kemudian, cerita ini telah ditokok tambah dan dibubuh gulai
seenak rasa. Maka bahangnya jadi bertambah panas, tunggu masa sahaja hendak
meletup.
Nak dijadikan cerita pula; keesokan harinya pula seorang budak lelaki Melayu
yang bermain dengan lastik telah menyebabkan sebuah lori India pecah cermin.
Si tuanpunya lori ini meminta gantirugi dari ayah budak kecil ini; masalahnya
ayah budak itu tak puas hati sebab tuanpunya lori tersebut menggunakan bahasa
yang kasar ketika meminta gantirugi berkenaan. Walaubagaimana pun, kedua-dua
pihak akhirnya mengalah tetapi tidak sebelum berlaku ugut mengugut antara
kedua-dua belah pihak.
Di ketika inilah, perasaan marah yang membara antara kedua-dua belah pihak
mula terbakar sepenuhnya; masing2 mula melengkapkan diri dengan berbagai
senjata kerana mempercayai khabar-khabar angin bahawa pertempuran India Melayu
akan berlaku tak beberapa lama lagi. Bukan sahaja orang lelaki yang
melengkapkan diri dengan senjata, malahan surirumah juga terlibat; contohnya
Puan B. Parameswary, 28 tahun juga tak mau ambil risiko; beliau membuat
senjata sendiri dengan paku2 tajam yg dipaku pada sebatang kayu.
Maka, seperti yang berlaku, dengan adunan rasa marah dan dendam yang
membuak-buak, di celah-celah rasa takut dan prasangka yang berbaur dalam dada;
maka segala apa yang sudah tersimpan selama beberapa hari itu pun meletus pada
tengah malam hari khamis berkenaan. Apa yang kita saksikan sekarang ini adalah
rentetan dari peristiwa yang digariskan di atas. "
[Kisah di atas saya terjemahkan secara bebas dari
http://straitstimes.asia1.com.sg/asia/story/0,1870,29384,00.html?]
Untuk seketika, saya rasa sedikit puas kerana punca cerita asal, walaupun
tidak kesemuanya, sekurang2nya jalan ceritanya saya temui jua.
Persoalannya sekarang, menulis dari dalam diri, saya merasakan bagaikan ada
semacam satu conflict dalam dada apabila berhadapan dengan isu yang meletus
secara tiba-tiba ini. Saya bagaikan kaku, secara tiba-tiba jadi bisu apabila
ditanya oleh kawan-kawan pendapat peribadi mengenai isu ini. Sebagai ahli PAS,
saya perlu akur dan berwala' sepenuhnya kepada pucuk pimpinan yang masih
merasakan bahawa p/raya masih lagi mampu dijadikan wadah untuk menegakkan
cita-cita perjuangan. Sebagai orang Melayu pula, sentimen kemelayuan yang
tersemat di dada terutama di hari-hari bersama UMNO dulu masih lagi karat
bersemi walaupun sudah sekian lama cuba disemai dengan benih-benih bencikan
assabiyah dan cintakan Islam; dan akhir sekali sebagai orang Islam yang punya
syahadah dalam dada; saya cukup sensitif apabila mendengar ada orang-orang
yang punya satu syahadah dengan saya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya
seperti apa yang berlaku di Maluku, di Kalimantan, di Chechya dan di mana
sahaja.
Kerana itu, agak sukar bagi saya untuk membuang ketiga-tiga perasaan di atas
apabila berhadapan dengan isu Kg Medan ini. Pun begitu, di celah-celah konflik
dalam dada itu, izinkan saya membawa tuan-tuan melihat perspektif politik
Melayu yang mungkin tidak atau pun kurang dipahami oleh bangsa lain di
Malaysia ini.
Perpecahan Melayu di Malaysia ini pada hakikatnya hanyalah wujud pada istilah
politik sahaja; iaitu bermakna Melayu cuma berpecah dari sudut ideologi
politik; tetapi apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang mencabar ketuanan
mereka seperti isu 13 Mei dahulu, Melayu yang berpecah ini mudah bergabung
semula melalui pertalian syahadah yang ada dalam setiap dada mereka. Inilah
sebenarnya hakikat politik Melayu. Jika ini dapat difahami oleh semua pihak;
tanpa bertujuan merujuk kepada isu Kg Medan ini, insyaallah tragedi berdarah
seperti 13 Mei itu tidak akan berulang lagi di bumi Malaysia ini.
Merujuk kepada tulisan-tulisan di sesetengah website di Internet ini yang
menyatakan bahawa isu Kg Medan ini adalah cetusan idea atau telah dirancang
sedemikian rupa oleh Dr Mahathir untuk mendapatkan kembali undi Mahathir; saya
terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan jalan cerita tersebut.
Bagi saya, isu Kg Medan ini jika terus melarat, orang yang paling malang, yang
paling pertama akan memikul kesan daripada kes ini ialah tidak lain tidak
bukan Dr Mahathir sendiri. Jika tuan-tuan dan puan-puan perasan; Tunku Abdul
Rahman jatuh selepas rakyat sudah tidak percayakannya lagi selepas kes 13 Mei.
Suharto juga jatuh selepas peristiwa berdarah seakan 13 Mei berlaku di
Indonesia pada bulan Mei 1998. Mereka berdua jatuh setelah dilihat rakyat
sebagai sudah tidak punya power lagi sehinggakan rakyat berani bergaduh dan
bersengketa sesama sendiri hingga berbunuh-bunuhan. Begitu juga dengan Gus Dur
sekarang; rakyat sudah mula turun ke jalan-jalan menuntut beliau meletak
jawatan selepas apa yang dilihat sebagai pembunuhan kaum yang tidak terkawal
di Kalimantan sana.
Adalah dirasakan bahawa Mahathir sedang berada dalam dilema sekarang; kematian
dan kecederaan orang-orang India akan memungkinkan Mahathir mulai kehilangan
kepercayaan di kalangan masyarakat India di Malaysia. Jika ini berlaku, maka
ada kemungkinan beliau akan berhadapan dengan satu situasi di mana bukan
sahaja orang Melayu dan Cina sudah tidak mempercayainya, tetapi juga
orang-orang India turut berperasaan yang serupa.
Mungkin kerana itu agaknya, kita melihat Sammy Vellu melalui MIC cuba sedaya
upaya untuk menjaga hati orang-orang India seperti menguruskan penerbangan
mayat Chandra balik ke India, menyediakan rumah murah untuk keluarga salah
seorang mangsa yang mati; dan yang terbaru dan amat mengejutkan ialah
pengumuman Sammy Vellu bahawa kabinet telah bersetuju memberi peruntukan
sebanyak RM20 juta untuk meningkatkan taraf hidup kaum India di Malaysia.
" THE Malaysian government, admitting that urban poverty had led to
gangsterism among Indian youth, has approved a RM20-million (S$9-million)
allocation to aid the impoverished community. "
[Singapore Straits Times 14/3/01]
Dari sudut politik, kesemua tindakan ini bolehlah dilihat sebagai satu damage
control untuk memulihkan kembali kepercayaan orang-orang India terhadap BN
khususnya terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Jika
kepercayaan masyarakat India ini terus terhakis, dalam keadaan di mana
majoriti masyarakat Melayu dan Cina sudah pun membelakangi beliau, maka ada
kemungkinan Dr Mahathir hanya menunggu masa sahaja untuk mengikut jejak
langkah Tunku Abdul Rahman, Suharto dan juga Gus Dur sekarang. Sama-samalah
kita lihat sama ada isu Kg Medan ini akan memberi kesan kepada hayat
pemerintahan Mahathir.
Berbalik kepada isu Kg Medan; apakah penyelesaian yang terbaik sekarang?
Sebagai rakyat biasa, saya tak punya pandangan yang begitu jauh seperti
kebanyakan ahli-ahli politik kita di atas sana, tetapi jika diminta pendapat,
saya akan katakan bahawa sejarah Kg Rawa mungkin boleh dijadikan iktibar.
Di kampung Rawa tempoh hari, cara yang digunakan oleh sdra Anwar nampak ada
kesannya. Selepas keluar gambar wakil Masjid Kg Rawa dan wakil Kuil Raja
Mathuraiveeran bersalaman dan bermaafan di kaca TV dan muka depan akhbar
perdana, kes tersebut mula beransur padam. Secara psikologi, mereka2 yang
bergaduh sudah tidak punya sebab lagi untuk bertempur kerana dua pihak yang
jadi pencetus kejadian tersebut sudah pun berdamai, jadi apa perlu bergaduh
lagi. Maka itu, dalam isu Kg Medan ini,apa salahnya jika pihak2 yg berkenaan
guna cara yang sama, tunjukkan gambar bapa pengantin dan lelaki yang menendang
kerusi dan meja itu bersalaman secara life di kaca TV; dan begitu juga dengan
lelaki2 yang bergaduh angkara accident kereta tersebut dan juga lelaki India
dan bapa budak Melayu dengan anaknya berserta lastik-lastik sekali; mungkin
dengan cara ini, kes ini akan beransur reda.
Masalahnya, mahukah pihak yang "Empunya Kuasa" di atas sana berbuat demikian?
Jika tidak mahu, jangan salahkan rakyat jelata jika mereka menyimpan prasangka
bahawa ada agenda lain yang lebih besar sedang bersembunyi di sebaliknya...
Wassalam
ABK
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Ahmad Baharudin Kasbi <[EMAIL PROTECTED]>