Tatkala Rasulullah SAW mengorak langkah untuk menyebarkan dakwah
secara terbuka, orang-orang musyrikin Quraisy menuduh baginda yang
mencipta ayat-ayat Al-Quran. Jika difikirkan secara logik, Rasulullah
SAW adalah seorang yang buta huruf.

Tambahan pula, sepanjang hayat baginda menetap di jazirah Arab yang
mengalami purata hujan tahunan yang amat rendah. Bagaimanakah baginda
tahu-menahu tentang gumpalan awan seperti gunung serta pembentukan
ketulan ais akibat proses pengumpulan awan?

Sudah tentu terdapat `penyampai' yang menitip maklumat kepada
Rasulullah SAW perihal suasana di atmosfera dan cakerawala.
`Penyampai' yang dimaksudkan adalah malaikat Jibrail yang mula membawa
wahyu, tanggal 6 Ogos (17 Ramadan) tahun 610 Masihi.

Ini membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah suatu kitab ketinggalan zaman
yang perlu diubah mengikut perkembangan semasa kerana pelbagai bidang
sains seperti astronomi, kosmologi, oseanografi mahupun zoologi sudah
pun termaktub di dalamnya.

Saintis Barat seperti Luke Howard, Francis Beaufort, Cleveland Abbe
dan Vilhelm Bjerknes terkial-kial membuat kajian tentang meteorologi
sejak 300 tahun lepas, ilmu tersebut sudah pun termaktub dalam Al-
Quran sejak 1400 tahun dahulu.

Meteorologi merupakan kajian saintifik tentang atmosfera dan pelbagai
proses yang berlaku di dalamnya. Apabila disebut meteorologi, sudah
pasti masih ramai yang tidak tahu maksud istilah tersebut berbanding
"ramalan cuaca".

Setelah kajian dilaksanakan oleh stesen kaji cuaca dengan bantuan
satelit dan beberapa perkakasan canggih, barulah ramalan cuaca
dikeluarkan. Berapakah peratus daripada penonton televisyen yang
memberi perhatian terhadap segmen ramalan cuaca yang disiarkan di
dalam rancangan televisyen atau radio setiap hari?

Di Malaysia, meteorologi tidak begitu menonjol jika dibandingkan
dengan cabang ilmu sains yang lain. Hakikatnya, bertitik tolak dari
meteorologi, ia menghasilkan pelbagai kajian sains seperti climatology
(kajian tentang iklim), hidrologi, strata vegetasi, botani, zoologi
dan biogeografi.

Allah SWT telah mencipta air yang berupaya wujud dalam tiga fasa pada
masa yang sama iaitu pepejal, cecair dan gas. Ciri unik ini
menghasilkan pelbagai bentuk kehidupan di eko sistem daratan mahupun
akuatik. Selain daripada air, parameter seperti keamatan cahaya, suhu,
arah pergerakan angin, radiasi elektro magnetik dan tekanan udara
turut diambil kira.

Tahukah anda bahawa terdapat beberapa ayat Quran yang memberi gambaran
tentang meteorologi? Rujuklah kepada : Surah Al Araaf (7: 57), An Nahl
(16: 65), Al Mukminun (23: 18), An-Nur (24: 43), Al Furqaan (25:
48-50), Ar Rum (30: 48), As-Sajdah (32: 27), Fushshilat (41: 39) dan
Al Mulk (67: 30).
Kesemua ayat-ayat tersebut adalah di bawah kategori ayat Makiyah
kecuali An-Nur (24: 43) merupakan ayat Madaniyah. Surah Ar Rum (30:
48) yang membawa maksud: "Allah, Dialah yang mengirimkan angin, lalu
angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit
menurut yang dikehendaki- Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal,
lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan
itu turun pada hamba-hamba yang dikehendaki- Nya, tiba-tiba mereka
menjadi gembira."

Jika diteliti ayat di atas, terdapat beberapa proses yang berlaku di
dalam atmosfera sebelum hujan turun: Awan Bergerak (Dengan Bantuan
Angin) –> Awan Membentang –> Awan Bergumpal –> Hujan Turun.

Surah An-Nur (24: 43) yang membawa maksud: Tidakkah kamu melihat
bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara
(bahagian-bahagian) nya, kemudian menjadikan bertindih-tindih, maka
kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah juga
menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari
gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya
butiran ais kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya dan dipalingkan dari
sesiapa yang dikehendaki- Nya.

Terdapat sedikit perbezaan di antara ayat pertama dan kedua,
diringkaskan seperti berikut: Awan Bergerak –> Awan Berkumpul–> Awan
Bergumpal/bertindih –> Hujan/butiran Ais Turun.
Surah Ar-Rum (30: 48) menggambarkan tentang klasifikasi awan manakala
An-Nur (24: 43) menerangkan tentang proses kerpasan (precipitation) .

Ahli-ahli meteorologi telah merumuskan bahawa awan terbahagi kepada
dua kategori:
i) Awan membentang: sirus, sirokumulus, altokumulus, altostratus,
stratus dan stratokumulus
ii) Awan bergumpal: kumulonimbus, kumulus dan nimbostratus

Awan kumulus tidak bertahan lama. Apabila angin kuat yang mengandungi
udara lembap bergerak ke atas, ia akan membentuk awan kumulonimbus
yang membawa hujan lebat, petir dan guruh. Awan jenis ini kadangkala
mempunyai bahagian atas dan bawah yang leper.

Jika angin bertiup kencang, bahagian atas akan membentuk satu lapisan
awan yang dikenali sebagai stratokumulus. Awan stratus terbentuk
apabila satu lapisan udara disejukkan pada titik tepu. Selain daripada
kumulonimbus, nimbostratus turut ditakuti oleh manusia kerana membawa
hujan bagi jangkamasa yang lama. Lantaran itu, ia menyebabkan tanah
runtuh, jalan raya merekah serta banjir yang lambat surut.

Kerpasan berlaku ketika titisan air atau hablur ais menjadi cukup
berat dalam gumpalan awan dan udara tidak berdaya lagi untuk
menghalangnya daripada jatuh ke bumi. Fenomena ini boleh
diklasifikasikan kepada dua kategori:
i) bentuk cecair: hujan dan gerimis
ii) hablur ais: salji, hujan beku (freezing rain), untal ais (ice
pellets) dan hujan batu (hail)
Hujan beku adalah air hujan yang akan membeku apabila jatuh ke bumi
manakala hujan batu terdiri daripada ketulan ais yang mungkin mencapai
saiz bola golf. Yang pasti kedua-dua jenis hujan ini membawa
kemusnahan kepada tanaman ladang, menumbangkan pokok, merosakkan
pencawang elektrik serta bumbung rumah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Mukminun (23: 18): Dan Kami turunkan
air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu
menetap di bumi dan sesungguhnya Kami benar berkuasa menghilangkannya.

Ada pihak yang merujuk istilah `suatu ukuran' atau `biqadarin' (Bahasa
Arab) kepada air yang meliputi kira-kira 71% daripada permukaan bumi.
Tafsiran itu tidak salah dan boleh diterima tetapi `biqadarin' perlu
dilihat dari sudut lain iaitu:

1. Saiz (diameter) titisan air hujan dan hablur ais yang turun akibat
kerpasan

- Gerimis adalah titisan air yang berdiameter 0.2-0.5 mm, berasal dari
awan stratus. Kedudukan stratus yang rendah membatasi titisan air
daripada membesar akibat proses perlanggaran sesama sendiri.

- Titisan air hujan berasal dari nimbostratus berukuran berdiameter
1-2 mm sementara titisan dari kumulonimbus berdiameter 3-6 mm.

- Untal ais adalah partikel berwarna putih dalam bentuk kon atau
sfera, berdiameter 1-5 mm. Ia terbentuk apabila itisan air dalam awan
berada pada suhu -10C (14F) hingga -20C (-4F).

- Hujan batu (hail) terbentuk ketika hujan lebat, diikuti dengan angin
kencang. Proses perolakan angin menolak butiran ais ke arah atas,
kembali ke lapisan atas dan tengah awan kumulonimbus. Butiran ais
menjadi besar setelah bergabung dengan titisan air.

2. Ukuran purata air hujan yang turun di pelbagai tempat
- Di Lembah Amazon dan Lembah Congo, purata hujan tahunan adalah
melebihi 250 sm. Di Pulau Madagascar dan Gunung Kilimanjaro, purata
hujan tahunan adalah di antara 50 - 100 sm manakala di Gurun Gobi dan
Gurun Great Victoria, purata hujan tahunan hanya mencecah 25sm.

Dengan wujudnya pelbagai purata hujan tahunan serata dunia, maka
terbentuklah tujuh kumpulan iklim: Tropika Lembap, Kering, Subtropika,
Temperat, Boreal, Kutub dan Tanah Tinggi.

Firman Allah dalam Surah as-Sajdah (32: 27): "Dan apakah mereka tidak
memerhatikan bahawa Kami menghalau awan yang mengandungi air ke bumi
yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu dengan tanaman
yang menjadi sumber makanan binatang ternakan dan mereka sendiri. Maka
apakah mereka tidak memerhatikan?"

Ayat di atas menggambarkan satu rantai makanan (food chain) yang
ringkas: Air Hujan –> Tumbuh-tumbuhan
(Autotrof) –> Haiwan (Heterotrof)

Autotrof atau pengeluar, membuat makanan sendiri melalui proses
fotosintesis. Haiwan tidak boleh menjadi autotrof kerana ia tidak
boleh membuat makanan sendiri. Heterotrof yang terdiri daripada
herbivor, karnivor dan omnivor memerlukan autotrof untuk meneruskan
kelangsungan hidup.

Semakin tinggi purata hujan tahunan bagi suatu kawasan, maka rantai
makanan menjadi lebih kompleks. Dua jenis biogeografi dipilih sebagai
perbandingan:

(a) Hutan Amazon dan Kalimantan: berhampiran dengan garis Khatulistiwa
(hutan hujan tropika).

Kawasan ini mendapat cahaya matahari sepanjang tahun dan purata hujan
tahunan melebihi 250 sm. Oleh itu, kepelbagaian spesies flora dan
fauna adalah tinggi, rantai makanan menjadi lebih kompleks, berubah
menjadi jaringan makanan. Lebih banyak kitaran biogeokimia berlaku
untuk memberi keseimbangan gas dan nutrient, antara organisma dan
persekitaran. Misalnya kitaran karbon, kitaran nitrogen, fosforus dan
sulfur.

(b) Siberia dan Alaska: berhampiran dengan Kutub Utara (tundra).

Kawasan ini pula memperoleh cahaya matahari enam bulan sekali dan
purata hujan tahunan kurang daripada 25 sm. Lantaran itu, kepelbagaian
spesies flora dan fauna adalah rendah, rantai makanan adalah ringkas.
Semasa musim panas dan lapisan air mencair, beberapa spesies
bunga-bunga kecil, rumput dan herba akan kelihatan.

Apa yang jelas, Quran bukannya diturunkan untuk satu umat atau satu
abad, tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari Kiamat kelak.
Bagi sesetengah pihak yang menuduh kandungan Quran tidak sesuai
diamalkan pada zaman sekarang adalah mereka yang tidak mengkaji Quran
secara menyeluruh. Golongan pemikiran cetek dan dangkal ini hanya
mengkaji dan mentafsir ayat-ayat yang tertentu sahaja.

Shalom,
Tawangalun.


Kirim email ke